Izinkan Aku Mencari Cinta Sejati


Saya menerima Arahan Pertukaran daripada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi e-mel pada 10 November, tepatnya pada suatu petang ketika saya berada di dalam tren ERL menuju ke KLIA2, Sepang. Arahan tersebut ditandatangani oleh Yang Berbahagia Datin Sri Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia pada 2 November. Alhamdulillah, saya menerimanya dengan terbuka dan sederhana.

Hakikatnya, saya yang memilih untuk menjadi Pegawai Kader KPM. Keputusan untuk memohon dan akhirnya menyandang Jawatan Kader KPM dibuat oleh saya sendiri. Atas sokongan daripada Yang Berusaha Tuan Pengetua Sekolah ini dan Yang Berbahagia Datuk Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah terhadap permohonan saya untuk menyandang jawatan tersebut, saya mengucapkan berbanyak terima kasih. 

Ramai yang mula bertanya kepada saya: apa sudah jadi sebenarnya? Saya masih seorang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di bawah KPM, tetapi akhirnya ditempatkan di kementerian dan jabatan lain. Terma dan syarat perkhidmatan saya masih sama melainkan sedikit perubahan sahaja yang disesuaikan dengan kementerian dan jabatan seterusnya.

Saya juga berpeluang kembali ke sekolah selepas tamat menyandang Jawatan Kader KPM. Tetapi, keputusan untuk berpindah ke kementerian dan jabatan lain selain KPM dibuat oleh saya sendiri.

Oleh itu, saya sedar bahawa tiada jaminan saya akan dapat kembali ke sekolah-sekolah lama saya, apatah lagi untuk mengajar Bahasa Arab yang menjadi opsyen major saya. Selepas Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu, hanya Allah yang Maha Mengetahui tempat saya yang seterusnya dan kepada-Nya jualah saya serahkan segalanya setelah mengusahakan segalanya. 

Tiada siapa yang bersalah dalam hal ini melainkan saya sendiri. Malah, untuk menyembunyikan perkara ini daripada semua pihak melainkan pihak tertentu sahaja sehinggalah saya mendapat kepastiannya adalah pilihan saya sendiri. Oleh itu, kepada Allah saya mohonkan keampunan dan kepada semua saya mohonkan kemaafan, bukan sahaja kerana perkara ini, tetapi atas segala kekurangan dan kelemahan, kesalahan dan kesilapan yang telah dilakukan selama ini.

Sudah masanya saya membuka buku baru di tempat yang seterusnya. Untuk kebaikan semua pihak, izinkanlah saya meninggalkan semua cerita saya di Sekolah ini selama tiga tahun kebelakangan, di sini sahaja. Seharusnya pun, saya menjadi yang lebih baik pada hari seterusnya berbanding hari sebelumnya. 

Tetapi, tidaklah bermakna saya meninggalkan daripada mengingati jasa dan budi semua pihak kepada saya. Hakikatnya, saya pada hari ini adalah hasil doa, nasihat, sokongan dan tunjuk ajar daripada semua individu dan organisasi yang bersama dengan saya selama ini.

Kepada semua individu dan organisasi, baik di dalam mahupun di luar Sekolah ini, saya ucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas segala-galanya. 

Adalah suatu penghormatan bagi saya kerana pernah menjadi sebahagian daripada Sekolah ini serta proses transformasi yang dialaminya selama ini. Malah, menjadi suatu penghormatan juga bagi saya kerana telah diberikan peluang berkhidmat secara penugasan tambahan di peringkat yang lebih tinggi mewakili Sekolah ini. 

Engkau bukanlah sebuah kesalahan
Tak pernah aku menyesal mengenalmu
Tapi biarkanlah aku terbang bebas
mencari cinta sejati

(Cakra Khan, Mencari Cinta Sejati, 2016)

Comments