Kalam Suci Anugerah Ilahi


"Ingatlah hak al-Quran mesti sentiasa dibaca dan difahami. Jika melihat al-Quran pun telah dijanjikan ganjaran oleh Allah SWT, apatah lagi jika kita membaca, menghafaz, memahami dan mengamalkannya."

Saudara-saudara sebangsa dan setanah air,

Marilah sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan melaksanakan segala perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Ramadan adalah bulan kemuliaan yang padanya diturunkan al-Quran oleh Allah SWT daripada Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia. Setelah itu ia diturunkan secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril AS selama 23 tahun. Al-Quran adalah mukjizat teragung Baginda Nabi SAW yang terpelihara sehingga ke hari ini. Firman Allah SWT di dalam surah Saad ayat 29 yang bermaksud:

“(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”

Menurut Syeikh Sya’rawi Rahimahullah ketika menafsirkan kalimah ‘Mubarak’ dalam ayat tersebut, ia membawa maksud benda yang sedikit tetapi manfaat dan kebaikannya jauh melebihi apa yang digambarkan. Ayat-ayatnya mempunyai keberkatan dari sudut hukum zahir yang dapat mentarbiyahkan jiwa untuk hidup dengan istiqamah. Hakikatnya istiqamah tidak memberi beban walaupun sedikit dan yang membebankan hidup manusia adalah perbuatan penyelewengan.

Al-Quran sangat memberi peranan kepada aspek kehidupan manusia antaranya ialah aspek ekonomi. Zaman jahiliyyah suatu ketika dahulu menyaksikan sistem ekonomi yang berteraskan riba dan penindasan, namun al-Quran hadir membawa sistem ekonomi Islam yang bebas dari riba, penindasan, penipuan dan paksaan malah menetapkan prinsip-prinsip ekonomi yang berteraskan akhlak, keadilan sejagat, pengagihan kekayaan secara adil dan memberi kesejahteraan kepada masyarakat.

Al-Quran juga membawa peranan yang besar untuk mendidik manusia dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Melalui konsep ta’alim, Tarbiyyah dan ta’dib, al-Quran bukan sahaja menerapkan ilmu-ilmu berkaitan fardu ain bahkan juga ilmu-ilmu fardu kifayah seperti perniagaan, kedoktoran, ekonomi, fizik, astronomi dan sebagainya. Bahkan al-Quran telah memainkan peranan yang cukup penting dalam pembinaan tamadun Islam agar umatnya terus belajar, mengkaji dan mencari ilmu.

Di samping itu, al-Quran juga sangat menitik beratkan aspek sosial masyarakat, persaudaraan, perdamaian, kebersamaan, tolak ansur, tolong-menolong, belas kasihan dan sebagainya. Malah, al-Quran juga mendidik manusia supaya menghindari daripada perpecahan, perbalahan, kezaliman, diskriminasi, perbuatan khianat, dengki dan lain-lain.

Sebagai perlembagaan teragung umat Islam, al-Quran menjadi sumber utama kepada hukum-hakam dan peraturan-peraturan hidup manusia yang mencakupi ibadah, munakahat, jinayat, muamalat dan sebagainya. Justeru, al-Quran menjadi asas utama kepada perundangan Islam. Dasar-dasar perundangan yang dinyatakan oleh al-Quran sentiasa memberi keadilan mutlak kepada seluruh manusia dan memelihara maqasid al-syariah iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Di saat kita sedang menghampiri pertengahan Ramadan (malah kita sebenarnya telah berada di dalamnya), mimbar ingin menyeru sidang jemaah sekalian agar terus mendampingi al-Quran. Bagi yang belum melakukan apa-apa, masih ada kesempatan lagi untuk menyahut seruan ini. Usahlah dibiarkan Ramadan yang kita lalui berlalu dengan begitu sahaja tanpa kita membaca, menghayati dan bertadabbur ayat-ayat suci al-Quran.

Ingatlah hak al-Quran mesti sentiasa dibaca dan difahami. Jika melihat al-Quran pun telah dijanjikan ganjaran oleh Allah SWT, apatah lagi jika kita membaca, menghafaz, memahami dan mengamalkannya. Imam al-Bukhari meriwayatkan hadis daripada Saidatina Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Perumpamaan orang membaca al-Quran sedangkan dia menghafaznya, maka dia akan bersama para malaikat mulia. Sedangkan perumpamaan seorang yang membaca al-Quran dengan tekun dan dia mengalami kesulitan atasnya, maka dia akan mendapat dua ganjaran pahala.”

Justeru, berazamlah untuk menjalani kehidupan dengan mendampingi al-Quran. Kita boleh membacanya dengan menggunakan pelbagai aplikasi al-Quran namun, pastikan aplikasi tersebut yang telah dipasang pada telefon pintar adalah tepat dan betul untuk digunakan. Di samping dapat membaca, kita juga dapat memahami makna setiap ayat dengan pantas.

Marilah kita mengajak isteri, anak-anak dan saudara-mara untuk melazimi membaca dan bertadabbur al-Quran menggunakan aplikasi moden seperti Whatsapp dan sebagainya. Mimbar ingin menegaskan bahawa kita mestilah mengamalkan apa yang telah dibaca bukan setakat memahami tanpa menjadikannya sebagai panduan hidup.

Marilah kita membudayakan amalan membaca, memahami dan bertadabbur ayat-ayat al-Quran dalam kehidupan walau di mana sahaja kita berada dan bekerja. Ingatlah bahawa setiap seorang daripada orang Islam seharusnya mempunyai sekurang-kurangnya senaskhah al-Quran. Justeru, amatlah digalakkan kita menghadiahkan al-Quran kepada ahli keluarga, kenalan dan rakan sekerja. Di samping itu, kita juga boleh mewakafkan al-Quran kepada pihak-pihak yang memerlukan. Dalam suasana keindahan melakukan ibadah di bulan Ramadan ini, marilah kita mengambil peluang untuk bertadarus al-Quran di masjid, surau, rumah, pejabat, sekolah dan di mana sahaja yang sesuai demi meraih keberkatan dan kerahmatan daripada Allah SWT.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Al-Quran merupakan anugerah terbesar bagi kehidupan kita. Ia adalah penawar bagi segala penyakit rohani dan jasmani manusia. Ia menjadi pengubat buat jiwa manusia yang sedang dilanda keresahan, kebimbangan dan keluh kesah.

Dalam situasi pandemik COVID-19, tidak dinafikan kebanyakan masyarakat kita hari ini dihimpit dengan pelbagai tekanan hidup, kesempitan dan kesusahan. Justeru, al-Quran adalah penawar yang dapat mententeramkan dan mengharmonikan jiwa insan yang dihimpit pelbagai mehnah dan ujian. Mudah-mudahan dengan keberkatan al-Quran yang selalu kita lazimi di bulan yang mulia ini, Allah SWT akan menghapuskan wabak pandemik COVID-19 dari bumi ini.

“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” (Surah al-Israa, ayat 82)

Jumaat, 23 April 2021.
Masjid al-Baari, Taman Ketiau, Putatan, Sabah.
Khutbah disediakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Comments