Semarak Cinta Rasulullah dengan Semangat Keluarga Malaysia


"Kitalah Keluarga Malaysia. Meskipun berbilang agama, bangsa dan idea, kita berkongsi tanah air yang sama, nilai murni yang sama dan wawasan yang sama. Lebih besar daripada itu, kita berkongsi teladan yang sama, iaitu Rasulullah SAW."

Saudara-saudara sebangsa dan setanah air,

Marilah sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan, melaksanakan segala perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bulan Rabiulawal datang lagi mengingatkan kita akan keputeraan Nabi Muhammad SAW, insan teragung yang menjadi Rasul terakhir bagi umat manusia. Hakikatnya, hadirnya Baginda SAW ke muka bumi membawa hikmah dan kebaikan yang sangat besar kepada kita semua. Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah, ayat 128:

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW); dialah yang amat mengambil berat sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat menginginkan kebaikan bagi kamu, (dan) yang selalu menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.”

Menerusi ayat tersebut, Rasulullah SAW digambarkan sentiasa menginginkan kebaikan dan kesejahteraan hidup umat Baginda, bahkan merasa amat berat melihat kesusahan yang ditanggung oleh umat Baginda walaupun tidak pernah bersua. Tugas dan tanggungjawab Baginda sepanjang hayat Baginda tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk menyampaikan umat Baginda dengan hidayah daripada Allah SWT, sekaligus menyelamatkan umat Baginda daripada kesesatan dan kerosakan.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Rasulullah SAW ialah Uswatun Hasanah – teladan yang terbaik kepada seluruh manusia yang meliputi segala perbuatan, pertuturan dan sifat. Semakin kita mengenali keperibadian Baginda, semakin teguh kecintaan kita kepada Baginda. Hari Keputeraan Rasulullah SAW yang diperingati di Malaysia dan negara-negara lain di seluruh dunia pada setiap 12 Rabiulawal semoganya dapat memugar semula kecintaan kita kepada Baginda serta ajaran Islam yang dibawa oleh Baginda.

Lihatlah, dengan Islam, kita mengenal Allah SWT dan beroleh hidayah daripada-Nya. Habis gelap, terbitlah terang; Dialah Allah yang mengeluarkan kita daripada sirna kepada cahaya, daripada kebatilan kepada kebenaran, dan daripada kegagalan kepada kejayaan. Lebih daripada itu, Islam menjadi jaminan kebahagiaan diri kita, keluarga dan masyarakat di dunia ini dan di akhirat nanti.

Hakikatnya, sejarah kehidupan dan perjuangan Rasulullah SAW mesti diangkat dan diteladani sepanjang masa oleh kita semua. Sebelum kerasulan Baginda, manusia hidup dalam zaman Jahiliyyah. Selepas kerasulan Baginda, manusia beralih kepada kehidupan yang berpaksikan aturan Allah. Sebelum kerasulan Baginda juga, kabilah-kabilah Arab sering bertembung dan bermusuh. Selepas kerasulan Baginda, kabilah-kabilah Arab bersatu dalam semangat persaudaraan sehingga tiada lagi yang meribut dan merusuh.

Semuanya dipandu oleh cara hidup Islam yang sentiasa meraikan sikap saling menerima, tolong-menolong dan bekerjasama di samping semangat ingin selalu berkorban demi keluhuran dan kepentingan agama, bangsa dan negara. Madinah, pada zaman Rasulullah SAW, merupakan contoh negara yang aman dan makmur. Walaupun berbeza keturunan, rakyatnya hidup dalam keharmonian. Malah, kehebatan mereka pernah tercatat dalam lipatan sejarah dunia.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Kitalah Keluarga Malaysia. Meskipun berbilang agama, bangsa dan idea, kita berkongsi tanah air yang sama, nilai murni yang sama dan wawasan yang sama. Lebih besar daripada itu, kita berkongsi teladan yang sama, iaitu Rasulullah SAW. Dalam pada kita mengaku mencintai Rasulullah SAW, selalulah kita mencontohi Baginda dan mengikuti sunnah Baginda dalam seluruh aspek kehidupan peribadi, bermasyarakat dan bernegara.

Saidina Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak(lah sempurna) iman salah seorang daripada kamu sehinggalah aku lebih dia kasihi berbanding (ibu) bapanya, anaknya dan manusia lain secara keseluruhannya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Sebagai Keluarga Malaysia, marilah kita menelusuri dan menghayati sejarah perjalanan hidup Rasulullah SAW, sama ada melalui pembacaan dan pengkajian daripada sumber yang tepat dan berautoriti atau melalui pengajian daripada ahlinya yang pakar dalam bidang Sirah Nabawiyyah. Marilah juga kita ketepikan semua perbezaan, kumpulkan segala persamaan dan kembalikan semula Malaysia ke tempat yang sepatutnya dan setingginya di mata dunia dalam semua perkara.

Hakikatnya, kita tidak boleh melakukannya sendiri. Kehidupan kita saling perlu melengkapi antara satu sama lain. Kata orang, ada padi, semua kerja jadi; ada beras, semua kerja deras. Ketika Malaysia beralih daripada fasa pandemik kepada fasa endemik, kebersamaan yang diiringi dengan motivasi yang tinggi menjadi penentu kepada kejayaan yang diimpikan.

Kita sudah melihat sebahagiannya pada hari ini. Vaksinasi lengkap bagi orang dewasa di Malaysia telah mencapai kadar 90 peratus pada Ahad lepas (10 Oktober). Kadar kes Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) harian baru dan kes aktif terkumpul juga sebelum itu pun, walaupun sentiasa tidak menentu, sudah menunjukkan penurunan.

Mimbar ini menyampaikan ucapan berbanyak terima kasih kepada semua yang telah dan masih menyumbang kepada berkurangnya kesan-kesan COVID-19 dalam negara kita. Dengan izin Allah SWT dan dengan persetujuan Kerajaan, ramai yang telah lengkap menerima vaksin COVID-19 yang dapat kembali merentas daerah, negeri dan negara sebebasnya, paling tidak untuk menjengah keluarga dan sanak saudara yang sudah lama dinantikan di kampung halaman.

Sidang Jumaat yang mulia,

Sempena memperingati Maulidur Rasul SAW, marilah kita jadikan Allah SWT segala-galanya dalam mendepani sebarang keadaan dan situasi. Marilah juga kita contohi Rasulullah SAW dengan menerapkan dan mempraktikkan nilai murni dan budi bahasa dalam setiap tindakan kita, terutamanya ketika mengaji, menyampaikan ilmu dan melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.

Marilah juga kita semarakkan cinta kita kepada Rasulullah SAW dengan mengimarahkan masjid dan surau di seluruh negara. Hari ini, tiada lagi alasan untuk tidak mengimarahkan masjid dan surau. Ambillah ruang dan peluang untuk menunaikan solat fardhu secara berjemaah dan menghidupkan majlis ilmu sambil mematuhi Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa dari semasa ke semasa.

Semoga dengan kesungguhan kita menyemarakkan peringatan Maulidur Rasul SAW, semakin dekatlah kita kepada Allah SWT dan semakin bersemangatlah kita untuk kekal dan tekal dengan ajaran Islam. Mudah-mudahan kita digolongkan sebagai umat Rasulullah SAW yang meraih syafaat Baginda di Hari Akhirat nanti.

Jumaat, 15 Oktober 2021.
Masjid al-Taubah, Kampung Lok Batik, Tuaran, Sabah.
Khutbah sumbangan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dengan suntingan dan penyesuaian.

Comments