Dua Tahun yang Amat Berbeza


Tahun lepas tidak akan pernah sama dengan tahun ini. Begitulah jua di antara tahun ini dengan tahun seterusnya. 

Saya dapat merasakan kejayaan pada kelas yang tersendiri pada tahun 2019, tetapi tidak pada tahun 2020. Kita semua sedia maklum, dua tahun yang berbeza membawa bersama dua jenis landskap kehidupan yang berbeza, dua jenis kenangan yang berbeza dan dua jenis pengajaran yang juga berbeza. 

Saya memandang 2019 sebagai tahun kecemerlangan. Memang sesungguhnya saya tidak menerima sebarang bentuk pengiktirafan secara formal daripada mana-mana pihak. Tetapi, pelbagai bentuk kejayaan yang di luar rekod memberi inspirasi dan makna kepada saya, rakan-rakan sepasukan dan organisasi yang diwakili. 

Saya juga memandang 2019 sebagai tahun pengembaraan. Tidak pernah terfikir sebelum-sebelum ini bahawa saya akan mengembara ke tiga buah negara ASEAN sekaligus atas tujuan sosial dan budaya. 

Saya turut memandang 2019 sebagai tahun jalinan dan jaringan. Menghubungkan dua buah sekolah secara formal bukanlah suatu hal yang mudah. Begitulah jua halnya dengan dua buah negeri dan dua buah negara. Tetapi, dukungan dan sokongan pelbagai pihak telah menampakkan dan menjadikannya lebih mudah. 

Tetapi tidak pada tahun 2020. Penyakit Koronavirus 2019 membuatkan dunia dan tamadun manusia berubah hampir 360 darjah. Ekonomi, politik dan sosial pelbagai sektor dan peringkat tidak mempunyai pilihan melainkan untuk menyerah dan mengalah. 

Sampai saat ini, dunia hanya ada satu iltizam untuk meneruskan kehidupan seperti biasa, iaitu norma luar biasa. Begitu pun, tidak semua dapat bertahan dengannya walaupun dapat terus mengamalkannya di mana-mana, terutama di tempat-tempat yang bersifat perdana. 

Hari ini, kecemerlangan bukan lagi pilihan, tetapi ketahanan yang memerlukan kepada pengesanan, penyelesaian dan pengekalan kepada sebarang bentuk permasalahan. Kemenangan yang sebenar hanya dapat dimiliki oleh golongan yang kekal bertahan dalam sebarang keadaan. Kemenangan kerana kecemerlangan hanya dapat dikembalikan setelah dunia – atau paling tidak, negara – kembali kepada keadaan asal kehidupan seharian. 

Hari ini juga, pengembaraan ke negara asing juga bukan lagi pilihan. Semua negara kini hanya mahu merasa selamat dan sejahtera selama menerima ujian Tuhan. Ada baiknya kita meneroka pelbagai pelusuk di dalam negara sendiri, mencari erti-erti keamanan dan kemakmuran dalam semangat beragama dan berkebangsaan. 

Begitu pun, tidaklah pernah diabaikan erti dan harga jalinan dan jaringan. Tahun ini, kita lebih dekat dengan semangat dan sifat kekeluargaan. Pada masa yang sama, kita lebih menghargai dan mensyukuri, kalau bukan erti kemasyarakatan, erti persahabatan. Begitulah juga penghayatan kita terhadap hubungan dalam dan antar organisasi mahupun negara. 

Benarlah, hanya kuasa Tuhan dapat memisahkan. Kuasa Tuhan jugalah yang selama ini menemukan dan mengekalkan. 

Itu semua telah saya dapatkan selama ini, lebih-lebih lagi apabila pada saat semua sahabat saya masih ada lagi, Allah memanggil pulang salah seorang daripada mereka tanpa pernah disangka-sangka. Masih saya sesali sampai kini kerana tidak pernah meluahkan rasa cinta dan kasih sayang kepada Allahyarham Abdul Quzzaimie semasa hayatnya. 

Lebih disesalkan, dia juga tidak pernah meluahkan yang sama kepada diri ini. Luahan itu hanya berakhir pada talkin yang saya baca sendiri, itu pun setelah berhari-hari pergi, tetapi tidak akan didengari lagi melainkan Ilahi dan semua yang ketika itu berada di sisi. Begitu pun, saya beruntung kerana menjadikan tahun-tahun terakhir hayatnya untuk menyantuni dan disantuni diri ini. 

Semoga Allah merahmati roh semua yang pernah dikasihi dan dihormati. Hadirnya dulu mereka di dunia ini indah sekali. Mudah-mudahan dikembalikan ke Hari Akhirat di Syurga dalam keadaan yang lebih indah lagi. 

Kepada yang masih ada lagi, saya harap saya dapat melakukannya sekali lagi dan untuk ramai lagi. Saya tidak pernah kisah ditendang keluar dan ditolak jatuh ke tepi. Saya juga tidak pernah kisah dibiarkan bersendiri, menggulung diri di tengah panas terik dan sejuk angin bersalji. Semuanya akhirnya kembali kepada manfaat orang lain, tidak semestinya diri sendiri. 

Banyak waktu terluang di sebalik perpisahan dapat dihidupkan dengan memanfaatkan alat dan perisian perhubungan. Sebabnya mudah, kita selalu percaya bahawa Tuhan yang Maha Esa akan selalu mengizinkan dan meredhai sebuah pertemuan. Baik di sana mahupun pada hari pertemuan yang sebenarnya, kita mengirimkan lebih banyak doa dan pesan, cinta dan kerinduan, ketawa dan tangisan berbanding kebiasaan. 

Saya fikir kita boleh terus melakukan. Sebabnya saya masih percaya kepada redha Allah yang akan selalu mengekalkan kasih sayang kita dalam sebarang keadaan, selalu menerima dan memaafkan kelemahan dan kekurangan, selalu meraikan dan mengukuhkan kekuatan dan kelebihan, luaran dan dalaman. Alhamdulillah, dalam terang dan gelap, kita telah dan masih membuktikan. 

Di sebalik semakin ramai yang telah menemui kebahagiaan bersama pasangan dan keluarga barunya, dan di sebalik hakikat bahawa saya tidak selalu mampu dan tidak selalu meraih restu untuk meneruskannya, saya masih memilih untuk mengekalkan dan mempertahankan semua yang masih bersama. Itu dengan sendirinya suatu bentuk bahagia yang, mudah-mudahan, menjadi amal jariah bagi saya dan keluarga. 

Saya selalu mengerti keadaan diri saya, tidak selalu diraikan dan diterima pada sebarang masa, tempat dan keadaan. Atas segala kesalahan, kesilapan, kelemahan dan kekurangan, saya mohon sebesar-besarnya diberikan kemaafan. Semoga masih diberi ruang dan peluang untuk melakukan penambahbaikan pada masa depan. Begitu pun, masih ada penghargaan untuk mereka yang masih menerima dan meraikan. 

Saya berterima kasih sekali kepada emak ayah dan keluarga. Begitulah juga dengan sanak saudara. Begitulah juga dengan guru-guru, ketua-ketua, rakan-rakan sekerja, rakan-rakan sepengajian dan rakan-rakan seperjuangan, baik di dalam mahupun luar negara. Terlalu banyak perjuangan dan amalan sehingga takkan pernah dapat diselesaikan sehingga suatu masa yang kemudian. 

Kepada sahabat-sahabat rapat yang saya pernah dan masih cintai sampai kini – sekadar menyebut beberapa nama – saya berterima kasih sekali. Mereka tidaklah ramai mana, walaupun terasa ramai, dan tidaklah juga seramai yang dimiliki yang lain, tetapi masih ada lagi. 

Muhammad Afiq Danial, Muhammad Nabil, Alif Eimran, Mohammad Izzraff, Muhammad Danish Syabil, Muhammad Fareez, Norisal, Khairune Amzar, Amir Mahdi, Muhammad Farhan, Rafael, Harith Iskandar, Mohd. Fadhlurrahman, Durrani Syahmi Az-Zharfan, Nur Arif Hakimi, Muhammad Haikal Hakimi, Muhammad Faizhaziq dan Muhammad Huzaifah, semuanya dari SMESH. Mohamad Faizal, Mohammad Ikhwan Khairullah dan Syahrul Nizam dari sekolah saya. Tuan Nabil Aiman dan Basil dari SMKSP. Kalau mahu lihat bentuk terindah dari baiknya Allah pada diri ini, lihatlah pada sahabat-sahabat rapat saya. Merekalah orangnya. 

Sambil saya berharap mereka terus menjadi orangnya, saya berdoa agar tahun berikutnya serta seluruh kehidupan kita diberikan rahmat, keampunan dan kasih sayang-Nya. Sesuailah doa ini dengan harapan dan kenyataannya bahawa akan selalu ada kata ‘selamat’ pada setiap kata “Selamat Tinggal” dan “Selamat Jalan” kepada tahun yang berlalu dan “Selamat Datang” serta “Selamat Tahun Baru” kepada tahun yang seterusnya.

Comments