Ujian buat Palestin


"Rakyat Palestin juga manusia. Di bawah prinsip hak asasi manusia, setiap manusia berhak untuk bernegara di tanah tumpah darahnya."

Saudara-saudara sebangsa dan setanah air,

Marilah sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan, melaksanakan segala suruhan-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Setiap hari dalam kehidupan kita merupakan ujian. Tidak ada satu hari dalam kehidupan kita, baik kehidupan beragama, berbangsa dan bernegara, yang berlalu tanpa ujian. Hakikatnya, ujian merupakan Sunnatullah (tradisi ketuhanan) dalam kehidupan manusia. Tujuannya ialah untuk mengukur tahap keimanan manusia kepada Tuhan yang menciptakannya.

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata “kami beriman” sedang mereka tidak diuji?” (Surah al-Ankabut, ayat 2)

Ketika Malaysia masih berusaha membendung dan mengurangkan kesan penularan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) menerusi seperti penguatkuasaan Prosedur Operasi Standard dan gerakan vaksinasi, Palestin terus ditimpa dengan ujian yang berganda. Palestin turut dilanda dengan penularan pandemik COVID-19 sama seperti negara-negara lain di dunia.

Pada 7 Mei yang lepas, umat Islam di Palestin diserang oleh polis Israel ketika menunaikan solat sunat Tarawih di Masjid al-Aqsa, Baitulmaqdis. Penduduk Palestin sebelum itu telah terlibat di dalam pergaduhan dengan penduduk Israel kerana adanya usaha daripada Mahkamah Agung Israel untuk menghalau enam buah keluarga Arab Palestin daripada kampung mereka di kejiranan Sheikh Jarrah, tidak jauh dari Masjid al-Aqsa.

Serangan dan perbalahan tersebut mengakibatkan bersambungnya semula peperangan antara Israel dengan Palestin yang, pada saat ini, masih belum menemui hujung jalannya. Malah, semakin banyak bangunan yang berharga yang ranap dan semakin banyak jiwa yang tidak berdosa yang terkorban begitu sahaja.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Peperangan tersebut bukanlah pertama kali, tetapi sudah berkali-kali. Seperti yang kita sedia maklum, peperangan antara Israel dengan Palestin telah tercetus sejak tertubuhnya negara haram Israel di atas tanah Palestin pada 14 Mei 1948 hasil keputusan Kongres Zionis Pertama yang bersidang di Basel, Switzerland pada 30 Ogos 1897.

Sejak daripada itu, setiap inci tanah Palestin terus dijajah dan dirosakkan oleh pemerintah dan penduduk Israel. Malah, hak-hak rakyat Palestin untuk bernegara dengan aman dan makmur di tanah air sendiri terus dinafikan. Perkara ini mengakibatkan kemusnahan harta benda, kehilangan nyawa orang yang tercinta, terputusnya bekalan makanan, malah dinafikan hak untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan dan bantuan kemanusiaan.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Sesungguhnya rakyat Palestin merupakan saudara kita. Mereka sangat memerlukan bantuan, dukungan dan sokongan dunia, terutamanya dari negara kita. Selain daripada berdoa, marilah kita menghulurkan sumbangan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh mereka sejak sekian lama menerusi tabung-tabung kemanusiaan yang sah di sisi undang-undang dan dipercayai oleh masyarakat, baik secara fizikal mahupun secara dalam talian.

Di samping itu juga, marilah kita menzahirkan sokongan kepada rakyat Palestin dengan menyampaikan data dan fakta yang sahih dan tepat mengenai Palestin, menyebarkan berita dan perkembangan terkini Palestin daripada sumber-sumber media perdana dan media sosial yang tepat dan boleh dipercayai kepada masyarakat di dalam dan di luar negara kita, serta mengadakan kempen yang meningkatkan kesedaran dan pemahaman masyarakat di dalam dan di luar negara kita tentang pentingnya masyarakat memperjuangkan Palestin di mata dunia.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Semua usaha tersebut tidak lain dan tidak bukan bermatlamat untuk menguatkan semangat rakyat Palestin untuk berjihad di jalan Allah, mengembalikan kehidupan mereka yang punah-ranah serta menjamin semula akses mereka kepada tempat tinggal, makanan, pakaian, ubat-ubatan, persekolahan, pekerjaan dan perniagaan. Ingatlah, rakyat Palestin juga manusia. Di bawah prinsip hak asasi manusia, setiap manusia berhak untuk bernegara di tanah tumpah darahnya. Dari batang air hingga ke samudera, semoga Palestin bebas merdeka.

Jumaat, 21 Mei 2021.
Masjid al-Taubah, Kampung Lok Batik, Tuaran, Sabah.

Comments