Catatan dari Sebuah Tragedi, Seorang Adik yang Cepatnya Pergi

Pagi itu, sepatutnya saya berada di sekolah. Tetapi, saya mengambil cuti rehat khas sehari. Petangnya, saya segera menjemput ibu bapa dan adik di lapangan terbang.

Pagi yang kosong, saya mengambil kesempatan mengatur diri sendiri, termasuklah sayur-sayuran yang disedekahkan kepada saya ketika lari seketika ke Kundasang kelmarin. Sebahagiannya saya ingin agihkan kepada rumah sebelah sana.

Saya memang sampai di rumah tersebut. Hanya sejengkal dari rumah saya.

Orang-orang di rumah meninjau kalau-kalau ada yang memanggil di luar.

Sebelum itu, saya sudah meninjau baju dan seluar yang berada di pagar jemuran seperti mana biasanya.

“Mana Kujai?” Saya hanya terlihat baju dan seluar yang berjemur di bawah terik mentari.

“Kujai jalan,” kata adik perempuannya.

Saya masih mahu menemuinya lagi.

“Tidak apa, saya telefon.” Sambil itu, sayur-sayuran itu sudah dipunyakan kepada mereka.

Begitu pun, dijawab oleh orang yang tidak dikenali. Saya sudah mula tertanya.

“Tolong bagitahu, dia ini kemalangan di simpang tiga durian.”

Lalu, saya menjerit mengkhabarkan kepada orang-orang di rumah, “Saya telefon Kujai, orang lain yang angkat. Kujai kemalangan di simpang tiga durian sana.” Mudah-mudahan tiada apa-apa.

Saya masih belum dapat menerima. Walaupun ada seorang pak cik bermotor memberitahu perkara yang sama. “Macam sudah tiada,” katanya.

Saya langsung ke sana untuk melihat apa yang berlaku sebenarnya.

Jalan agak sesak sehingga Polis datang mengawal trafik. Seperti tiada apa yang tersisa.

Saya langsung memandu ke Hospital tanpa mempedulikan apa-apa. Hanya rasa bergegar diri ini sepanjang pemanduan. Apatah lagi Alif dan Nabil, teman saya bertelefon di sepanjang perjalanan.

Sekolah mereka telah menyampaikan khabarnya. Tetapi, masih mahu memandu ke Hospital sehingga tahu cerita sebenarnya.

Kujai telah ‘jalan’ untuk selamanya. Im memeluk saya dalam keadaan saya meraung sekuat hati.

Satu-satunya budak sekolah sana yang memanggil saya ‘abang’ sudah tiada lagi.

Ramai yang menyusul datang setelah saya tiba di sana. Sehinggakan Wan yang berada jauh di Setiu mengirim mesej berdukacita dengan saya.

Ramai lagi dari manca negara yang turut serta berdukacita.

Hari itu terlalu sedih buat saya. Begitu juga dengan keluarga yang baru menerima kunjungan Kujai pada hari raya Aidilfitri yang kedua.

Saya tidak dapat bayangkan apa perasaan kawan-kawan Kujai ketika pulang ke sekolah setelah berlalunya dia buat selamanya. 

Menenangkan jiwa tidak dengan semudahnya. Ada yang tidak mahu kembali ke Maktab sebolehnya.

Sekuat mana pun menahan rasa, tetap tidak tertahan.

Saya meraung lagi usai solat Zohor di surau besar Hospital, di pelukan Im.

Saya kehilangan seorang sahabat dan adik yang baik dan penyantun orangnya. Yang sudah sering bertemu setiap minggu atau dua sejak lebih kurang empat tahun lamanya. Baik di Masjid Kampung Lok Batik mahupun Surau Maktab Kent lama.

Saya tidak boleh berada di Hospital lama-lama. Saya kuatkan diri memandu walaupun dalam keadaan sedih dan sakit kepala. Sehingga terpaksa berhenti di KKIP sebelum singgah berjumpa dengan Alif di rumahnya.

Alif memeluk saya dalam keadaan saya sudah kehabisan air mata, menenangkan rasa yang masih terasa goncangnya.

Saya hanya tiba di lapangan terbang setelah memandu dalam keadaan yang biasa-biasa sahaja. Saya hanya dapat tidur apabila bapa mengambil alih pemanduan sampai ke rumah.

Saya masih perlu datang ke sekolah keesokannya. Tetapi, dalam keadaan yang masih sedih, saya hanya mampu mengajar di bilik darjah dengan merintih. Sama seperti ketika singgah di rumah duka sebelum menuju ke sekolah. Juga ketika bertemu dengan sahabat-sahabat rapat di sekolah sebelah sana pada malamnya.

Saya melihat satu-satu wajah mereka. Jauh di sudut hati rasa dukacitanya. Afiq dan Khairune yang hampir sama wajah dengannya. Nabil, Ichal, Syabil, Amir, Fer dan Rafael yang seangkatan dengannya. Harith, Rahman, Faiz, Huzaifah yang juga pernah hidup setempat dengannya.

Saya mengambil cuti rehat khas sehari lagi. Itu pun setelah perbualan saya dengan Tuan Pengetua didengarkan di hadapan semua. Benar-benar pada hari Kujai dapat disempurnakan perjalanan akhirnya.

Saya hanya dapat mengikuti separuh yang akhir daripadanya walaupun telah berada di mortuari Hospital seawal hari. 

“Semua yang berada di sini, semuanya sayang Kujai.” Dalam hati saya, saya harap ramai lagi yang akan ke mari, terutamanya dari sekolah Kujai yang terakhir. Untuk berdoa untuknya. Untuk memperingati semua hari terbaik bersamanya.

“Allah bersaksi, kami semua menyayangimu!” Saya meraung lagi di depan kuburnya sambil ditenangkan oleh bapanya dan Pengerusi Masjid. Yang lain juga turut menangis mendengarnya.

Tiada siapa yang memikirkan pemergiannya seawal ini. Apatah lagi dalam keadaan yang tragis sekali, yang Kujai sendiri pun sesungguhnya tidak mengingini.

Begitu pun, Allah lebih menyayangi Kujai. “Mudah-mudahan Allah mengasihimu.”

Tiada doa dan kata yang meniti di bibir dan lidah saya melainkan luahan yang tidak lagi Kujai dengarkan di dunia yang fana ini.

Malah, setelah berlalu hari pengebumian, malah sampai beberapa bulan dan hari, jiwa dan rasa masih bersedih dengan kesedihan yang tidak dapat dibayangkan.

Rindu saya kepada Kujai menjadi tidak bertepi.

Saya dan sahabat-sahabat rapat bertemu lagi di Maktab selepas tiga hari pemergiannya. Im turut serta menyertai... seolah-olah Allahyarham Kujai masih ada lagi.

Ada yang mengangkat bicara, meminta saya bawa ke makam Allahyarham Kujai.

Alhamdulillah. Ada lima orang yang sempat saya tunaikan hasratnya setelah lama... walau teruk mana pun jalan yang dilalui untuk ke Raudhatul Taqwa sana.

Malah, ada yang sempat singgah sebentar di rumah, sempat berjamu apa adanya sambil berjumpa dengan emak ayah.

Saya mahu bawa lagi ke makam jika hasrat masih ada lagi walaupun setelah nanti. Supaya kenangan dan teladan yang dia tinggalkan tetap hidup di sisi.

Tambah-tambah, kami yang masih tinggal masih harus mewujudkan mimpinya yang masih berbaki. Termasuk orang-orang seperti Izzraff, Fareez, Syahmi, Arif dan Haikal yang baru kemudian ke mari.

Alhamdulillah, kami semua masih ada lagi.

Tidak sedikit pun meminta mereka hadir untuk mengganti; tidak akan pernah terganti sejauh dan sedalam mana pun menyayangi.

Tetapi untuk tetap meneruskan hidup sekadarnya, menghidupkan suasana, memilikkan diri untuk menguatkan segala, memberi jasa kepada semua, seolah-olah dia masih ada lagi.

Biarkan waktu mengubat luka di rasa dengan sendiri. Supaya mata masih dapat melihat rembulan dan mentari yang menyinar pada malam dan siang setiap hari. Supaya otot dan nadi masih terasa hidupnya untuk membanting rezeki sehari-hari.

Sampai waktu Allah memberi kesudahan kepada sisa-sisa yang mencetak halaman-halaman kehidupan di sebelah sini.

Sampai waktu Allah memperkenankan pertemuan di Syurga yang abadi untuk ke sekian kali.

Kampung Dungun Timbok, Tuaran, Sabah
16 Oktober 2020

Comments