Iktibar Kisah Qarun


"Kenangkanlah betapa banyaknya nikmat yang Allah kurniakan kepada kita selama ini, terutamanya sepanjang tahun ini. Walaupun berlaku pelbagai ujian, Allah SWT tidak pernah lupa memberi kita rezeki yang mencukupi, malah berlebihan."

Saudara-saudara sebangsa dan setanah air,

Marilah sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan, melaksanakan segala perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Zakat merupakan suatu amalan yang dapat menyucikan diri dan harta yang dimiliki. Zakat merupakan salah satu daripada Rukun Islam yang wajib ditunaikan. Allah SWT memerintahkan umat Islam supaya melaksanakan kewajipan ini sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Taubah ayat 103:

“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Sesungguhnya pensyariatan zakat kepada manusia bertujuan menyuburkan keadilan dalam kehidupan manusia dan membela golongan yang diuji dengan kemiskinan dan kesusahan iaitu asnaf. Zakat bukan sahaja dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang seimbang melalui agihan semula kekayaan kepada golongan asnaf, malah menyucikan harta dan jiwa bagi pembayar-pembayarnya.

Kenangkanlah betapa banyaknya nikmat yang Allah kurniakan kepada kita selama ini, terutamanya sepanjang tahun ini. Walaupun berlaku pelbagai ujian, Allah SWT tidak pernah lupa memberi kita rezeki yang mencukupi, malah berlebihan. Sebagai insan yang beriman kepada Allah, sudah setentunya kita memastikan semua Rukun Islam disempurnakan dengan baik, termasuk ibadah zakat.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Orang yang enggan mengeluarkan zakat kerana bakhil dan kedekut sedangkan mereka mengetahui kewajipannya, maka mereka ini orang yang fasiq, berdosa dan mendapat azab seksa di akhirat kelak. Begitulah Allah memberi amaran kepada golongan yang berkenaan dalam Surah at-Taubah, ayat 34 dan 35:

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (agama Islam); dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka Jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu, rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu”.

Kisah terbaik buat teladan kita bersama iaitu kisah orang yang mengingkari Allah dengan harta, boleh dilihat menerusi kisah Qarun yang Allah rakamkan dalam al-Quran. Qarun terkenal dengan hartanya yang bertimbun-timbun, namun akhirnya hartanya itu ditenggelami bumi dek kerana kemegahannya terhadap dirinya dan keangkuhannya dari mentaati perintah Allah. Kisah ini boleh dirujuk dalam Surah al-Qasas, ayat 76.

“Sesungguhnya Qarun adalah dari kaum Nabi Musa AS, kemudian dia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Dia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah (seperti lagakmu itu).”

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Statistik kutipan zakat yang dikeluarkan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji setiap tahun menunjukkan bahawa kutipan zakat terus meningkat. Perkara ini disumbangkan oleh kesedaran umat Islam sendiri serta sistem pengurusan kutipan dan agihan zakat yang berkesan.

Zakat yang dikutip telah dan terus diagihkan kepada para asnaf melalui pelbagai skim bantuan seperti bantuan makanan, bantuan segera, bantuan kewangan, bantuan perubatan, bantuan sekolah, bantuan musibah, bantuan pembaikan rumah dan banyak lagi yang diagihkan oleh pihak berkuasa agama negeri. Antaranya termasuklah agihan wang tambang perjalanan serta dermasiswa kepada anak-anak negeri Sabah yang berada di pengajian tinggi di dalam dan luar negara oleh Bahagian Zakat dan Fitrah, Majlis Ugama Islam Sabah.

Bulan Zakat Kebangsaan Tahun 2021 yang bertemakan “Zakat Prihatin: Muzakki Cakna, Asnaf Merasa” semoganya dapat menyuntik kesedaran umat Islam untuk berzakat dan meyakini institusi zakat di Malaysia sebagai institusi yang telus, sistematik dan berintegriti. Semoga dengannya juga, para asnaf mendapat inspirasi untuk keluar daripada kemelut kehidupan, meraih jiwa yang lebih dekat dengan taqwa, dan mentransformasi diri mereka menjadi lebih cemerlang berbanding sebelumnya.

“...dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qasas, ayat 77)

Jumaat, 17 Disember 2021.
Masjid al-Taubah, Kampung Lok Batik, Tuaran, Sabah.
Khutbah sumbangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan suntingan.

Comments