Tuhan, Tolong Mampukan Aku untuk Lupakan


(i)

Tuhan, tolong mampukan aku untuk lupakan.

Semua penantian yang tidak pernah berkesudahan.

Mesej, panggilan telefon dan sidang video. Apatah lagi untuk berjalan di persekitaran.

Semua itu yang dulu menjadi cinta yang menghidupkan. Sehingga masih ada yang meneruskan.

Aku orang jauh. Kepada orang yang semakin menjauh.

Sedangkan banyak mana pun tugas negara, aku sebetulnya selalu ada.

Untuk orang yang sudi duduk dan berjalan bersamaku. Selagi diberi ruang dan waktu.

Walaupun mereka tidak mahu.

(ii)

Tuhan, tolong mampukan aku untuk lupakan.

Aku dulu punya ramai kawan. Terutamanya ketika di menara gading sebelum kembali lagi ke alam persekolahan.

Sebilangannya pernah menjadi amat dekat dengan diri ini. Macam adik-beradik sendiri. 

Sehingga berkongsi juang dan organisasi. Siap buat usrah lagi.

Biasa saja kawan datang dan pergi. Tetapi hubungan yang dipertahan belum tentu abadi.

Setelah berpasangan dan bekeluarga sendiri, atau setelah ada haluannya sendiri, atau setelah terlihat sisi lain diri ini…

Mereka pergi.

Kecuali yang benar-benar menghargai.

(iii)

Tuhan, tolong mampukan aku untuk lupakan.

Dulu, aku ada harapan yang besar. Sesuai dengan kedudukan sekolah lama aku yang ada aliran agama, yang harkat dan martabatnya tidak kurang besar. 

Sekolah itu pernah terwujud BADAR. Aku mendirikannya dengan sahabat-sahabat dan rakan-rakan yang tegar.

Tetapi selama adanya, selama itu jugalah belum tentu diterima di hati sebilangannya.

Sehinggakan dipandang tiada. Apa pun yang dilakukannya.

Akhirnya dia (dan aku) rasmi ditolak pada harinya.

Betullah, aku tidak pernah buat apa-apa. Sehingga aku memecahkannya lalu mencari cinta di tempat lain yang biasa saja.

(iv)

Tuhan, tolong mampukan aku untuk lupakan.

Aku dulu salah seorang penggerak program adab dan nilai di daerah.

Ramai orang di sekitar daerah meletakkan aku harapan. Aku dengan sedaya upaya cuba tunaikan. 

Banyak program dakwah diadakan oleh daerah pada masa aku walaupun umat Islam di situ dikira minoriti. Ya, walaupun hanya daring kerana mengingat pandemi.

Tiada siapa lagi yang mengingatinya pada hari ini. 

Kerana tanpa hujan dan ribut, aku ‘meminta suaka’ dari pihak lain untuk pergi. Sehingga rakan-rakan negeri dan daerah yang terperanjat besar, tidak akan pernah mencari lagi. 

Untuk sekurang-kurangnya menganugerahi.

(v)

Tuhan, tolong mampukan aku untuk lupakan.

Aku pernah menjalankan tugas pegawai negeri walaupun aku hanya seorang guru akademik biasa di sekolah lama. 

Tugas aku ialah menyelaras pelaksanaan acara negeri. Bersambung sampai ke kebangsaan.

Sepuluh bulan lamanya. Program kokurikulum paling panjang di negeri yang pernah aku sertai. 

Benar, keberhasilannya agak berganda. 

Tetapi akhirnya yang aku dapatkan tidaklah setimpal mana. Pencapaian aku di situ, tiada.

Hari ini, tiada siapa lagi mengingatinya. 

(vi)

Tuhan, tolong mampukan aku untuk lupakan.

Semua peristiwa yang membuatkan aku jatuh sakit.

Darah yang menaik serta telinga yang mengabur dari mendengar langit.

Belum lagi ratapan hati yang tiada siapa mampu dengari. Juga air mata yang mengalir, tiada siapa yang akan mengusapnya di wajah ini.

Melainkan diri sendiri.

Perlawanan antara kemurungan dan kerisauan tidak akan bisa diperjelaskan.

Pemergian seseorang hari itu membuatkan aku melihat kekelabuan. Tentang siapa yang benar-benar akan dan masih ada di sini. Untuk mensahabati.

Kerana sejak zaman kelabu, semakin ramai yang mengundurkan diri. Tanpa alasan dan salam buat terakhir kali.

Comments