Muhasabah, Taubah Hadapi Musibah


"COVID-19 bukanlah satu-satunya musibah yang menimpa manusia hari ini. Banyak lagi sebenarnya musibah yang berlaku, tetapi kita tidak selalu peka. Kita juga tidak selalu merasakan kita ditimpa akannya."

Saudara-saudara sebangsa dan setanah air: Jumaah Mubarakah. Selamat hari Jumaat dan selamat kembali ke masjid dan surau kepada semua jemaahnya, terutamanya jemaah istiqamah.

Alhamdulillah, dengan izin dan rahmat-Nya, serta sesuai dengan persetujuan dan arahan Pihak Berkuasa Agama Negeri, setelah berminggu (dan mungkin juga berbulan) lamanya ditutup kerana mengekang penularan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19), masjid tempat kita berjemaah pada ketika ini dapat mendirikan semula solat fardhu Jumaat dan solat fardhu lima waktu yang lain secara berjemaah bermula Rabu, 25 November 2020, tertakluk kepada bilangan jemaah dan garis panduan pelaksanaan yang ditentukan.

Ada baiknya kita mengambil ruang dan peluang pada kesempatan yang ada ini untuk memperbaharui dan mempertingkatkan kesyukuran, keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan sepenuh jiwa dan raga, mematuhi segala perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Apabila memperkatakan tentang musibah, fikiran kita tentu terarah kepada COVID-19 yang masih melanda dunia. Penyakit ini memberi dampak yang serius terhadap kehidupan manusia. Apa tidaknya, penyakit ini mengakibatkan ramai yang menemui ajal, ramai lagi yang sedang menderita melawannya, apatah lagi yang tertekan kehidupannya dari segi sosial dan ekonomi.

Pun begitu, COVID-19 bukanlah satu-satunya musibah yang menimpa manusia hari ini. Banyak lagi sebenarnya musibah yang berlaku, tetapi kita tidak selalu peka. Kita juga tidak selalu merasakan kita ditimpa akannya. Bencana alam, kemalangan, kegagalan dan kesusahan disebabkan kemiskinan hidup juga merupakan suatu musibah.

Sama ada musibah tersebut menimpa diri secara khusus atau melanda manusia secara umum, perbuatan mengeluh, menyalahkan takdir dan menuding jari kepada orang lain tidak akan sedikit pun menyelesaikan masalah. Hanya mereka yang benar-benar mengenalpasti bentuk dan punca setiap musibah serta cara untuk menangani dan mengatasinya akan sedikit sebanyak menyelesaikan masalah.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Umum sedia maklum, musibah itu tidak terhad kepada penyakit sahaja. Kemarau, banjir, tanah runtuh, gempa bumi, peperangan, kekurangan makanan hatta tersusuk duri pun dikira suatu musibah. 

Sesungguhnya bermuhasabah diri melambangkan kebijaksanaan dalam melihat bentuk, punca dan cara mengatasi sesuatu musibah. Kita dituntut supaya merenung dan memikirkan sebab musibah menimpa sekaligus menginsafi kelemahan dan kesalahan kita yang mungkin membawa kepada adanya musibah. Hakikatnya, kebanyakan musibah berpunca daripada perlakuan manusia itu sendiri. Firman Allah SWT dalam Surah ar-Rum, ayat 41:

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Sedarilah, tabiat kebanyakan manusia yang melanggar perintah Allah dengan melakukan dosa, mengundang kemurkaan-Nya. Betapa ramai manusia pada hari ini tidak penuh solat fardhu lima waktunya. Betapa ramai pula manusia pada hari ini yang mendedahkan aurat kepada umum, makan dan minum tanpa memerhati status halal haramnya, melakukan zina, serta memberi dan menerima rasuah. Betapa ramai juga manusia pada hari ini yang tidak menyayangi alam dengan melakukan pembakaran terbuka, penarahan bukit, penebangan hutan, serta pengaliran bahan-bahan beracun ke sungai sewenang-wenangnya.

Justeru, segala musibah yang berlaku dan menimpa manusia pada dasarnya merupakan satu cara bagi Allah memberi peringatan serta pengajaran kepada manusia. Pada masa yang sama, segala musibah yang berlaku dan menimpa manusia bertujuan menguji tahap keimanan, kebijaksanaan dan kesabaran manusia dalam menghadapi dan mengatasinya. Musibah yang menimpa itu juga dilihat sebagai tanda kasih sayang Allah kepada hamba-hamba-Nya.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Bijak pandai pernah berkata, jangan fikirkan yang sedap sahaja. Kadang-kadang kita kena telan yang pahit sebab kadang-kadang yang pahit itu ubat sedang yang sedap itu racun. Oleh kerana itu, bersabarlah dengan apa pun musibah yang melanda. Janganlah kita mengeluh dan mencela. Terimalah dan hadapilah apa pun musibah dengan keinsafan dan kesyukuran, dan banyakkanlah muhasabah diri terhadap punca, cara mengatasi, serta hikmah di sebaliknya.

Sesungguhnya sebaik-baik tindakan dalam mendepani apa jua musibah ialah memohon ampun kepada Allah atas dosa dan kesalahan yang dilakukan sama ada yang disedari mahupun yang tidak disedari. Tindakan tersebut harus disusuli dengan taubat nasuha, iaitu menyesali dengan sungguh-sungguh segala dosa dan kesalahan yang dilakukan, berazam tidak mengulangi lagi dosa dan kesalahan yang telah dilakukan, dan istiqamah mengerjakan amal soleh. Firman Allah SWT dalam Surah at-Tahrim, ayat 8:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Sehubungan dengan itu, dalam kekalutan musibah yang sifatnya bersilih ganti, sama-samalah kita terus bermuhasabah diri dan bertaubat, mengingat bahawa tiada siapa pun yang dapat mengelakkan diri daripada musibah jika Allah menghendakinya.

Jumaat, 27 November 2020.
Masjid at-Taubah, Kampung Lok Batik, Tuaran, Sabah.
Khutbah disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah dengan suntingan.

Comments