Bersama Bangunkan Negara, Kita Keluarga Malaysia


"Kitalah Keluarga Malaysia, iaitu keluarga-keluarga sebenar yang dibentuk dari rumah masing-masing, yang menerima pendidikan dengan jalan tersendiri, yang mengharungi kerjaya dengan jalan tersendiri, tetapi akhirnya bersatu sebagai sebuah keluarga besar yang memenangkan bangsa dan negara dengan caranya sendiri."

Saudara-saudara sebangsa dan setanah air, Keluarga Malaysia yang dikasihi Allah,

Marilah sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan, melaksanakan segala perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Islam merupakan agama yang mengajar erti kekeluargaan, persahabatan, persaudaraan dan kasih sayang sesama insan. Kedatangan Islam membawa bersama mesej bahawa manusia tidak akan pernah mampu hidup bersendirian. Realitinya, manusia diciptakan oleh Allah dengan fitrah saling memerlukan.

Umpama sebuah keluarga, seorang anak sentiasa memerlukan ibu bapanya, adik-beradiknya, pasangannya serta anak-anak mereka. Kadangkala, seorang anak juga memerlukan keluarga yang lebih besar melangkaui mereka yang hidup bersama di rumah sehari-harinya.

Malah, di luar lingkup keluarga sekalipun, kita menjiwai rasa kekeluargaan dalam konteks persahabatan dan persaudaraan dengan menganggap seseorang itu seperti ahli keluarga kita. Walaupun kita dibezakan dengan agama, bangsa, budaya, warna kulit dan pandangan, kita tetap dapat bersatu atas nama kemanusiaan, selari dengan firman Allah SWT pada pembukaan Surah an-Nisa.

“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai; dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan sesama kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati kamu.”

Menerusi ayat tersebut, Allah SWT menarik perhatian manusia supaya sentiasa mengekalkan silaturrahim dan mengenepikan sebarang permusuhan. Hal ini demikian kerana, asal-usul kejadian manusia bermula daripada Nabi Adam AS dan Hawa.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Islam turut menuntut umatnya untuk, di samping saling menghulurkan bantuan antara satu sama lain, menjaga keutuhan dan mengukuhkan persaudaraan sesama insan. Saidatina Aisyah binti Abu Bakar RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Orang yang paling Allah benci ialah orang yang keras kepala lagi suka membantah.” (Hadis riwayat Bukhari)

Membangunkan negara merupakan suatu usaha yang berat, yang memerlukan kerjasama dan sokongan padu daripada semua pihak. Tambahan pula, negara pada ketika ini masih berhadapan dengan ancaman kesihatan serta ketidakstabilan ekonomi dan politik. Belum dikira lagi pelbagai ujian lain yang menimpa kita. Pembangunan negara akan mengalami kesannya perbalahan berterusan sehingga menyebabkan kita tidak mampu bertolak ansur dan berlapang dada.

Dalam menghadapi pelbagai krisis dalam negara, kita memerlukan kepada Keluarga Malaysia yang saling membantu tanpa perlu rasa dipisahkan dengan pelbagai jurang perbezaan. Keluarga Malaysia memerlukan muafakat dan solidariti bukan sahaja untuk menghadapi, tetapi yang lebih penting lagi menangani segala kesan yang muncul akibat kemunculan pelbagai krisis yang tidak diingini. Firman Allah SWT dalam sebahagian ayat 2 daripada Surah al-Maidah:

“...hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan; dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Ikatan dan nilai kekeluargaan amat berharga buat kita semua. Begitulah jua keadaannya dengan ikatan dan nilai persahabatan, persaudaraan dan kemanusiaan. Semua nilai itu tidak akan pernah menumpu kepada perbezaan, melainkan untuk mencari titik persamaan. Tujuannya hanyalah untuk mencapai kejayaan yang diinginkan di dunia ini serta kasih sayang Allah SWT di Hari Akhirat nanti yang semoganya membawa ke Syurga.

Kitalah Keluarga Malaysia, iaitu keluarga-keluarga sebenar yang dibentuk dari rumah masing-masing, yang menerima pendidikan dengan jalan tersendiri, yang mengharungi kerjaya dengan jalan tersendiri, tetapi akhirnya bersatu sebagai sebuah keluarga besar yang memenangkan bangsa dan negara dengan caranya sendiri. Justeru, sama-samalah, di samping mendoakan kesejahteraan bangsa dan negara, memperbaharui azam dan terus menyumbang kepada keberlangsungan kedua-duanya dengan jalan yang diredhai oleh Allah, iaitu jalan Islam. Hal ini demikian kerana akhirnya, Islam ialah ad-Din, suatu cara hidup yang lengkap, meliputi seluruh aspek kehidupan.

“...sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya); serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya; dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah juga telah menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (Surah at-Talaq, ayat 2 dan 3)

Jumaat, 29 Oktober 2021.
Masjid al-Taubah, Kampung Lok Batik, Tuaran, Sabah.
Khutbah sumbangan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dengan suntingan.

Comments