Di Balik Gelang dan Dinding

Hari itu, kami berjumpa seperti biasanya tanpa merisaukan apa-apa. Memang mereka semua waktu itu selamat sejahtera, meneruskan kehidupan seperti biasanya.

Tetapi, ada satu yang merubah jalan hidup saya buat seketika.

Ramai kita membaca laporan media sosial dan media massa. Negeri berada dalam bahaya yang luar biasa.

Pengajian bersemuka ditangguhkan. Hampir semua budak Maktab dipulangkan ke kampung halaman. Itu pun berfasa-fasa.

Sampaikan tertulis di telefon saya, “Berapa lama lagi ini, Ustaz?” Saya hanya mampu menangis tanpa jawapan.

“Sampai jumpa lagi” tinggal menjadi harapan yang tidak tahu bilakah lagi dikabulkan.

Mereka yang tertanya juga, akhirnya dipulangkan.

Semua orang – termasuk saya dan mereka – rindu untuk kembali ke pengajian. Mungkin juga untuk kembali ke bulatan.

Begitu pun, ada berita yang luar biasa besarnya.

Akibatnya, saya dilapor oleh Ayah ke Kesihatan Kawasan kerana disyaki menjadi penghubung rapat kepada mangsa pandemik. Saya diminta menjalani ujian saringan pada hari yang berikutnya.

Bukanlah luar biasanya rasa hidung ketika dicalit oleh doktor yang bermain di minda, tetapi pemakaian gelang putih pasca saringan yang menyebabkan kehidupan saya berubah serta-merta.

Saya tidak boleh ke mana-mana.

Doktor minta saya duduk di rumah sehingga keputusan saringan dikeluarkan.

Ayah minta saya terus pulang ke rumah.

Kunci kereta saya dilepaskan kepada emak dan adik, jika diperlukan apa-apa.

Faiz yang mengerti dari jauh merasakan kerisauan yang luar biasa. Saya tidak mahu khabarkan kepada sesiapa, terutamanya beberapa lagi yang duduk dekat dengan saya, beberapa hari sebelumnya.

Fikri yang kurang merisaukan apa-apa, pada hemat saya, turut mengerti dari jauh.

Saya menunggu tujuh hari untuk mendapatkan jawapan daripada saringan yang telah saya jalani.

Saya juga menunggu tiga orang untuk mengutuskan diri, yang masih dinanti sampai saat ini.

Ramai yang terperanjat melihat gambar saya bergelang putih. Ramai jugalah yang menyusul dengan ucap selamat dan doa, yang semuanya saya ucapkan berbanyak terima kasih.

Alhamdulillah, saya negatif.

Emak amat senang hati.

Adik dan ayah, kedua-duanya negatif. Bezanya, hanya saya yang terikat dengan gelang.

Selama terikat dengan gelang dan terkurung di balik dinding, saya sihat walafiat. Cuma, tangis dan tawa, yang ketahuan hanya diri yang tidak berapa kuat.

Saya tahu Faiz bersyukur sekali, dan saya harap enam orang lagi – yang mereka tahu sendiri – tidak lagi bersusah hati.

Tetapi, petugas barisan hadapan kita tidak mahu buat silap lagi. Kesihatan Kawasan minta saya duduk di rumah untuk tujuh hari lagi.

Selama itulah, saya berfikir untuk berkongsi hiburan hati meski akan ada yang takkan terhibur dengan diri ini.

Mereka yang hampir setiap saat di jagat maya dapat melihatnya dan merasainya sekadarnya.

Terima kasih banyak kepada yang sudi, peduli dan berkongsi.

Cuma, tidak semuanya. Sajian-sajian kiriman Foodpanda hanya dapat dijamah emak ayah, adik, abang dan kakak. Supaya saya tidak merasa jauh dengan dunia luar rumah.

Barangkali Mat Rider sudah bosan melihat muka ini yang entah berapa banyak kali memesan makanan dari rumah makan yang merata-rata.

Tetapi, saya meski lakukan.

Separuh bulan berlalu, saya hampir tidak ingat untuk memandu. Jikalau diizinkan memandu ke rumah orang yang paling rapat dengan saya sekali pun, mungkin sesat ke arah yang tak menentu.

Saya diminta datang sendiri ke Kesihatan Kawasan untuk menerima pelepasan yang akhirnya dikabulkan.

Alhamdulillah, Ichal dan Syahmi masih dapat tersenyum lagi. Ramai lagi yang gembira dan senang hati.

Tetapi, kita semua masih melihat ibu pertiwi yang terus bersusah hati. Tanah air kita menjadi hitam walaupun tidak terlihat warna hitamnya.

Saya mengerti keadaannya, perasannya, kerinduannya. Kita membiaskannya bersama.

Kita tiada pilihan melainkan untuk terus menjalani dengan tenang, hemat dan berhati-hati.

Dalam keadaan apa pun, janganlah meminggir diri dari semua yang selalu memerlukan sesama sendiri.

Yakinlah, zaman aman akan kembali beberapa waktu lagi.

Comments