Surat Cinta yang Tak Seperti Biasanya


Saya kuatkan diri saya untuk menulis kenangan dan teladan. Kalau bukan untuk orang lain, untuk diri sendiri. Sebabnya diri sendiri lebih mengetahui, memahami dan menghayati rasa berbanding orang lain. Jikalau ada yang turut serta peduli, diri ini berterima kasih sekali.

Saya mungkin, menerusi warkah seperti ini, mendedahkan diri saya dengan kesunyian. Realitinya, saya bangun dari tidur dan lelap semula setiap hari dalam kesepian yang menyakitkan. Sampai ke suatu tahap, senyuman bertukar menjadi tangisan. Kadangkala berpanjangan. 

Tetapi, saya tidak mahu orang-orang dekat saya susah hati dengan rasa seperti ini. Sebabnya rasa seperti ini tidak membawa diri ke mana-mana, malah tidak akan abadi. Seketika atau lama, masa akan selalu membasuh luka dan kemudiannya menyelimutkan jiwa dan raga dengan semangat waja dan rasa gembira.

Itu yang saya cuba hayati dan rasakan mutakhir ini, terutamanya apabila Allah mahu tunjukkan lagi kepada diri ini, mereka Allah pilihkan untuk menjadi sebahagian daripada sisa-sisa kehidupan yang masih berbaki. Kesempatan-kesempatan yang tiada taranya amatlah saya syukuri. Malah, susah dan senang yang mereka sudikan dengan diri ini, saya berterima kasih sekali.

Mereka semua luar biasa. Baik yang sedia ada mahupun yang baru sahaja dibawa bersama, mereka jauh lebih baik dan lebih kuat berbanding saya. Ada ujian yang mereka rasa, saya tidak rasa. Saya hanya mampu mendengar dan menjawab cerita, memberi nasihat dan saranan sekadarnya. Begitulah sebaliknya.

Akhirnya, saya sepertinya tidak ada apa-apa untuk diajarkan, mereka yang sebaliknya mengajarkan, kalau bukan lebih banyak, lebih bermakna daripada apa-apa yang diri ini selalu fikirkan. Saya hanya memberi tambahan kepada segala kekurangan dan sedikit lebihan kepada segala yang mencukupkan.

Sebabnya tidak sukar untuk difikirkan. Semua orang layak mendapatkan kebahagiaan apa pun bentuk hari yang akan datang kemudian. Tidak mengapa saya ketinggalan. Yang penting, semua orang yang masih panjang jalan perjuangan. Memang tidak berkongsi sezaman, tetapi masih mahu hadir untuk menemani zaman orang lain yang masih samar kesudahan.

Dalam hal ini, semua orang harus selalu menyapa, menguatkan, menyedarkan dan mendoakan. Berkongsi jiwa dan raga, bertukar hati dan tangan, merealisasikan harapan diri sendiri dan semua yang berada di persekitaran. Mewujudkan mimpi orang yang telah meninggalkan, selama mana masih belum diselesaikan. Yang lebih penting, selalu bersama dan bergandingan di bawah sinaran mentari dan rembulan, dalam kejauhan dan kedekatan, dalam kelebihan dan kekurangan.

Mohon maafkan diri ini yang selalu merasa kelemahan dan kekurangan. Begitu pun, terima kasih banyak sudah banyak kali mengajarkan dan membuktikan secara bersama bahawa tiada yang lebih indah dari cinta yang menghidupkan dan kasih sayang yang selalu membahagiakan.

Comments