Madrasah Ramadhan


"Madrasah Ramadhan mendidik hati dan minda agar sentiasa muraqabah dengan Allah SWT, yakni sentiasa sedar bahawa segala amalan, gerak kerja bahkan juga qasad atau azam dan niat kita diketahui, dilihat dan dinilai oleh Allah SWT, dan juga merasai kebesaran dan keagungan Allah SWT, pada setiap masa dan dalam semua hal."

Saudara-saudara sebangsa dan setanah air: Ramadhan Mubarak. Selamat menyambut bulan Ramadhan.

Marilah sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan melaksanakan segala perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Sidang jemaah yang dimuliakan Allah,

Alhamdulillah. Kita amat bersyukur kerana dengan izin Allah SWT, kita diberi peluang sekali lagi bertemu Ramadhan al-Mubarak, bulan yang boleh kita ibaratkan sebagai madrasah yang berperanan mendidik kita menjadi insan yang cemerlang dan mukmin yang bertaqwa sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 183:

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa."

Menurut ahli tafsir muktabar, dapat difahami daripada ayat ini bahawa matlamat difardhukan ibadah puasa ialah menyediakan hati yang bertaqwa – hati yang suci, Hassasiyyah (peka dengan ajaran Islam) dan takut kepada Allah SWT.

Menurut Syeikh Taha Abdullah al-Afifi dalam kitabnya ‘Min Wasaaya ar-Rasul’ menghuraikan bahawa taqwa adalah sifat takut dan rasa gerun dengan Allah SWT. Seterusnya, taat dan beribadah kepada Allah SWT serta membersihkan diri atau mengawal diri daripada dosa.

Al-Marhum Syeikh Said Hawwa dalam kitabnya ‘al-Islam’ pernah menggambarkan bahawa, “Ramadhan pada hakikatnya umpama sekolah.” Dengan erti bahawa segala ruang, masa, suasana dan persekitaran memberi didikan yang khusus lagi istimewa dan tiada bandingannya.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Bulan Ramadhan adalah bulan membina kekuatan. Dr Muhammad al-Bahi dalam kitabnya ‘al-Islam fi Hayatil Muslim’ menyebut bahawa bulan Ramadhan adalah bulan iman, kerana semua amalan yang dilaksanakan oleh orang yang benar-benar berpuasa dalam Bulan Ramadhan itu melambangkan amalan yang lahir daripada keimanan kepada Allah SWT dan memperlihatkan keteguhan iman serta kekuatan hubungan dengan ajaran Islam.

Kekuatan manusia bukan semata-mata terletak pada kekuatan anggota-anggota zahir tubuh badannya, tetapi kekuatan sebenarnya terletak pada kekuatan azamnya, kekuatan ruhnya dan kekuatan imannya yang, insya-Allah, mampu menghadapi dan mengatasi pelbagai kejadian serta masalah hidup tanpa lemah semangat atau berputus asa.

Madrasah Ramadhan mendidik hati dan minda agar sentiasa muraqabah dengan Allah SWT, yakni sentiasa sedar bahawa segala amalan, gerak kerja bahkan juga qasad atau azam dan niat kita diketahui, dilihat dan dinilai oleh Allah SWT, dan juga merasai kebesaran dan keagungan Allah SWT, pada setiap masa dan dalam semua hal.

Sebaik-baik muraqabah ialah muraqabah yang sampai ke peringkat ihsan, “bahawa kamu memperhambakan diri (beribadah) kepada Allah, seolah-olah kamu melihat-Nya (Allah) dan sekiranya kamu tidak dapat melihat-Nya (dengan mata kasar), maka sedarlah bahawa Allah melihat kamu.”

Jika ada rasa Muraqabatullah maka insya-Allah tidak timbullah penyakit-penyakit masyarakat dalam kalangan orang beriman. Tidak timbul pengkhianatan, pecah amanah, rasuah, salah guna kuasa dan segala apa yang dilaknat oleh Allah SWT. Sebaliknya akan lahir sifat-sifat terpuji seperti jujur, amanah, bercakap benar, menepati janji, adil dan tawadhu’ sepertimana dikehendaki dalam ajaran Allah SWT dan Sunnah Rasulullah SAW.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Ibadah puasa dalam Bulan Ramadhan adalah satu latihan membiasakan diri dengan kehidupan yang sulit dan payah, khususnya bagi para daie, dengan cara mengasuh diri menahan daripada menikmati apa yang diingini dan disukai. Maka diri dapat dikawal dan dilentur untuk menjadikan da’i seorang hamba Allah SWT yang benar-benar patuh kepada-Nya.

Puasa adalah satu proses  pembangunan jati diri. Tersebut dalam sebuah hadith qudsi, bermaksud:

"Setiap amal anak Adam diberikan ganjaran sepuluh kali ganda hingga tujuh ratus kali ganda kecualilah puasa. Sesungguhnya ia adalah untuk-Ku, Akulah yang akan memberikan ganjarannya. Dia meninggalkan syahwat dan makan semata-mata kerana-Ku."

Puasa juga melatih kesabaran. Rasulullah SAW bersabda, bermaksud:

"Tiap sesuatu ada zakatnya, dan zakatnya badan adalah puasa, dan puasa itu separuh daripada kesabaran." (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Puasa turut melatih diri untuk menghargai dan mensyukuri nikmat Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud:

"Pernah Tuhanku menawarkan kepadaku untuk menjadikan lembah Makkah penuh dengan emas. Aku menjawab: Tidak, ya Tuhanku. Akan tetapi aku ingin kenyang sehari dan lapar sehari. Jika aku lapar, aku semakin dekat dan ingat kepada-Mu, dan apabila aku kenyang, aku akan bersyukur dan memuji-Mu." (Hadis Riwayat al-Tirmidzi)

Puasa seterusnya melahirkan rasa kasih terhadap manusia lain yang susah dan menderita. Nabi Yusuf AS banyak melakukan puasa padahal baginda berada di tengah-tengah perbendaharaan dunia. Di tangannya kekayaan dan dana yang melimpah ruah. Apabila ditanya, baginda menjawab: “Aku takut, apabila aku kenyang, aku akan lupa kelaparan yang diderita oleh orang miskin.”

Sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud:

"Orang yang bersifat kasih sayang akan dikasihi Allah Maha Pemurah lagi Penyayang. Sayangilah makhluk di bumi nescaya kamu akan dikasihi oleh (Maha Penyayang) yang ada di langit." (Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Tirmidzi)

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Ramadhan adalah bulan mujahadah. As-Syahid Sayyid Qutb dalam Tafsir fi Dzilalil Quran menyatakan bahawa "puasa merupakan medan memerangi dan memenangi tarikan hawa nafsu".

Syeikh Abdullah Nasih ‘Ulwan dalam buku Menuju Taqwa menayatakan bahawa asas mujahadah terdapat dalam firman Allah SWT dalam Surah al-Ankabut, ayat 69:

"...dan orang bermujahadah (berusaha bersungguh-sungguh) di jalan Kami nescaya Kami akan pimpin mereka kepada jalan Kami dan Allah sentiasa bersama-sama dengan orang berusaha memperbaiki amalannya (muhsinin)."

Madrasah Ramadhan sebenarnya mendidik manusia agar menjadi insan Rabbani di sepanjang hidup (dalam Bulan Ramadhan dan selepas Bulan Ramadhan), yakni insan yang sentiasa berhubung dengan Allah SWT dan taat kepada-Nya.

Ada baiknya kita memperingati kata-kata ulama yang berikut, "Jadilah kamu manusia Rabbani (yang berpaksikan Allah SWT) dan janganlah kamu menjadi manusia Ramadhani (yang semata-mata menunggu Ramadhan sahaja).”

Jumaat, 16 April 2021.
Masjid al-Taubah, Kampung Lok Batik, Tuaran, Sabah.
Khutbah disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. 

Comments