Ada Apa dengan Mansau?



Saya mendengar Mansau pertama kali rasanya beberapa hari selepas lagu tersebut diterbitkan di YouTube. Lebih tepatnya, lagu tersebut diterbitkan oleh akaun yang mengatas namakan studio milik penyanyinya sendiri. Pertama kali, saya mendengarnya biasa-biasa sahaja, seolah-olah tiada apa-apa. Lagu itu hanya untuk kawan-kawannya sahaja, saya rasakan ketika itu.


Tetapi, hati saya tersentak apabila Kementerian Kesihatan memutarkan lagu tersebut di dalam Sidang Media Harian hampir setiap hari sejak pertengahan Oktober 2020, lebih tepat lagi ketika Sabah dikembalikan kepada fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat kerana kes positif Penyakit Koronavirus 2019 yang direkodkan oleh negeri Sabah mendadak tinggi. Ada sesuatu yang tersirat di sebalik karya berharga ini.

Pertama, cinta kepada negeri. Walaupun lagu tersebut diterbitkan di kampung halaman beliau sendiri di Penampang, lagu tersebut mewakili rasa cinta seisi rakyat dan penduduk Malaysia di negeri Sabah kepada tanah airnya. Sama ada berada di negeri sendiri mahupun di negeri asing, mungkin jua berada jauh di perantauan, cinta kepada tanah air tetap akan bersemi.

Apakan tidak, tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain. Lagu ini tidak sekadar panggilan negeri kepada anak-anaknya, tetapi luahan rindu anak-anaknya yang ingin sekali pulang ke halaman negeri, tidak kira ketika terang dan gelapnya, jatuh dan bangunnya, sihat dan sakitnya, aman dan bahayanya.

Bagi mereka yang bukan anak negeri Sabah atau tidak menuntut, bekerja atau bermastautin di negeri Sabah, lagu ini secara langsung mahupun tidak langsung menawarkan keindahan flora dan fauna kepada para peniaga dan pengunjung yang berminat untuk mengunjungi negeri Sabah pada masa hadapan, terutamanya setelah kembali kepada masa yang pulih dan aman. Dalam apa pun keadaan, negeri Sabah mempunyai segalanya untuk dikongsikan kepada semua.

Kedua, cinta kepada budaya. Sekali dengar sudah tahu, muzik yang disusun bersesuaian dengan tempat asalnya lagu ini, seni katanya dan penyanyinya. Hakikatnya, negeri dan budaya merupakan dua bahagian yang tidak dapat dipisahkan. Malah, kedua-duanya menjadi bahagian yang lain yang membentuk dan mencitrakan kemajmukan masyarakat Malaysia di persada antarabangsa. Elemen ini membuatkan bukan sahaja orang kita yang meminatinya, tetapi juga mereka yang berasal dari negara-negara sahabat turut tertarik dengan seninya.

Ketiga, persaudaraan dan persahabatan. Walaupun terdapat diksi bahasa Inggeris dan Kadazandusun di dalam karya ini, laras bahasa yang digunakan di dalam karya ini agak bersahaja. Penggunaan bahasa Melayu dialek Sabah menampakkan lagu ini memang dekat dan sesuai ditujukan dengan kawan-kawan, mungkin rakan sekampung, sepermainan, sepengajian dan setempat kerja. Pendekatan bersifat kawan-kawan tidak sekadar meraih kerinduan kawan-kawan yang di kejauhan kepada tanah air, tetapi turut meraih perasaan kawan-kawan yang belum pernah datang, untuk datang pada waktu dan tempatnya.

Ringkasnya, saya kagum dengan kesungguhan Adam Shamil membuktikan dalam lagu Mansau bahawa cinta kepada negeri membolehkan rakyatnya tetap bersungguh-sungguh menegakkan keamanan dan kemakmuran untuk semua. Hanya dengan bahasa dan gaya yang amat bersahaja, pada hemat saya, Sabah memberitahu negara dan dunia bahawa, apa pun keadaannya, Sabah mengharungi cabaran besarnya dengan tabah dan bersemangat, dan tetap akan meraih masa depannya yang lebih bahagia pada waktu dan tempatnya.

Comments