Berjuang dan Berkorban Demi Cinta


"Benarlah kata orang, kita tidak selalu mensyukuri segala yang ada di sekeliling kita. Hanya setelah ketiadaan, barulah kita terbangun dari mimpi, menghargai segala yang mana mungkin akan kembali untuk selamanya."

Saudara-saudara sebangsa dan setanah air, di mana pun jua berada di seluruh pelusuk dunia: Selamat Hari Raya Aidiladha.

Atas nama bangsa dan negara, mimbar mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua sempena Hari Raya Aidiladha dan tiga hari Tasyrik yang berikutnya. Mimbar turut menaruh harapan agar perayaan ini diraikan oleh semua dengan sepenuh keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT, Tuhan yang Maha Esa.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Bulan Zulhijjah tidak dapat dipisahkan dengan dua ibadah yang besar. Mereka yang terpilih menjadi tetamu Allah menyempurnakan ibadah haji di Makkah. Walaupun yang terpilih menunaikan haji pada tahun ini hanyalah rakyat dan penduduk tetap Arab Saudi yang berada di negara tersebut, kita mendoakan agar mereka semua mendapat haji yang mabrur.

Mimbar memahami perasaan bakal-bakal jemaah haji yang belum berpeluang menunaikan ibadah haji pada tahun ini. Hakikatnya, hanya sebilangan daripada kita yang telah selamat menyelesaikan rukun Islam yang kelima pada tahun-tahun sebelumnya.

Kepada sebilangan besar yang lain masih menyimpan harapan sampai ke saat ini untuk menjejakkan kaki ke Makkah, yakinlah dengan Allah yang Maha Mendengar semua cita-cita dan impian. Mudah-mudahan dikurniakan kemampuan dan kecukupan yang membolehkan kita menunaikan ibadah haji di Makkah.

Allahu Akbar! Maha Besar Allah yang telah membesarkan bulan Zulhijjah dengan ibadah haji. Allahu Akbar! Maha Besar Allah yang telah membesarkan daerah Makkah sebagai tempat menunaikan ibadah haji. Allahu Akbar! Maha Besar Allah yang telah mencukupkan dan memampukan umat-umatnya yang terpilih untuk menunaikan ibadah haji. Walillahilhamd! Segala puji hanya bagi Allah yang telah dan akan menyempatkan umat-umatnya yang masih ada untuk menunaikan ibadah haji.

Muslimin yang dikasihi Allah,

Seperti tahun-tahun yang sebelumnya, kita yang tidak berihram haji disyariatkan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha. Pada malamnya dan pada setiap kali selepas selesai solat fardhu sepanjang empat hari perayaan, kita disunatkan mengucapkan takbir, tahlil, tahmid dan tasbih.

Pada awal pagi Hari Raya Aidiadha, kita dianjurkan menunaikan solat sunat Aidiladha sama ada di masjid, surau, tanah lapang atau kediaman masing-masing. Bagi yang berkemampuan, sebahagian daripada empat hari perayaan dimanfaatkan untuk melaksanakan ibadah korban. Firman Allah dalam Surah al-Kauthar, ayat 1 hingga 3:

“Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah binatang korbanmu (sebagai tanda bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (daripada mendapat sebarang perkara yang diingininya).”

Semua ini bertitik tolak daripada suatu peristiwa yang benar-benar menggambarkan pengorbanan sebagai cinta yang agung. Itulah kisah seorang ayah dengan anaknya, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS. Ketika si ayah diperintahkan oleh Allah untuk mengorbankan si anak, kedua-dua mereka menerimanya dengan hati yang redha sebelum kemudiannya si anak digantikan dengan seekor kibas.

Allahu Akbar! Maha Besar Allah yang telah menjadikan ibadah korban di bulan Zulhijjah. Allahu Akbar! Maha Besar Allah yang menjadikan korban sebagai bentuk cinta yang agung. Allahu Akbar! Maha Besar Allah yang menjadikan kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS sebagai asas kepada pensyariatan ibadah korban. Walillahilhamd! Segala puji bagi Allah yang mengurniakan kemampuan kepada hamba-hamba-Nya untuk melaksanakan ibadah korban.

Muslimin yang dimuliakan Allah,

Walau bagaimanapun, hari ini masih tidak seperti biasanya. Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) masih menular di seluruh dunia. Malaysia masih turut terkesan dengan penularannya. Malah, keadaan menjadi semakin meruncing akibat kesan-kesan buruknya yang berganda-ganda.

Lihatlah, ramai dalam kalangan kita yang telah dijangkiti COVID-19. Sebahagian daripada mereka sedang dikuarantin dan dirawat di hospital, pusat kuarantin berisiko rendah dan rumah, yang kita doakan kekuatan dan kesembuhan mereka. Sebahagian yang lain pula telah beransur pulih dan meneruskan kehidupan dalam keadaan sihat walafiat.

Tetapi, tidak pada sebahagian lagi yang tidak lagi berada di dunia ini pada saat ini, kalau bukan kerana COVID-19, kerana sebab-sebab yang lain. Benarlah kata orang, kita tidak selalu mensyukuri segala yang ada di sekeliling kita. Hanya setelah ketiadaan, barulah kita terbangun dari mimpi, menghargai segala yang mana mungkin akan kembali untuk selamanya.

Termasuk dalam kumpulan ini ialah mereka yang terkorban dalam perjuangan di jalan Allah, membela diri, keluarga, agama, bangsa dan negara. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka, menempatkan mereka di Syurga bersama-sama orang-orang yang dikasihi-Nya dan mengurniakan kesabaran dan ketabahan kepada semua yang ditinggalkan.

Muslimin yang berbahagia,

Kita yang masih ada di sini perlu meneruskan kehidupan. Dalam zaman pandemik COVID-19, kita tidak mempunyai pilihan melainkan dengan mengharunginya dengan penuh kesederhanaan. Caranya dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa dari semasa ke semasa dan bersegera mendaftar dan menerima vaksin COVID-19.

Sesungguhnya itu merupakan sebahagian daripada perjuangan dan pengorbanan kita. Hakikatnya, kehidupan sentiasa menuntut kita melakukan perjuangan dan pengorbanan. Hakikatnya juga, negara kita, tanggungjawab kita. Kalau bukan kita, siapa lagi? Kalau bukan sekarang, bila lagi? Kalau bukan di sini, di mana lagi?

Ada baiknya kita belajar daripada pengorbanan dan semangat juang yang ditunjukkan oleh pelbagai pihak, baik seseorang atau sekumpulan, dalam usaha menggapai keredhaan Allah, melindungi negara daripada bahaya yang lebih besar dan luar jangka, dan memudahkan rakyat dan penduduk mengharungi waktu-waktu yang luar biasa. Sesungguhnya itulah cara mereka menzahirkan kesyukuran kepada Allah atas nikmat-nikmat yang telah selama ini kita nikmati bersama.

Kepada para petugas barisan hadapan, baik di Perkhidmatan Kesihatan, Angkatan Tentera, Polis Diraja, badan-badan berbaju seragam serta Perkhidmatan Awam yang lain, terima kasih banyak-banyak kerana tetap gagah dan setia bersama negara melindungi seluruh bangsa daripada ancaman bahaya.

Kepada para guru dan murid, terima kasih banyak-banyak atas komitmen yang ditunjukkan kepada bangsa dan negara dalam menjayakan pengajaran dan pembelajaran dari rumah.

Kepada semua individu, syarikat dan badan bukan kerajaan yang budiman, terima kasih banyak-banyak atas pemedulian, bantuan dan sumbangan yang diberikan kepada orang-orang yang memerlukan.

Kepada semua yang telah mematuhi SOP, yang telah mendaftar menjadi penerima vaksin dan yang telah selamat menerima vaksin, terima kasih banyak-banyak atas usaha-usaha yang diambil dalam melindungi diri sendiri dan orang-orang sekelilng daripada bahayanya COVID-19.

Kepada ibu bapa, keluarga, sanak saudara, jiran tetangga, sahabat-sahabat rapat yang dicintai serta rakan-rakan sekerja, sepengajian dan seperjuangan, terima kasih banyak-banyak atas segalanya yang telah diberikan dan dikongsikan sepanjang kehidupan. Terima kasih banyak-banyak juga kerana telah dan masih menerima, menyantuni, mencintai dan menyayangi seadanya.

Kepada semua yang telah dan masih berjuang dan berkorban, terima kasih banyak-banyak atas segala jasa dan bakti yang dicurahkan. Terima kasih banyak-banyak juga diucapkan kerana menjadikan “Malaysia Prihatin” suatu kenyataan. Semoga Allah menerima daripada mereka dan kita segala pengorbanan dan mengurniakan kekuatan kepada mereka dan kita untuk meneruskan perjuangan.

Selasa, 20 Julai 2021.
Masjid al-Taubah, Kampung Lok Batik, Tuaran, Sabah.

Comments