Bijak Memanfaatkan Peluang


"Kita dituntut untuk terus mematuhi segala Prosedur Operasi Standard dan protokol kesihatan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa. Hakikatnya, pandemik ini bukan sahaja mengancam kesihatan, bahkan menjejaskan hampir seluruh urusan kehidupan. Sebagai insan yang beriman dan bertaqwa kepada Tuhan, kita dituntut untuk tetap tabah dan sabar menghadapi segala bentuk ujian dan cabaran."

Saudara-saudara sebangsa dan setanah air,

Marilah sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan, melaksanakan segala suruhan-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) masih menular di dalam negara. Kewujudan pelbagai kluster penularan yang masih aktif serta bilangan kes positif baru harian yang tidak menentu semestinya meresahkan semua. Oleh sebab itu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuatkuasa. Walaupun hampir seluruh negara dikenakan PKP Pemulihan, jangan dilupakan sebilangan kawasan yang dikenakan PKP Diperketatkan.

Sehubungan dengan itu, kita dituntut untuk terus mematuhi segala Prosedur Operasi Standard dan protokol kesihatan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa. Hakikatnya, pandemik ini bukan sahaja mengancam kesihatan, bahkan menjejaskan hampir seluruh urusan kehidupan. Sebagai insan yang beriman dan bertaqwa kepada Tuhan, kita dituntut untuk tetap tabah dan sabar menghadapi segala bentuk ujian dan cabaran. Mudah-mudahan kita dijadikan oleh Allah dari kalangan yang kuat untuk meneruskan kehidupan. Firman Allah SWT dalam Surah at-Taghabun, ayat 11: 

“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” 

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Pandemik ini sudah terang lagi bersuluh memberi kesan yang sangat besar kepada ekonomi negara, terutamanya ekonomi rumah tangga. Menyedari hakikat ini, pelbagai inisiatif dan bantuan telah diberikan bagi memastikan benanan yang ditanggung oleh masyarakat dapat diringankan. Antaranya ialah pemberian penangguhan pembayaran ansuran pembiayaan secara automatik selama enam bulan. Perkara tersebut bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 280:

“...dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga dia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).”

Oleh hal yang demikian, kita bertanggungjawab untuk menguruskan kewangan dengan baik, terutamanya dalam hal pengurusan hutang dan pembiayaan. Persediaan awal perlu dilakukan bagi memudahkan kita melunaskan hutang dan membayar balik pembiayaan yang telah diambil. Berundinglah dengan bank serta institusi kewangan yang berkaitan bagi mendapatkan persetujuan bersama sekiranya keadaan kewangan semasa tidak mengizinkan untuk menyambung semula bayaran ansuran seperti biasa. Langkah ini akan memudahkan urusan kedua-dua pihak pada masa yang akan datang.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Dalam tempoh moratorium yang diberikan, janganlah kita bersikap sambil lewa dan mengambil kesempatan untuk bermewah-mewah. Bagi mereka yang tiada kekangan kewangan, bersegeralah melunaskan segala hutang yang diambil. ِAbu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Melewat-lewatkan bagi orang yang berkemampuan daripada menunaikan hak (membayar hutang) adalah suatu kezaliman.” (Hadis riwayat Bukhari)

Hakikatnya, hutang yang dibayar menyebabkan hidup menjadi tenang. Hutang yang dibayar juga dapat dimanfaatkan untuk perkara-perkara ekonomi dan kewangan yang lain. Berdisiplin dalam melunaskan hutang merupakan sikap yang disukai oleh Allah. Hal ini demikian kerana, kesan baiknya tidak terhenti kepada individu tertentu, tetapi kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Justeru, rancanglah kewangan dengan bijak dalam tempoh kelapangan yang telah diberikan. Semoga perancangan yang berhemah dapat menghindarkan kita daripada ditimpa bebanan dan masalah yang lebih besar dan berat pada masa akan datang. Abu Hurairah RA, dalam hadis yang lain, meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Sesiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk membayarnya semula, maka Allah akan membantu menunaikan untuknya. Sesiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk menghabiskannya tanpa membayar balik, maka Allah SWT akan membinasakan dirinya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Jumaat, 25 September 2020.
Masjid al-Baari, Taman Ketiau, Putatan, Sabah.
Khutbah disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan suntingan.

Comments