Penubuhan ASTiF UMS, Pemangkin Seni, Sastera dan Budaya Sabah


Ikatan Penulis Sabah (IPS) mengucapkan tahniah kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) atas penubuhan Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF). Penubuhan ini sudah setentunya menjadi berita gembira buat komuniti seni, sastera dan budaya Sabah.

IPS turut menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) atas keprihatinannya terhadap seni, sastera dan budaya di Sabah sehingga penubuhan ASTiF di UMS dapat direalisasikan dengan jayanya.

IPS mengambil maklum penubuhan ASTiF yang telah dipersetujui oleh KPT berkuat kuasa 27 April 2021 seperti yang diumumkan Jabatan Pendaftar UMS baru-baru ini. Penubuhan ASTiF di UMS bukan sahaja suatu pengiktirafan kepada kepelbagaian dan keunikan masyarakat majmuk di Sabah, tetapi juga merupakan suatu amanah kepada rakyat dan negeri Sabah untuk sentiasa memartabatkan dan mengembangkan ciri-ciri kesenian yang menggambarkan Sabah.

Oleh itu, IPS menaruh harapan yang tinggi agar dengan terwujudnya ASTiF di UMS, mutu seni, sastera dan budaya di Sabah dapat dipertingkatkan, malah produk-produknya dapat dipasarkan dan dipromosikan dengan lebih giat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

IPS turut mengucapkan tahniah kepada Profesor Madya Dr. Zairul Anwar Md. Dawam atas pelantikan beliau sebagai Dekan ASTiF yang pertama dan mengucapkan selamat maju jaya kepada seluruh warga ASTiF yang akan meneruskan perjuangannya. IPS juga menyatakan hasrat untuk terus bekerjasama dengan UMS dalam bidang pengembangan seni, sastera dan budaya di Sabah.

Kenyataan akhbar ini disiarkan oleh Ketua Dua, Ikatan Penulis Sabah dan disiarkan oleh akhbar Utusan Borneo (Sabah) di dalam edisi hari ini (9 Jun 2021), halaman 4. Sejak 1 Jun 2021, akhbar ini disisipkan bersama The Borneo Post.

Gambar oleh Perpustakaan UMS.

Comments