Merenung Bulan Kebangsaan


Saya tidak dapat ingat dengan baik bilakah pertama kalinya saya hadir sendiri ke sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, rasanya lebih awal dari tahun yang saya ingat saya pernah ikuti.

Tetapi, yang saya cuba ingat ialah, satu-satunya peluang saya menjadi peserta sambutan Hari Kebangsaan ialah pada tahun 2007 di Jalan Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu. Sambutan-sambutan serupa yang lain, saya hadir menonton sahaja, dengan kali terakhir ialah pada tahun 2018 di tempat yang sama.

Saya turut berpeluang menyaksikan empat kali sambutan yang serupa di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada tahun 2012, 2013, 2015 dan 2016, dan sekali di Padang Seremban pada tahun 2014. Saya terlepas mengikuti sambutan pada 2017, selama lima tahun setengah saya masih merantau di Lembah Klang, atas sebab-sebab tertentu.

Tetapi, ada tiga siri Bulan Kebangsaan yang benar-benar dapat saya ingati. Ada tiga sebab. Pertama, kerana temanya yang benar-benar dekat di hati saya. Kedua, kerana lagu-lagu temanya yang juga benar-benar menggambarkan semangat mencintai bangsa dan negara. Ketiga, kerana ada satu wahana yang benar-benar mendekatkan saya dengan cinta kepada bangsa dan negara, iaitu debat.

Sambutan Hari Kebangsaan 2014 di Seremban barangkali hanya sekadarnya. Walaupun temanya "Malaysia, Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta", lagu temanya tidak kedengaran dimainkan di Seremban, sebaliknya kedengaran hampir setiap hari sepanjang Bulan Kebangsaan di televisyen, radio dan media sosial.

Cinta itu lebih bersemarak pada sambutan Hari Kebangsaan 2015 dan 2016. Lebih banyak penglibatan saya dalam debat pada tahun-tahun ini. Sehinggakan saya dapat berjalan lebih jauh daripada yang saya fikir saya mampu. "Malaysia, Sehati Sejiwa" menjadi tema sambutan. Lagu temanya pun masih saya ingati sampai ke hari ini.

Namun, bukanlah semata-mata tema, lagu tema atau bentuk sambutan yang mendekatkan saya dengan rasa cinta kepada bangsa dan negara. Sesungguhnya rasa syukur yang diterjemahkan menerusi doa yang tulus dan usaha yang murni itulah yang membolehkan saya mencintai bangsa dan negara dengan sebaik-baiknya.

Banyak peristiwa yang saya ingin sekali ceritakan. Terutamanya pada tahun 2016 apabila saya rasakan kemuncak kasih sayang yang sebenar sehingga saya mengembara jauh, dari Gombak ke Kuala Lumpur, kemudian ke Petaling Jaya dan Klang sebelum ke Kota Bharu dan Kuala Terengganu. Tahun itu, saya benar-benar merasakan bahawa rahmat yang Allah turunkan kepada saya semasa saya berada di kampus itu besar sekali untuk disyukuri dan dihargai.

Benarlah, kita hanya mensyukuri segala yang ada di sisi pada saat keberadaannya sebelum-sebelum ini. Apabila tanah air dilanda pandemik COVID-19, bukan sahaja nikmat menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang dihilangkan, tetapi juga nikmat menghargai aman dan makmurnya bangsa dan negara.

Lebih malang daripada itu, setiap hari kita diajarkan dan diingatkan bahawa kehidupan cinta sentiasa bercerita tentang meninggalkan dan ditinggalkan. Itu semua ujian yang tidak memberikan kita pilihan melainkan melaluinya dengan rasa yang sederhana.

Akhirnya, kita ditunjukkan jalan untuk kembali kepada asas-asas yang mendirikan kehidupan kita sebagai umat yang beragama, rakyat yang bernegara, masyarakat yang berbudaya dan insan yang sentiasa memerlukan insan-insan lain di sekelilingnya. Itulah dengan selalu menginsafi, mensyukuri dan menghargai segala yang masih ada bersama kita.

Berlapang dada dengan segala kekurangan. Berbesar hati dengan segala kelebihan. Memaafkan segala kelemahan. Melengkapkan segala kekuatan. Menerima dengan penuh kesederhanaan. Jika tidak, apa lagi yang kita ada?

Comments