Catatan dari Sebuah Tragedi, Tanah Air yang Bersusah Hati



Sejak berkuatkuasanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan, Sabah memang menyaksikan pergerakan ramai, baik dari kalangan penduduk sendiri mahupun pengunjung dari luar negeri. Malah, sebilangan pendatang asing tanpa izin (PATI), secara sedar atau tidak, telah berjaya menembusi sempadan negara dan masuk melalui Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE). Pergerakan ramai antara daerah dan negeri tidak pernah ada halangan di bawah PKPP kerana kes aktif Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) asalnya cuma sedikit.

Tetapi, landskap Sabah berubah 360 darjah apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 bagi negeri Sabah dibubarkan pada 30 Julai. Oleh kerana Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Sabah tidak boleh digantung, Pilihan Raya Umum DUN (nama rasmi bagi Pilihan Raya Negeri, PRN) ke-16 mesti diadakan. Ketika DUN ke-15 dibubarkan, kes aktif COVID-19 masih sedikit.

Bermula dari PATI dan kemudiannya PRN

Kes aktif COVID-19 hanya meningkat secara berdikit-dikit dan kemudiannya mendadak disebabkan oleh kewujudkan kluster yang agak banyak. Semuanya bermula daripada PATI yang ditahan di ESSZONE, tepatnya di daerah Lahad Datu, sekitar akhir Ogos. Pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang masih dipakai ketika itu menyusul kemudian sebelum penularan menjadi sporadik di tengah-tengah masyarakat.

Ahli-ahli politik dan penyokong-penyokong parti peserta PRN hanya bergerak di serata negeri setelah DUN dibubarkan dan jadual pelaksanaan PRN diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Kes aktif COVID-19 di Sabah masih dikira sedikit sehinggalah beberapa hari sebelum tibanya Hari Mengundi pada 26 September.

Secara kebetulan, Kluster Benteng LD yang sepatutnya terlindung di sebalik tirai besi lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu dan Penjara Tawau, terbawa ke tengah-tengah masyarakat di bahagian Tawau. Kluster ini telah dengan sendirinya bertembung dengan Kluster Laut yang dikesan di daerah Kunak dan turut melibatkan PATI. Belum dikira lagi kluster-kluster lain yang bersifat tempatan akhirnya menjadi (ujian dan) tragedi besar kepada negeri Sabah kerana turut bertembung dengan para pelancong, ahli perniagaan, ahli politik, malah penduduk sendiri di Bahagian Tawau.

Bahagian Tawau yang merah

Bahagian Tawau yang meliputi daerah-daerah Lahad Datu, Kunak, Semporna, Tawau dan Kalabakan hanya benar-benar menjadi Zon Merah selepas PRN. Itu pun penyumbang terbesarnya ialah Kluster Benteng LD. Hanya setelah itu, barulah PKP Dipertketatkan (PKPD) secara Pentadbiran diadakan di seluruh bahagian Tawau, sebelum PKPD dikecilkan di beberapa lokaliti tertentu di sekitar Bahagian Tawau.

Sebelum Bahagian Tawau dikenakan PKPD secara Pentadbiran, ramai yang telah keluar kawasan untuk ke daerah-daerah Sabah yang lain, malah terbang ke Semenanjung Malaysia, Labuan dan Sarawak. Sebabnya musim PRN sudah habis, malah waktu melancong masing-masing juga sudah habis.

Kes-kes COVID-19 yang bertebar ke luar Bahagian Tawau ada kaitannya dengan keadaan di Bahagian Tawau. Orang-orang yang datang dari sana sejak adanya Kluster Benteng LD dan banyak lagi kluster yang lain secara tidak sedar sudah dijangkiti COVID-19 dan membawa jangkitan ke luar kawasan. Majlis Keselamatan Negara (MKN) hanya mengeluarkan arahan kuarantin wajib kepada pengunjung dari Sabah selepas berlalunya PRN. Sebabnya, hanya pada waktu itu, sudah banyak kluster yang bergabung membahayakan seluruh Bahagian Tawau.

Daerah-daerah lain turut menjadi merah

Zon Pusat Bandar, iaitu daerah-daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan, ialah antara yang terkait dengan gabungan kluster di Bahagian Tawau. Itu pun setelah didapati wujudnya kes-kes sporadik. Kesannya, PKP Bersyarat (PKPB) dikenakan di seluruh Zon Pusat Bandar kerana daerah Kota Kinabalu telah menjadi Zon Merah. Daerah-daerah lain pula dikenakan Kawalan Rentas Daerah.

Begitulah ceritanya dengan banyak kluster Bah yang wujud di luar negeri Sabah selepas berlalunya musim PRN walaupun tidak semuanya berkaitan dengan PRN. Kesannya, sekatan keluar masuk negeri dikenakan. Hanya setelah penularan COVID-19 di negeri Sabah menjadi semakin besar, PKPB turut dikenakan di Kota Belud, Tuaran, Papar dan Sandakan setelah masing-masing menjadi Zon Merah.

Asalnya, PKPD sebenar dan secara Pentadbiran serta PKPB hanya dikenakan di Zon-zon Merah tertentu sahaja. Perkara ini dibuat bagi memudahkan kawalan penyakit berjangkit dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Hakikatnya, untuk menutup seluruh Sabah bukanlah mudah mengingat bahawa Sabah mempunyai lima buah Bahagian, 27 buah daerah dan 10 buah daerah kecil. Daerah Tuaran lebih besar daripada negeri Pulau Pinang. Daerah Tongod lebih besar daripada negeri Terengganu.

Hanya setelah krisis di Sabah semakin meruncing, MKN mengambil keputusan mengenakan PKPB di seluruh negeri. Daerah-daerah Zon Hijau, iaitu Telupid, Tongod dan Pensiangan, turut terkesan dengan PKPB. Hanya pada ketika ini, pergerakan ramai antara daerah dan negeri didapati menjadi punca kes COVID-19 meningkat sebanyak-banyaknya.

Dosa yang diakui, yang dapat memaafkan hanya diri sendiri

Malah, Perdana Menteri turut mengakui bahawa PRN sedikit sebanyak menjadi punca. Secara lebih terperincinya, SOP yang dikeluarkan MKN tidak dipatuhi sepenuhnya oleh ramai ahli politik dan penyokong parti. Tambahan pula, ketika PKPP masih dikenakan, ramai orang awam telah didapati lupa bahawa PKPP masih berlaku di dalam negeri.

Sementara tindakan keselamatan dan kesihatan awam dilaksanakan, ramai dalam kalangan orang kita yang marah, melatah, memaki hamun, tuduh-menuduh dan berbalah. Kesan-kesan negatif seperti ini amat disayangkan sekali, sedangkan yang dituntut adalah untuk menjaga diri dan orang sekeliling dengan mematuhi SOP apabila berada di tempat-tempat awam dan keramaian yang dipaksakan kerana keperluan. Kes semakin meningkat adalah. Itu pun kerana petugas barisan hadapan yang ada di dalam negara semakin rajin bekerja.

Malaysia atau Brunei? Cukuplah menjadi diri sendiri

Sampai saat ini, ada yang cuba membandingkan Malaysia dengan Brunei. Faktanya, Brunei adalah sebuah negara berdaulat yang keluasannya lebih kecil berbanding Negeri Sembilan. Oleh sebab Brunei hanya ada empat buah daerah dengan kependudukan mencecah 459,500 orang mengikut anggaran 2019, kawalan penyakit berjangkit di Brunei lebih mudah dilaksanakan. Tambahan pula, corak pemerintahan yang diamalkan oleh Brunei, paling tidak sejak 1984, serta corak sosial yang memberi kesan kepadanya menerusi dasar Melayu Islam Beraja dan konsep Negara Zikir menyebabkan indeks COVID-19 di Brunei lebih sedikit dan lebih terkawal.

Tidak ada salahnya untuk saling mengingatkan. Tidak ada salahnya juga untuk belajar dari orang dan tempat lain. Tetapi, suatu hari nanti, yang akan menang adalah orang-orang yang dapat menciptakan dan mengekalkan kekuatan, ketenangan dan kesabaran untuk diri dan semua. Sebabnya mudah, kes COVID-19 di negeri Sabah dahulu kala dapat diturunkan serendah-rendahnya kerana dukungan dan sumbangan orang kita.

Waktu dan tempat yang ada amat mustahak untuk mematuhi SOP di tempat awam atau duduk sahaja di rumah, banyakkan menyapa dan menguatkan orang lain sama ada dekat dan jauh, serta banyakkan berdoa dan mengingati Tuhan yang Maha Kuasa. Negara kita, tanggungjawab kita. Kalau bukan kita, siapa lagi. Kalau bukan sekarang, bila lagi.

Jangan ditanyakan apa sumbangan negara kepada kita, tetapi tanyalah apa sumbangan kita kepada negara. Jangan juga ditanyakan apa negara akan buat kepada kita, tetapi tanyalah apa yang kita boleh lakukan secara bersama untuk kebebasan kita. Ingatlah, tiada tangis yang tak bisa diusap cita, tiada juang yang tak bisa dikalahkan cinta.

Comments