Segalanya Ketentuan Tuhan


Segalanya ketentuan Tuhan. Baik kehidupan mahupun kematian. Pendidikan dan pekerjaan. Keperibadian dan kekeluargaan. Persahabatan dan persaudaraan. Semuanya, baik yang sementara berterusan dan yang selamanya berkekalan.

Mana yang dapat diubah, kita usahakan dan doakan. Mana yang sifatnya sebaliknya, kita menerima dengan rasa redha.

Saya selalu diajar dan dididik bahawa kehidupan ini hanya sekadarnya. Sebabnya ada yang lebih bermakna menanti selama mana kita berada tepat di atas jalannya.

Tetapi, biasalah resam manusia, pandai terserong dan tersesat. Allah Maha Pemurah dan Maha Penyayang, akan ada selalu jalan untuk putar balik setelah tersasar daripada yang sepatutnya.

Saya harap dengan petunjuk Allah dan ajaran Rasul-Nya, saya telah dan masih berada di atas laluan yang seharusnya. Dengan bertemankan semua yang masih bersama di mana pun berada. 

Saya tahu saya lemah. Maka, saya berterima kasih kepada Allah dan semua yang Dia kurniakan untuk selalu memberikan saya kekuatan.

Walaupun hanya sebilangan yang mampu bertahan. Kerana sebilangan lagi terputus di tengah jalan. Kerana sebilangan yang lain pula, tanpa meragui takdir, telah dan akan berbeza haluan.

Tetapi, saya menerima semuanya. Selagi diizinkan Allah, saya akan meneruskan kehidupan ini sekadarnya.

Kerana sebanyak mana pun diusahakan dan didoakan, segalanya ketentuan Tuhan.

Comments