Peduli dalam Pandemi

“Abang minta maaf, Afiq!” Orang ramai terdengar aku menjerit sekuat hati. Aku tidak pernah menjerit sekuat itu, malah kepada sesiapa pun, seumur hidupku.

Kawan-kawan Afiq mengusap belakangku, tidak kurang jua ada yang memelukku saat aku menangis sekuat hati. Mereka juga berlinang air mata. Tidak kurang ada hati-hati yang terdengar jeritannya. 

Aku terlihat Afiq yang telah tidak bermakna, yang telah meninggalkan dan ditinggalkan semuanya. Lebih malang lagi, tidak dapat mendekatinya dengan apa jua cara. 

Sekumpulan orang membawanya pergi tanpa diketahui menghala ke mana. Semuanya terpaku dan termangu, tidak punya jawapan yang nyata. 

Bertanya orang itu, menggeleng kepala. Bertanya orang ini, juga menggeleng kepala. 

“Afiq!” Aku menjerit lagi sekuat jiwa dan raga. Yang lain juga meraung walaupun sudah hilang suaranya. 

Aku cuba mengejarnya dan sekumpulan orang yang membawanya. Sebabnya aku mengerti dan mengakui salahku sebelum-sebelumnya yang aku tidak dapat jelaskan di sini... sehingga akhirnya aku dan Afiq telah berjauh hati. 

Jeritan aku tidak habis lagi sehingga aku terjatuh sendiri ketika di perkejaran. Kaki aku tersadung. Kepala aku terhantuk di atas jalan aspal. 

Lalu, aku terbangun daripada pengsan. Aku menjerit lagi sambil disapa dan dipeluk oleh seseorang. 

“Afiq!” Afiq memeluk aku sambil aku menjerit lagi dan menangis.

“Abang minta maaf!” Aku cium tangannya sambil meminta dengan bersungguh-sungguh. Aku menjerit lagi dan menangis. 

Alif yang berada di sebelah Afiq turut memeluk aku sambil merasa kehairanan. 

“Abang ok ndak?” 

Aku mengambil waktu yang lama untuk menenangkan keadaan. Barulah aku dapat mengangkat mulut dengan selesanya. 

"Bukan Afiq masuk hospital kah tempoh hari?" 

"Abang ok ndak? Abang salah orang kali," jawab Afiq. "Kawan saya yang masuk hospital tetapi sudah keluar." 

Hari itu, pandemi masih bersemi tetapi kondisi setempat semakin murni. Pemerintah setempat meletakkan kawalan di Tahap 1. 

“Mari, Bang, kita keluar dulu.” Afiq dan Alif membawa aku keluar dari pertiduran. 

Ramai yang menungguku di halaman tamu. Semua wajah yang hadir, satu-satu aku ingati. 

Lebih aku ingati, ada yang dulu diuji Tuhan dengan tertimpa pandemi... tetapi telah disembuhkan dengan izin Ilahi. 

Aku sudah terlalu lama tidak terlihat mereka, tidak terkira dengan jari sela waktunya. Terlalu lama. 

Aku pernah berputus asa, malah pernah cuba menolak tepi mereka. 

Sebabnya penularan pandemi membuatkan semua sudah hampir hilang peduli kecuali dengan diri sendiri. 

Bertahun dulu, aku bertanya khabar satu persatu. Tidak semua berada dalam negara. Ada yang merantau jauh ke Inggris, aku mengerti semuanya. 

Walaupun aku sudah berjawatan tinggi di pemerintahan, aku tidak pernah lupa mereka. Mengapa tidak, sudah bertahun aku berusrah dengan mereka dan mereka pun berusrah dengan aku. 

Usrah mengajarkan aku untuk saling mendekatkan walau apa pun cabaran dan perbedaan; selalu bertukar ilmu, pengalaman dan pandangan; berkongsi rasa dan pemedulian. Walaupun tidak semua beriltizam dengannya. 

Ini tidak adil bagiku. Bertahun sudah aku bersama mereka. Dari bangku sekolah kerana menara gading, sehingga kembali satu pasukan lagi di pemerintahan walaupun di instansi yang berbeda. 

“Apa perasaan kalian sekarang?” Aku masih tercari-cari ketenangan. Mereka tidak mahu menjawab, malah meminta aku menjawab dulu soalanku sendiri. 

"Abang ok ndak?" 

Aku sesungguhnya terlalu rindu. Aku cuba mencari ruang dan peluang untuk, kalau tidak bersama, menghubungi setiap daripada mereka. Tetapi pemerintahan membutuhkan aku untuk memimpin perang melawan pandemi. 

Sampaikan terlupa salah seorang daripada yang menjengah aku turut menjadi mangsa pandemi tetapi kemudiannya diselamatkan. 

“Masa saya mula-mula kena dulu, saya tidak rasa apa-apa gejala. Memang tidak bergejala. Hanya setelah sehari dua, saya merasa penat. Sikit-sikit batuk kering. Sikit-sikit selesema. Tetapi kemudian, saya kembali sihat seperti sediakala,” Danish mengangkat bicara. 

“Cuma saya sedih, bang, sebab orang takut mahu mendekat dengan saya setelah sembuh. Sedangkan saya sudah sihat dan tidak akan menjangkiti sesiapa lagi. Virus di dalam badan saya, doktor sudah sahkan semuanya mati.” 

"Masa kena kuarantin di hospital pun saya rasa sakit, bang, inikan juga selepas keluar hospital, semua ketakutan mahu berjumpa. Saya ndak tahu apa salah saya." 

Danish menangis. Dia memang mengharunginya lama dulu, lama sebelum ikut datang ke mari. 

Aku memeluknya. 

“Abang, kami mahu minta maaf sebab tidak berapa dengar cakap abang dulu. Suka buat hak sendiri. Abang pernah jatuh, kami tidak pernah tarik. Abang sendiri pernah sakit, kami pernah tidak peduli.” 

"Kami pun selalu terlupa, bang. Masa kami di asrama dulu, Abang mengajar di sekolah lain, Abang selalu datang menjenguk kami, tanya khabar kami, kasi kami macam-macam... Sampai terkurang seorang, masih ndak terkira, bang." 

Aku menangis lagi mendengarkan ini. 

“Betul, kita prihatin dengan menjaga jarak fizikal, memakai pelitup separuh muka, selalu cuti tangan, di tempat umum terutamanya, tetapi bukan begini.” Mereka tidak dengar hatiku berbicara seperti ini. 

Aku hanya menangis sambil ditenangkan oleh Alif. 

"Tapi itulah, Abang pun banyak kali terlebih dan terkurang, Abang minta maaf banyak-banyak. Abang ingat ndak sempat sudah berjumpa dengan kalian semua, terutamanya apabila sudah bergabung dengan pemerintahan." 

“Syukurlah, hari ini tempat kita di Tahap 1, semuanya selamat. Kalian pun telah divaksin. Rasa dilindungi, bukan?” Kataku. 

Aku gembira, Tuhan memakbulkan doa semua yang masih mencinta apa pun keadaannya. 

Barulah aku tersenyum dan mengembalikan perbualan ke asal sepertimana kali terakhir berberapa tahun sebelum pandemi melanda.  Rasa seperti berada di surau sekolah lagi, tetapi rupa dan warna hidup yang sudah berbeza. 

"Kalau Abang diberi peluang berbuat sesuatu untuk kalian semua, kalian mahu apa?" Aku bertanya mereka. 

"Mahu buka puasa dan tarawih dengan Abang. Abang jadi imam kami lagi," jawab Ichal, sambil diiyakan oleh kawan-kawan. 

Aku menjawab mereka semula apabila tiba Ramadhan dalam keadaan tempat tetap dikawal di bawah Tahap 1. 

Di rumah rasmi aku yang sekarang, aku mengalu-alukan mereka semua sebanyak hajat yang mereka inginkan: untuk iftar sama-sama, untuk bersolat tarawih sama-sama, malah untuk moreh, qiamullail dan sahur sama-sama. Aku bersyukur, semua mereka ada.

Diterbitkan di Utusan Borneo (Sabah) pada 28 Mac 2021, halaman 15.

Comments