Ujian Tahun Baru


"Segala bentuk dugaan yang menimpa kita hendaklah dipandang dari sudut yang berbeza daripada biasa. Tidak ada yang diperlukan melainkan ketenangan dan kesabaran saat menempuh ujian. Sebabnya, pada akhirnya, kemenangan hanya akan menjadi milik mereka yang jiwa dan raganya mempunyai ketahanan."

Saudara-saudara sebangsa dan setanah air, di mana pun jua berada di seluruh pelusuk dunia: Selamat Tahun Baru 2021.

Marilah sama-sama kita merafakkan segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT, Tuhan Yang Maha Esa, kerana dengan limpah kurnia-Nya serta izin-Nya, dapatlah kita meneruskan kehidupan pada tahun ini. Pada masa yang sama, marilah sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan, melaksanakan segala suruhan-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Tidak semua kita dapat sampai ke tahun ini. Sebilangan daripada kita, apa pun sebab dan keadaannya, telah pun dijemput pulang ke pangkuan Ilahi. Merekalah orang-orang yang selama ini telah kita kenali dan santuni, kalau bukan sebagai orang kebanyakan, sebagai orang yang kita kasihi. Termasuk dalam kalangan mereka ini, para pahlawan negara dan pejuang bangsa yang benar-benar menterjemahkan cintanya pada jiwa dan raga perjuangannya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh-roh suci mereka. Sesungguhnya hadir mereka dulu di dunia penuh dengan erti dan makna, budi dan jasa.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Tahun Baru Masihi kali ini tidak seperti sebelumnya. Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) masih melanda hampir seluruh pelusuk dunia. Malaysia masih berhempas-pulas memeranginya, malah memerlukan masa yang lebih lama untuk terus melakukannya supaya kesihatan dan ekonomi, nyawa dan kelangsungan kehidupan diseimbangkan dan disetarakan sebaiknya. Rakyat dan penduduknya tidak mempunyai pilihan melainkan untuk meneruskan kehidupan dengannya dalam norma luar biasa.

Ada yang memandang hari ini sebagai suatu kegagalan. Malah, ada yang melihatnya sebagai sesuatu yang tidak akan dapat memberikan apa-apa harapan dan masa depan. Hakikatnya, kita semua sedang menempuhi pelbagai cabaran yang tidak pernah dibayangkan. COVID-19 bukan sahaja menggoncangkan sistem kesihatan, tetapi juga menjejaskan dan merosakkan sebahagian besar keseluruhan rantaian, jaringan dan sistem kehidupan, termasuk ekonomi, sosial, pendidikan, kebudayaan dan kesenian, dan pelancongan.

Sekarang bukan lagi masanya untuk menyalahkan dan menyesali segalanya. Segala bentuk dugaan yang menimpa kita hendaklah dipandang dari sudut yang berbeza daripada biasa. Tidak ada yang diperlukan melainkan ketenangan dan kesabaran saat menempuh ujian. Sebabnya, pada akhirnya, kemenangan hanya akan menjadi milik mereka yang jiwa dan raganya mempunyai ketahanan. Firman Allah SWT dalam Surah at-Taghabun, ayat 11:

“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Malaysia bukanlah sebuah negara yang mudah berputus asa. Seluruh rakyat dan penduduknya, dari Perlis sampailah ke Sabah, semoganya begitu jua. Kita semua masih ada harapan dan masa depan yang menyala-nyala. Usahlah jadikan musim pandemik COVID-19 serta kesan-kesan buruk yang datang bersamanya sebagai waktu untuk terus menyerah dan mengalah. Sebaliknya, ambillah segala ruang dan peluang yang ada untuk membina azam dan cita-cita yang lebih mulia, tidak sekadar di dunia ini, tetapi juga di Akhirat sana.

Sudah menjadi resam, tiba sahaja tahun baru, baik Hijri mahupun Masihi (serta bagi agama dan bangsa yang lain yang ada kalendarnya sendiri), kita selalu diingatkan untuk menetapkan azam dan cita-cita, kalau bukan untuk dicapai pada tahun ini, pada tahun-tahun yang berikutnya selagi hayat masih ada. Paling tidak, kita perbaharui azam dan cita-cita yang ditetapkan pada tahun sebelumnya. 

Walaupun begitu, azam dan cita-cita sahaja tidak mencukupi. Kedua-duanya mesti disertai dengan empat tindakan. Pertama, berdoa agar tercapai semua azam dan cita-cita. Kedua, berusaha dengan sedaya upaya untuk mencapainya. Ketiga, mengikhtiarkan sesuatu sebagai persediaan luar jangka, dan keempat, bertawakkal kepada Allah setelah melakukan segala-galanya yang termampu dan terdaya.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Sedarilah, setiap detik yang berlalu tidak akan mampu diulangi semula. Setiap titik hujan yang turun ke bumi tidak akan kembali ke langit semula. Setiap derai nasi yang telah dimasak menjadi bubur tidak akan kembali menjadi biji padi semula. Tetapi, kita masih ada harapan dan masa depan yang menunggu di depan sana. Kita hanya perlu berusaha, berdoa, berikhtiar dan bertawakkal kepada Tuhan yang Maha Kuasa untuk mencapainya. 

Marilah kita lakukannya bersama-sama, lebih-lebih lagi ketika semua merintih dan berharap agar COVID-19 diangkat dari dunia dan tamadun manusia secepatnya. Semoga Allah menjauhkan kita semua daripada COVID-19 serta kesan-kesan buruknya, mengembalikan kehidupan kepada keadaan yang asal pada suatu masa yang berikutnya, serta memudahkan urusan kita semua untuk mencapai segala azam dan cita-cita.

“...dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), kelak Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” (Surah at-Taubah, ayat 105)

Jumaat, 1 Januari 2021.
Masjid al-Taubah, Kampung Lok Batik, Tuaran, Sabah.

Comments