Selamat Jalan, Kujai


"Allah bersaksi, kami semua menyayangimu! Mudah-mudahan Allah mengasihimu."

"Maha Berkatlah (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang berada di tangannya kekuasaan (dan kerajaan) dan Dialah yang Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Dialah yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya, dan Dialah yang Maha Mulia lagi Maha Pengampun." (Surah al-Mulk, ayat 1-2)

Segala sesuatu akan mati kecuali Tuhan. Dia Allah yang punya perintah dan kepadaNya kamu dikembalikan. Tiap-tiap diri akan merasakan kematian, dan bahawasanya pahala untukmu dan dicukupkan pada hari kiamat. Orang yang beruntung adalah orang yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

Kehidupan di dunia ini hanya kesenangan sementara. "Daripada tanah Kami (Allah) jadikan kamu, dan kepada tanah Kami kembalikan dan dari tanah juga kamu akan Kami hidupkan sekali lagi." (Surah Taha, ayat 55) Daripada tanah Kami jadikan kamu (bagi mencari upah dan pahala), kepada tanah Kami kembalikan kamu (bagi dimakan ulat dan tanah), dan daripada tanah kamu akan dikeluarkan (bagi menghadiri padang mahsyar dan menjalani perhitungan).

Dengan nama Allah, dan dengan Allah, dan daripada Allah dan kepada Allah dan atas agama Rasulullah. Inilah yang dijanjikan Tuhan dan benarlah perkataan rasul-rasul. "Hanya dengan satu suara keras, lantas semua orang dibawa ke hadapan-Ku." (Surah Yaasin, ayat 52-53)

Wahai hamba Allah, anak kepada hamba Allah! Wahai sahabat saya, Abdul Quzzaimie, anak kepada Siti Salawati dan Abdul Rauf, kami semua menyayangimu! Allah bersaksi, kami semua menyayangimu! Mudah-mudahan Allah mengasihimu.

Dunia dan segala kemegahannya sudah habis untukmu. Sekarang kamu sudah berada di dalam permulaan alam barzakh, maka janganlah kamu lupakan ikrar yang sudah kamu ikrarkan di dunia untuk menempuh Hari Akhirat, iaitu pengakuan bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad SAW itu pesuruh dan utusan Allah.

Kalau datang kepadamu dua orang malaikat, dan kepada kawan-kawanmu yang sama dengan kamu dari umat Nabi Muhammad SAW, janganlah kamu terkejut dan takut kerana kedudukan keduanya adalah makhluk Allah, serupa kamu juga. Kalau mereka sudah datang dan mereka dudukkan kamu dan mereka bertanya siapa Tuhan kamu, apa agama kamu dan siapa nabi kamu, apa iktikad kamu dan apa yang kamu bawa mati, maka jawablah: Allah Tuhanku.

Kalau mereka tanya lagi maka jawablah: Allah Tuhanku. Kalau mereka tanya sekali lagi, mudah-mudahan itulah kesudahan yang baik, maka jawablah tanpa takut dan gelisah dengan suara yang lantang: Allah Tuhanku, Muhammad Nabiku, al-Quran kitabku, Kaabah kiblatku, solat kewajipanku, kaum Muslimin dan Muslimat saudaraku, Nabi Ibrahim bapaku dan aku hidup dan mati di atas kalimah Laa ilaaha illa Allah, Muhammadar Rasulullah.

Kalau kamu ditanya lagi tentang orang yang dirasulkan untukmu dan untuk sekalian makhluk maka jawablah: bahawa itulah Baginda Nabi Muhammad SAW yang membawa kepada kami al-Quran dari Tuhannya maka kami mengikutinya, kami beriman dengannya, kami juga berimam dengannya, kami membenarkan kerasulannya dan kenabiannya. Andai kata orang yang tidak mahu mengikut dia maka apa boleh kami buat, kami hanya mengatakan: pemimpin kami Allah, tiada Tuhan selain Allah, kepada-Nya kami bertawakkal dan Dialah Tuhan Arasy yang Besar.

Ketahuilah wahai hamba Allah anak kepada hamba Allah, ketahuilah wahai sahabat saya, bahawasanya mati itu adalah benar, turun ke kubur adalah benar, pertanyaan Munkar dan Nakir itu adalah benar, bangkit sesudah mati itu adalah benar, dihitung dosa dan pahala itu adalah benar, timbangan itu adalah benar, titian Siratul Mustaqim itu benar, neraka itu benar, syurga itu benar, Hari Kiamat pasti datang, tidak ragu lagi dan bahawasanya Allah akan membangkitkan kembali sekalian orang yang dalam kubur, dan kami menitipkan kamu kepada Allah.

Selamat jalan. Sampai berjumpa lagi di alam seterusnya. Mudah-mudahan kita akan dipertemukan lagi dengan rahmat, keampunan dan kasih sayang Allah. Kami akan menyusul.

Talqin: Abdul Quzzaimie bin Abdul Rauf (26 Jun 2003 - 3 Ogos 2020)
Rabu, 5 Ogos 2020
Tanah Perkuburan Islam Raudhah al-Taqwa, Kampung Lok Rantis, Tuaran, Sabah

Comments