Catatan dari Sebuah Tragedi, Jari yang Masih Menuding Sana-sini


Kita perlu berterus-terang kepada diri kita sendiri. Berapa lamakah lagi Sabah perlu dipersalahkan kerana penularan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) yang sekarang?

Gelombang pertama COVID-19 datangnya daripada China. Gelombang kedua pula datangnya daripada Kluster Tabligh Sri Petaling.

Sekarang Malaysia masih berada di gelombang ketiga (dan mungkin keempat, kalau dikira keluk penularan yang sekarang). Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah memang menjadi punca gelombang COVID-19 yang sekarang, tetapi bukan satu-satunya.

Sebelum PRN, pendatang asing tanpa izin (PATI) menceroboh masuk wilayah Sabah menerusi jalan laut dari Filipina. Oleh kerana ada masalah ketika membawa tahanan PATI dari Lahad Datu ke Tawau, maka penularan COVID-19 bermula di dua daerah (Kluster Benteng LD).

Oleh sebab Darurat tidak dimasyhurkan pada waktu itu, maka Perlembagaan menghendaki Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang dibubarkan, diganti menerusi PRN. Ini mengakibatkan pergerakan besar seluruh negara (yang memang Majlis Keselamatan Negara (MKN) benarkan ketika itu), yang menyebabkan penularan meluas di seluruh negara dengan banyak kluster 'bah' dan banyak kluster lain hasil PRN (seperti Kluster Tujuh Serangkai di Tuaran).

Sisa-sisa daripada banyak kluster 'bah' dan kluster berkaitan PRN pada awal tahun ini sedikit sebanyak membawa kepada berkuatkuasanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di beberapa buah negeri sebelum kembali semula kepada PKP Bersyarat (PKPB). Tetapi kluster-kluster yang berkaitan dengan PRN dan insiden sebelumnya sudah lama berakhir. Malah, jarak PRN Sabah dengan sekarang sudah lebih sembilan bulan.

Kita sendiri telah menyaksikan Kluster Teratai (kilang Top Glove, Klang) mengalahkan Kluster Tabligh Sri Petaling dari segi jumlah jangkitan, dan banyak lagi kluster melibatkan kilang dan tempat kerja.

Kita juga telah menyaksikan Kluster Pasai (rentas negeri dari Johor ke Sarawak) yang juga mengalahkan Kluster Tabligh Sri Petaling dari segi jumlah korban, dan ada beberapa lagi kluster melibatkan rentas daerah dan negeri.

Dalam sebulan terakhir ini pun, banyak kluster dan banyak kes sporadik berpunca daripada keramaian di luar kawalan, baik di kawasan kediaman mahupun di kawasan komersial. Terutamanya ketika cuti sekolah dan musim perayaan.

Kita sendiri lebih arif, bijaksana dan berhemah dalam menyenaraikan sebab dan akibat yang saudara-saudara sebangsa dan setanah air masih jalani sampai ke saat ini. Termasuklah PKP 3.0 (atau 3.1 bagi sesetengah orang) yang MKN sedang kenakan di seluruh negara ketika ini (termasuk Sabah dan Sarawak, walaupun kerajaan masing-masing mengenakan PKPB secara tempatan).

Tetapi kita sendiri juga lebih arif, bijaksana dan berhemah dalam mencari dan menjalani penyelesaian bagi semua permasalahan. Bekerja dan belajar dari rumah. Kuarantin kendiri. Keluar rumah dengan keperluan sambil pandai menjaga diri. Daftar dan ikuti proses vaksinasi. Walaupun akan ada pihak yang masih mengikut rentak hatinya seperti yang kita semua saksikan kini.

Sehinggakan kita kadangkala terlupa untuk kembali kepada Allah yang Maha Berkuasa atas segala-galanya, termasuklah bangsa dan negara Malaysia yang mungkin sedang ditertawakan dunia kerana hati dan tangan kita sendiri.

Comments