Bercerita tentang Jawatan Kader


Penulisan ini bersifat peribadi, tiada kaitan dengan mana-mana kementerian, jabatan dan agensi dalam Kerajaan Persekutuan dan Negeri, dan bertujuan memberi penerangan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman semasa penulis sahaja. Maklumat yang lebih tepat boleh didapati daripada Bahagian Sumber Manusia di Kementerian, Jabatan atau Agensi masing-masing.

Apakah itu jawatan kader?

Jawatan kader adalah satu jawatan yang diwujudkan di sesebuah kementerian, jabatan atau agensi berdasarkan keperluan tetapi pengisiannya adalah dilakukan oleh ketua perkhidmatan jawatan berkenaan yang bukan dari kementerian, jabatan atau agensi tersebut.

Mengapakah jawatan kader diwujudkan?

Dari sudut kementerian, jabatan atau agensi, jawatan kader diwujudkan bagi mengelakkan wujudnya perkhidmatan-perkhidmatan kecil tertutup di sesebuah organisasi.

Dari sudut pegawai pula, jawatan kader diwujudkan bagi:
  1. membantu memperkaya dan memperluaskan tugas pegawai;
  2. memberi peluang kepada pegawai untuk mendapat suasana pengajaran yang berbeza dan bersesuaian dengan minat, kebolehan, latihan dan pengalaman pegawai supaya dapat mencapai impak kerja yang optimum;
  3. membolehkan pegawai melihat organisasi di mana mereka ditempatkan dari perspektif yang berbeza dan dengan itu mereka diharap dapat mencuba pendekatan baru yang boleh mempertingkatkan lagi keberkesanan organisasi berkenaan; dan
  4. meningkatkan produktiviti pegawai dan organisasi tempat pegawai berkhidmat.

Siapakah yang menyandang jawatan kader?

Setiap kementerian, jabatan dan agensi yang menghantar pegawai kader mempunyai terma dan syarat sandangan yang tersendiri. Penulis bercerita dalam skop Kementerian Pendidikan (KPM).

Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) yang berhasrat menyandang jawatan kader di kementerian, jabatan atau agensi lain hendaklah:
  • berkhidmat di KPM;
  • memiliki opsyen atau ikhtisas yang sama dengan yang dipohon;
  • telah disahkan dalam perkhidmatan;
  • telah mengajar sekurang-kurangnya tiga tahun;
  • mempunyai tahap kesihatan yang memuaskan;
  • memperoleh 85 peratus dalam Penilaian Bersepadu PPP bagi tempoh tiga tahun terakhir;
  • bebas daripada tindakan tatatertib dan tindakan Mahkamah;
  • mendapat sokongan daripada Ketua Jabatan;
  • bersedia untuk berkhidmat di kementerian, jabatan atau agensi yang dipilih untuk sekurang-kurangnya tiga tahun; dan
  • mempunyai minat dan kewibawaan yang tinggi untuk berkhidmat di kementerian, jabatan atau agensi lain.
Adakah KPM sahaja yang menghantar pegawai kader ke kementerian lain?

Tidak. Kementerian lain turut menghantar pegawai kader ke kementerian yang berbeza. KPM hanyalah salah satu daripadanya.

Kementerian, jabatan atau agensi manakah yang memerlukan pegawai kader?

Pegawai kader sesuatu kementerian, jabatan atau agensi diperlukan di pelbagai kementerian, jabatan atau agensi yang memerlukan.

Bolehkah berikan contoh jawatan kader?

Dalam konteks KPM, seseorang PPP boleh menyandang jawatan kader di luar KPM. Contohnya:
  • Penolong Pengarah (Pembangunan Guru), Bahagian Pelajaran, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. Jawatan ini dipunyai oleh Jabatan Perdana Menteri.
  • Pensyarah Teknologi Maklumat, Institut Kemahiran Belia Negara Peretak. Jawatan ini dipunyai oleh Kementerian Belia dan Sukan.
  • Penolong Ketua Sektor Pendidikan, Bahagian Pengurusan Banduan, Jabatan Penjara. Jawatan ini dipunyai oleh Kementerian Dalam Negeri.
  • Atase Pendidikan Malaysia di Kaherah. Jawatan ini dipunyai oleh Kementerian Pengajian Tinggi.
  • Guru Pendidikan Islam, Maktab Tentera Diraja. Jawatan ini dipunyai oleh Kementerian Pertahanan.
  • Pensyarah Pendidikan Islam, Institut Teknikal Jepun Malaysia. Jawatan ini dipunyai oleh Kementerian Sumber Manusia.
Di kementerian lain pun, seseorang pegawai boleh menyandang jawatan kader di luar kementeriannya. Contohnya:
  • Seorang Pegawai Rendah Polis berpangkat Sarjan yang berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (di bawah Kementerian Dalam Negeri) boleh ditugaskan menjadi Pengawal Peribadi di Pejabat Menteri Kewangan, Kementerian Kewangan.
  • Seorang Juruaudit yang berkhidmat dengan Jabatan Audit Negara (di bawah Jabatan Perdana Menteri) boleh ditugaskan dengan tugas yang sama di Unit Audit Dalam, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
  • Seorang Peguam Kanan Persekutuan yang berkhidmat dengan Jabatan Peguam Negara (juga di bawah Jabatan Perdana Menteri) boleh ditugaskan menjadi Penasihat Undang-undang, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Saya PPP di bawah KPM. Bagaimanakah saya boleh menyandang jawatan kader?

Peluang untuk seorang PPP di bawah KPM menyandang jawatan kader terbuka sejak Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), KPM mengiklankan kekosongan jawatan kader KPM di kementerian, jabatan dan agensi luar KPM. Kebiasaannya iklan tersebut disiarkan di laman sesawang rasmi KPM dua kali setahun.

Setelah diiklankan, PPP yang berminat bolehlah mengisi borang Permohonan Masuk ke Jawatan Kader yang disediakan oleh BPSM, KPM. Permohonan tersebut hendaklah dimajukan kepada Ketua Jabatan dan Pengarah Bahagian atau Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (mengikut Jabatan tempat berkhidmat) bagi mendapatkan ulasan sokongan. Permohonan yang lengkap kemudiannya bolehlah dihantar dengan segera ke BPSM, KPM untuk diproses.

Permohonan yang berjaya akan dimaklumkan oleh BPSM, KPM kepada PPP yang memohon. Arahan Pertukaran akan dikeluarkan setelah permohonan tersebut diluluskan.

Apakah keistimewaan menjadi pegawai kader?

Pegawai kader KPM yang berkhidmat di luar KPM dilayakkan dengan hak dan keistimewaan yang diperuntukkan oleh kementerian, jabatan atau agensi berkenaan kepada pegawai tersebut selama berkhidmat di kementerian, jabatan atau agensi yang berkenaan.

Apakah bezanya menjadi PPP di kementerian lain dengan PPP di bawah KPM?

Penulis mendapati tiga perbezaan. Dari segi organisasi, pegawai kader KPM yang berkhidmat di kementerian, jabatan atau agensi yang lain tertakluk kepada organisasi kementerian, jabatan atau agensi tersebut.

Dari segi prospek kerjaya, pegawai kader KPM masih berpeluang untuk menikmati kenaikan pangkat secara mengikut tempoh perkhidmatan sama seperti PPP di bawah KPM. Perbezaannya hanyalah pegawai kader KPM tidak berpeluang untuk memilih laluan Guru, Pegawai atau Pensyarah Cemerlang yang hanya disediakan oleh PPP di bawah KPM sahaja.

Dari segi cuti, PPP yang berkhidmat di sekolah KPM dilayakkan 10 hari Cuti Rehat Khas berserta Cuti Penggal. PPP yang menyandang jawatan kader di luar KPM sebaiknya dilayakkan Cuti Rehat sebanyak 25 hingga 35 hari yang dilayakkan mengikut tarikh mula perkhidmatan dan tempoh perkhidmatan.

Saya sudah cukup tiga tahun menyandang jawatan kader di bawah KPM. Bolehkah saya kembali ke sekolah untuk mengajar semula?

Boleh. Caranya dengan mengisi Borang Permohonan Keluar Jawatan Kader yang disediakan oleh BPSM, KPM. Permohonan tersebut hendaklah dimajukan kepada Ketua Jabatan dan Pengarah Bahagian atau Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (mengikut Jabatan dalam KPM yang dipohon) bagi mendapatkan ulasan sokongan. Permohonan yang lengkap kemudiannya bolehlah dihantar ke BPSM, KPM dalam tempoh yang ditetapkan untuk diproses.

Permohonan yang berjaya akan dimaklumkan oleh BPSM, KPM kepada PPP yang memohon. Arahan Pertukaran akan dikeluarkan setelah permohonan tersebut diluluskan.

Rujukan

Jabatan Perkhidmatan Awam (t.t.). Penstrukturan semula & pewujudan jawatan. Dipetik daripada https://www.jpa.gov.my/penjawat-awam/mpembangunan-organisasi?id=130 pada 19 Disember 2021.

Kementerian Kewangan Malaysia (2021). Senarai Perjawatan 2022 (Jilid 2). Putrajaya: Kementerian Kewangan Malaysia.

Kementerian Kewangan Malaysia (2021). Senarai Perjawatan 2022 (Jilid 4). Putrajaya: Kementerian Kewangan Malaysia.

Kementerian Pendidikan Malaysia (2016). Garis Panduan Pelaksanaan Urusan Pertukaran Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang Mengisi Jawatan Kader di Organisasi Luar Daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kementerian Pendidikan Malaysia (2020). Iklan Kekosongan Jawatan di Education Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia. 

Kementerian Pendidikan Malaysia (2021, September 27). Iklan Kekosongan Jawatan Kader bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Kementerian/Agensi Luar dari Kementerian Pendidikan Malaysia.

Comments