Malaysia yang Prihatin Selamanya


"Malaysia yang berjaya ialah Malaysia yang percaya. Malaysia yang berjaya ialah Malaysia yang prihatin selamanya."

Saudara-saudara sebangsa dan setanah air,

Marilah sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan, melaksanakan segala perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

31 Ogos ini, Malaysia akan memperingati Hari Kebangsaan. Pada hari itu dalam tahun 1957, Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan setelah dijajah sekian lama oleh kuasa-kuasa penjajahan. Kita semua sering menyebut hari itu sebagai Hari Merdeka.

Walaupun Malaysia hanya lahir pada 16 September 1963 hasil penggabungan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, kita tetap memperingatinya dan merayakannya dengan rasa syukur, gembira dan sederhana. Hal ini demikian kerana, Hari Merdeka merupakan sebahagian daripada sejarah Malaysia dan permulaan kepada Malaysia yang sampai ke hari ini masih muncul di tengah-tengah dunia.

Sesungguhnya mencapai kemerdekaan bukanlah suatu hal yang mudah. Untuk mengekalkannya dan menyemarakkannya lagikan payah. Dulu, orang kita berjuang untuk tanah air yang bebas dan merdeka. Kini, orang kita berjuang untuk tanah air yang sihat, makmur dan bahagia.

Hakikatnya, setiap hari bagi bangsa dan negara ialah hari perjuangan. Tidak ada hari dalam kehidupan yang dapat melarikan kita daripada perjuangan, dari sebesar-besar perjuangan untuk bangsa dan negara sehinggalah sekecil-kecil perjuangan untuk diri kita sendiri yang menjadi sebahagian daripadanya. Itulah perjuangan untuk merubah diri dan masyarakat menjadi yang lebih baik berbanding sebelumnya. Firman Allah SWT dalam Surah ar-Ra’d, ayat 11:

“Bagi tiap-tiap seorang, ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa-apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka sendiri, dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapa pun yang dapat menolak atau menahan apa-apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.”

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Hakikatnya juga, tidak ada satu hari pun yang menjauhkan bangsa dan negara daripada cabaran dan ujian. Walaupun kita telah lama merdeka daripada penjajahan, ada sahaja cabaran dan ujian yang menimpa kita setiap hari, baik bencana alam, wabak penyakit, kemerosotan ekonomi, ketidakstabilan sosiobudaya, ketidaktentuan politik dan ancaman keselamatan.

Sehingga ke saat ini pun, Malaysia masih diuji dengan penularan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19). Kita tidak mempunyai pilihan yang lain melainkan dengan mengharunginya dengan kesabaran dan ketabahan.

Setiap orang berperanan untuk mengurangkan kesan-kesannya, apatah lagi untuk membasminya dari tanah air kita. Kita tidak boleh membiarkan para petugas barisan hadapan berjuang sendirian.

Kita sebaliknya dituntut untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa dari semasa ke semasa serta menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan mendaftar sebagai penerima vaksin dan menerima vaksin apabila tiba masanya. Semua ini tidak lain dan tidak bukan untuk memastikan pandemik ini dapat dihilangkan dari bumi Malaysia sesegeranya.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Malaysia negara kita. Negara ini milik kita semua. Negara kita, tanggungjawab kita. Maka, kitalah yang berperanan menjaga negara kita dengan sebaik-baiknya.

Tujuannya tidak lain dan tidak bukan ialah untuk mewujudkan dan mengekalkan Malaysia yang berjaya. Ingatlah, Malaysia yang berjaya ialah Malaysia yang percaya. Malaysia yang berjaya ialah Malaysia yang prihatin selamanya.

Sempena Hari Kebangsaan, marilah kita berterima kasih dan memberikan penghormatan yang tinggi kepada semua yang berjasa kepada agama, bangsa dan negara, terutamanya para pahlawan yang berjuang mempertahankan setiap inci tanah air kita serta para petugas barisan hadapan yang bermati-matian melindungi kita daripada pandemik COVID-19 serta kesan-kesan buruknya.

Di samping meneruskan usaha, marilah kita berdoa kepada Allah SWT. Mudah-mudahan Malaysia kekal bahagia serta dijauhkan daripada sebarang bentuk bahaya.

Jumaat, 26 Ogos 2021.
Masjid al-Taubah, Kampung Lok Batik, Tuaran, Sabah.

Comments