Vaksin COVID-19: Antara Perlindungan dan Kekuatan


Semuanya bermula pada petang 28 April di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Putatan ketika ada penugasan khusus. Saya dan dua orang lagi pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Penampang dihubungi oleh nombor yang tidak dikenali.

Tuhan, Berikan Aku Perlindungan

Tidak ramai yang tahu hari itu, malah mungkin saya sendiri, sehinggalah pemanggil memperkenalkan diri sebagai anggota Pusat Pemberian Vaksin (PPV) COVID-19 Penampang. Saya tidak mengambil waktu yang lama untuk mengesahkan kehadiran saya di sana.

Alhamdulillah, saya telah selamat menerima dos pertama vaksin COVID-19 jenis Comirnaty (keluaran Pfizer-BioNTech) pada 4 Mei. Saya merupakan orang yang ketiga dalam keluarga saya yang telah divaksin dan, dengan izin-Nya juga, merupakan satu-satunya dalam keluarga saya yang diberi vaksin dalam keadaan menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan.

Saya mengambil masa yang agak panjang untuk menyesuaikan diri selepas divaksin. Hanya merasa kebas di tempat suntikan dan sejuk di keseluruhan tangan kiri. Sedikit rasa pening kerana kurang jam tidur pada hari ini. Selain daripada itu, saya baik-baik sahaja.

Saya duduk seketika setelah disuntik dan berjalan keluar dari PPV dengan rasa terharu. Sebabnya menerima vaksin bukan sahaja tugas negara, tetapi juga sudah menjadi jihad agama, "Lindung Diri, Lindung Semua".

24 Jam selepas Pertama Kali Disuntik Vaksin COVID-19

Seharian selepas pertama kali menerima vaksin COVID-19, kesan suntikan di tangan kiri masih dirasai. Tangan kiri masih terasa lenguh, cuma tidak seperti pada awalnya. Saya juga sempat demam seketika dan menggigil di awal paginya. Malah, sempat kelihatan tidak bermaya dan tidak bertenaga walaupun setelah bersahur.

Tetapi kesan-kesan yang dirasakan ini mengambil masa paling lama tiga hari untuk hilang sepenuhnya. Itu pun sebab rehat yang mencukupi dan pengambilan ubat Paracetamol selepas beberapa jam menerima suntikan. Saya merasa stabil sepenuhnya selepas tiga hari divaksin.

Tuhan, Terima Kasih atas Kekuatan

Keadaan di PPV Dewan Kebudayaan Penampang ketika saya datang sekali lagi tidak lagi seperti sebelumnya. Semakin ramai yang tampil menyahut seruan "Lindung Diri, Lindung Semua".

Sebelum saya datang ke mari pun, terngiang-ngiang lagu Syukur nyanyian Raihan (1997) tetapi dengan lirik parodi komposer AG Coco yang baru diterbitkan oleh ML Studios semalam. Bunyinya, “Cucuk, cucuk, cucuklah, cucuk, cucuk. Alhamdulillah.”

Alhamdulillah, saya telah selamat menerima dos kedua vaksin COVID-19 juga jenis Comirnaty pada 25 Mei, sekaligus sempurnalah untuk diri ini vaksinasi COVID-19. Ketika itu, saya rasa baik-baik sahaja. Barangkali kerana ada minuman koko jenama Hoko.

InsyaAllah vaksin COVID-19 yang ada di Malaysia aman dan halal. Kepada yang belum mendaftar, marilah mendaftar sebagai penerima vaksin. Kepada yang sudah mendaftar, semoga dipermudahkan urusan menerima vaksin.

Terima kasih banyak kepada PPV Dewan Kebudayaan Penampang. Terima kasih juga kepada PPD Penampang.

Comments