Keutamaan Istiqamah dalam Perbuatan


"Sifat istiqamah merupakan sesuatu yang mencabar kepada diri hamba-Nya. Hal ini demikian kerana, kadang-kadang kita melakukan amalan-amalan itu secara berkala dan bermusim. Justeru, istiqamah memerlukan disiplin yang tinggi dalam diri untuk dilaksanakan secara konsisten dan berterusan."

Saudara-saudara sebangsa dan setanah air,

Marilah sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan, melaksanakan segala perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Islam menuntut kita supaya beristiqamah dalam melakukan amal kebaikan. Setiap amal kebaikan yang dilaksanakan seperti bertadarus, berzikir, berdoa, beriktikaf, bersedekah dan lainnya hendaklah berterusan dan diamalkan untuk menjadi pembakar semangat sebagai usaha meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Sifat istiqamah ini merupakan sesuatu yang mencabar kepada diri hamba-Nya. Hal ini demikian kerana, terkadang kita melakukan amalan-amalan itu secara berkala dan bermusim. Justeru, istiqamah memerlukan disiplin yang tinggi di dalam diri untuk dilaksanakan secara konsisten dan berterusan. Firman Allah SWT dalam Surah Hud, ayat 112:

"Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan."

Istiqamah yang dimaksudkan ialah berdiri teguh di atas jalan yang lurus, berpegang kukuh kepada akidah Islam dan tekun melaksanakan syariat tanpa berubah dan tanpa berpaling walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Justeru, dalam kita beristiqamah, amalan yang sedikit tetapi berterusan adalah lebih afdhal atau lebih baik daripada melakukan amalan yang banyak tetapi hanya sekali-sekala atau mengikut musim.

Saidatina Aisyah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Sebaik-baik amalan di sisi Allah SWT ialah perbuatan yang dikerjakan secara berterusan walaupun sedikit." (Hadis riwayat Muslim)

Islam menggalakkan umatnya agar terus beristiqamah dalam mengerjakan amal ibadah serta amal soleh yang disukai dan diperintahkan oleh Allah SWT serta Rasul-Nya SAW. Sesungguhnya istiqamah dalam melakukan amal kebaikan dapat memberatkan timbangan kita di Hari Akhirat kelak.

Justeru, amat beruntunglah hamba Allah SWT yang sentiasa istiqamah mengerjakan amal kebaikan. Kemuncak kepada keberuntungan melakukan istiqamah adalah dengan kurniaan redha Allah SWT. Maksudnya di sini, matlamat akhir kita dalam beristiqamah melakukan ibadah serta amal soleh ialah meraih redha Allah SWT.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Jelaslah, istiqamah mempunyai banyak kebaikan, ditambah pula dengan ganjaran yang sangat banyak. Sekali lagi, mimbar ingin mengajak semua agar berusaha mendidik hati untuk beristiqamah pada setiap amal ibadah dan perbuatan-perbuatan yang berkebajikan, seterusnya meninggalkan perkara-perkara yang mungkar dan mendatangkan dosa. 

Sebagai kesimpulan, marilah kita mengambil hikmah daripada poin-poin yang disampaikan daripada khutbah ini.

Pertama: Seseorang yang istiqamah tidak mudah merasa takut kerana dia mempunyai keteguhan hati, kuat keyakinannya, kukuh pendiriannya dan besar harapannya kepada Allah SWT.

Kedua: Orang yang istiqamah tidak mudah merasa sedih, terutama apabila kehilangan sesuatu kerana dia meyakini semua itu adalah milik mutlak Allah SWT.

Ketiga: Mereka yang istiqamah juga mendapat balasan syurga seperti yang telah dijanjikan oleh Allah SWT.

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu." (Surah Fussilat, ayat 30)

Jumaat, 28 Januari 2022.
Masjid al-Taubah, Kampung Lok Batik, Tuaran, Sabah.
Khutbah sumbangan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.

Comments