Vaksin Ketuhanan dan Vaksin Kemanusiaan


"Vaksin kemanusiaan sahaja tidak pernah mencukupi. Kita masih memerlukan kepada vaksin ketuhanan, vaksin yang membolehkan kita selalu kembali kepada Allah, merenung keadaan diri sendiri, menginsafi segala kejadian yang berlaku di muka bumi dan menguatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada-Nya."

Saudara-saudara sebangsa dan setanah air,

Marilah sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT, dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan, melaksanakan segala perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong dari kalangan orang-orang yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) masih menjadi bencana dan mimpi ngeri kepada Malaysia. Keadaannya tidak pernah menentu. Rakyat melihat dan mengiranya setiap waktu sehingga menjadi buntu. Apa tidaknya, seluruh negara ialah zon merah. Kebanyakan hospital dan pusat kuarantin di seluruh negara, keadaannya parah. Oleh itu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus berkuatkuasa. Prosedur Operasi Standard (SOP) juga masih berlaku di mana-mana.

Semua ini ujian buat bangsa dan negara. Tiada siapa yang akan pernah tahu bilakah berakhirnya pandemik ini. Tiada siapa juga yang akan pernah rasa bagaimanakah berakhirnya pandemik ini. Kita tidak mempunyai apa-apa pilihan di tangan dan hati melainkan untuk menghadapinya seadanya. Sesungguhnya kesabaran dan ketabahan tidak hanya membawa kepada kesenangan dan ketenangan jiwa dan raga, tetapi juga salah satu daripada bentuk keimanan dan ketaqwaan kita kepada Tuhan yang Maha Kuasa.

“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah at-Taghabun, ayat 11)

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Setiap manusia hanya diberikan satu nyawa. Tidak ada satu harga pun di dunia ini yang dapat menandingi betapa berharganya nyawa. Oleh sebab itu, keutamaan negara pada ketika ini tidak sekadar kepada menjaga nyawa dan kehidupan rakyat, tetapi juga mengembalikan rakyat kepada keadaan kehidupannya yang asal seperti sebelum pandemik COVID-19 melanda negara.

Mimbar merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja atas keprihatinan yang dizahirkan oleh Duli-duli Tuanku terhadap keadaan bangsa dan negara Malaysia mutakhir ini, seperti yang digambarkan di dalam Perbincangan Khas Raja-raja Melayu, kelmarin dulu (16 Jun). Hamba-hamba Kebawah Duli Tuanku menzahirkan keyakinan bahawa kebijaksanaan Duli-duli Tuanku sekalian akan sentiasa menjadi panduan kepada Kerajaan dan rakyat jelata untuk mengharungi zaman pandemik yang masih panjang sehingga ke akhirnya dengan aman dan sentosa. InsyaAllah.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Negara kita, tanggungjawab kita. Usaha membendung penularan COVID-19 serta mengurangkan kesan-kesan buruknya terletak pada bahu kita semua. Tiada siapa yang ingin menjadi penyebab mahu pun penyumbang kepada penularan COVID-19 dalam negara itu. Maka, tidak perlulah kita menjadi salah seorang daripadanya.

Sebaliknya, marilah kita sama-sama mengambil bahagian dalam usaha membasmi pandemik ini dengan mematuhi SOP PKP dan mengambil vaksin. Kepada yang belum mendaftar sebagai penerima vaksin, mendaftarlah sekarang menerusi aplikasi MySejahtera atau cara-cara lain yang disediakan oleh Kerajaan. Kepada yang belum mendapat temujanji penerimaan vaksin, mimbar mendoakan semoga dipermudahkan dan disegerakan menerima vaksin.

Kepada yang telah mendapat vaksin, mimbar mengucapkan tahniah dan menaruh harapan yang tinggi agar terus menjadi teladan kepada bangsa dan negara dengan terus mematuhi SOP PKP dan mengajak ramai lagi di kawasan persekitaran untuk mendaftar dan mendapatkan vaksin serta merasai kebaikan dan kelebihannya. Semua ini, tidak lain dan tidak bukan, merupakan suatu ikhtiar yang bersifat manusiawi agar COVID-19 dapat dijauhkan daripada setiap inci negara Malaysia.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Begitu pun, vaksin kemanusiaan sahaja tidak pernah mencukupi. Kita masih memerlukan kepada vaksin ketuhanan, vaksin yang membolehkan kita selalu kembali kepada Allah, merenung keadaan diri sendiri, menginsafi segala kejadian yang berlaku di muka bumi dan menguatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada-Nya. Vaksin ketuhanan ialah semua bentuk dan rupa pengabdian kita kepada Allah SWT, seperti solat, zikir dan doa, pembacaan dan penghayatan terhadap al-Quran serta sedekah. Semoga dengan pengambilan kedua-dua vaksin ketuhanan dan kemanusiaan ini, Allah SWT menggantikan segala keburukan kita dengan segala kebaikan dan menggantikan segala bentuk kesengsaraan dengan segala bentuk kebahagiaan.

“...dan dirikanlah solat (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama solat) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.” (Surah Hud, ayat 114)

Jumaat, 18 Jun 2021.
Masjid al-Taubah, Kampung Lok Batik, Tuaran, Sabah.

Comments