Ahlan wa Sahlan ya Ramadhan


"Terbayang di wajah mereka kegembiraan kehadirannya, terungkap di lubuk hati. Kalau dulu dikatakan 'tiba-tiba Ramadhan', kali ini 'Ramadhan tiba!' Mereka kata "Ahlan wa Sahlan ya Ramadhan!" Selamat datang wahai Ramadhan, kami menunggu ketibaanmu!"

Saudara-saudara sebangsa dan setanah air,

Marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa dengan melaksanakan segala perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita akan sentiasa berada dalam rahmat dan keredhaan Allah SWT insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Kita sudah berada di penghujung bulan Syaaban dan dalam beberapa hari lagi, dengan izin Allah SWT, kita akan menghadapi bulan Ramadhan, bulan kemuliaan, bulan yang dilimpahi kerahmatan, bulan yang penuh keberkatan. Bulan Ramadhan, bulan yang dinanti-nanti oleh mereka yang mendambakan keampunan Allah SWT. Mereka yang sejak Bulan Rejab lagi telah berdoa, "Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan."

Terbayang di wajah mereka kegembiraan kehadirannya, terungkap di lubuk hati. Kalau dulu dikatakan 'tiba-tiba Ramadhan', kali ini 'Ramadhan tiba!' Mereka kata "Ahlan wa Sahlan ya Ramadhan!" Selamat datang wahai Ramadhan, kami menunggu ketibaanmu!

Bulan Ramadhan, bulan istimewa yang disebutkan dalam al-Quran dan mengandungi bermacam tawaran dan ganjaran yang sangat lumayan. Dalam bulan ini, difardhukan berpuasa kepada sekalian umat Islam sebagaimana terkandung dalam Surah al-Baqarah, ayat 185:

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keteranganketerangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, Kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia (Allah) tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.”

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Ibadah puasa yang disyariatkan kepada kita bermatlamat menjadikan kita sebagai insan yang bertaqwa yang menjiwai rasa memperhambakan diri kepada Allah setulusnya. Ayat 183 dari Surah al-Baqarah telah menjelaskan tentang objektif utama ibadah puasa sebagaimana firman-Nya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa."

Oleh sebab itu, marilah kita mempersiapkan diri dengan sebaik-baiknya dalam rangka menyambut bulan yang penuh berkat ini. Mudah-mudahan, dengan persiapan yang rapi, kita dapat memanfaatkannya secara maksimum untuk beribadah mendekatkan diri kepada Allah SWT. Seterusnya, matlamat utama puasa – yakni menjadi insan bertaqwa – akan tercapai sepenuhnya. Rasulullah SAW berpesan kepada kita tentang kelebihan Bulan Ramadhan - sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh al-Nasa'i dari Abu Hurairah RA:

"Sungguh, telah datang kepada kamu Bulan Ramadhan, bulan yang penuh berkat, iaitu pada bulan tersebut Allah SWT mewajibkan kamu untuk berpuasa. Pada bulan itu, pintu-pintu langit dibuka, manakala pintu-pintu neraka ditutup serta syaitansyaitan dibelenggu. Pada bulan itu terdapat sebuah malam yang lebih baik dari seribu bulan (itulah Lailatul Qadr)." (Hadis riwayat an-Nasaie)

Sidang jemaah yang berbahagia,

Jelasnya, Ramadhan yang bakal kita tempuh ini merupakan detik dan masa yang sangat istimewa, masa untuk kita mendidik jiwa, melatih peribadi, jasmani dan rohani ke arah menjana iman dan taqwa serta menghindari perkara-perkara maksiat, mungkar dan sia-sia. Sebagai menyatakan rasa syukur dan kegembiraan kita menyambut tibanya Ramadhan al-Mubarak ini, seharusnya kita mempersiapkan diri dari sudut mental, fizikal dan spiritual saat kita menghadapinya.

Oleh itu, bagi memastikan tarbiyah Ramadhan kali ini benar-benar dihayati, mimbar ingin mengingatkan para jemaah sekalian beberapa langkah penting sebagai persiapan kita melalui detik-detik Ramadhan iaitu:

Pertama, persiapkan niat yang betul untuk menghadapi Ramadhan ini hanya kerana Allah SWT, tanpa niat maka amalan tidak dikira sebagai ibadat dan ia hanya menjadi adat kebiasaan sahaja.

Kedua, bersungguh-sungguh dalam bertaubat dan mensucikan hati serta jiwa nurani dengan mengharapkan maghfirah (keampunan) dan rahmat daripada Allah SWT.

Ketiga, mengambil peluang mempertingkatkan ilmu serta kefahaman yang secukupnya bagi menghadapi cabaran selama sebulan sebagai bekalan dan benteng untuk menempuh ujian-ujian dalam sebelas bulan yang bakal mendatang.

Keempat, berusaha menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang sia-sia, melalaikan, tidak memberi manfaat, berkata-kata yang tidak perlu, mengelakkan pertengkaran dan sebagainya kerana boleh membawa kepada permusuhan; dan

Kelima, memperbanyakkan aktiviti yang dapat meningkatkan kekuatan dan ketahanan jiwa dalam mencapai kualiti puasa di samping selalu berdoa agar dipertemukan dengan Ramadhan yang akan datang.

Selain itu, mimbar turut mengingatkan agar penghayatan Ramadhan kali ini hendaklah selari dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semasa yang sedang berkuatkuasa. Kita amat bersyukur kerana Kerajaan telah bersetuju membenarkan aktiviti agama termasuklah solat sunat Tarawih, ceramah agama dan tadarus sepanjang bulan Ramadhan, namun pelaksanaannya mestilah mengikut keputusan dan ketetapan pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

Dengan kehadiran Bulan Ramadhan al-Mubarak ini, kita seharusnya mengambil peluang sebaik mungkin dengan memperbanyakkan amalan sunat, membudayakan diri berjemaah di masjid, membaca dan memahami ayat-ayat al-Quran, bertaubat, berdoa, melazimi lidah dengan zikir dan selawat. Pada malamnya pula, usahakanlah amalanamalan qiyam bersama keluarga dengan sembahyang sunat Tarawih, Witir, Tahajjud dan seumpamanya.

Selain itu juga, kita perlu mengambil berat dan prihatin terhadap ahli keluarga, saudara-mara, dan jiran tetangga kita yang mungkin terjejas akibat pandemik Covid-19, bencana banjir, serta masalah-masalah lain. Hulurkanlah bantuan, perbanyakkan sedekah bagi meringankan beban mereka sekaligus ia akan memantapkan penghayatan kita tentang ‘hablun min Allah wa hablun minannas’ iaitu hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita jadikan Bulan Ramadhan sebagai penggerak yang membawa kepada perubahan ketaqwaan yang besar dalam diri kita serta mampu mendidik hati dan jiwa untuk sentiasa patuh mengerjakan segala yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah SWT. Manfaatkan Bulan Ramadhan ini dengan memperbanyakkan sumbangan infak dan berwakaf bertepatan juga dengan Sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan 2021 yang akan diadakan pada 13 April 2021. Dengan wakaf inilah antara usaha untuk sama-sama membantu memakmurkan institusi wakaf di negara ini. Mudah-mudahan dengan itu, kita dapat merancakkan ekonomi umat Islam dan seterusnya menjadi pahala yang mengalir berpanjangan buat kita selepas mati nanti.

“...dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang dia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya.” (Surah al-Israa, ayat 19)

Jumaat, 9 April 2021.
Masjid al-A'laa, Kampung Lokub, Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah.
Khutbah disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.  

Comments