Hijrah Satu Pengorbanan


"Peristiwa Hijrah bukanlah peristiwa yang biasa-biasa. Peristiwa itu menuntut umat Islam dan rakyat Malaysia menghargai erti pengorbanan, perjuangan, persaudaraan dan perpaduan."


Saudara-saudara sebangsa dan setanah air, mudah-mudahan selalu dikurniakan kasih sayang Allah SWT hendaknya: Selamat Tahun Baru 1442 Hijri.

Marilah kita mengambil ruang dan peluang pada awal tahun Hijri ini dengan memperbaharui dan mempertingkatkan kesyukuran, keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan sepenuh jiwa dan raga, mematuhi segala perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Walaupun begitu, janganlah kita lupakan mereka yang tidak sempat merasai hadirnya tahun Hijri ini. Sebagai insan yang masih diberikan kehidupan, marilah kita berdoa untuk mereka yang tidak akan kembali ke mari buat selama-lamanya, semoga dikurniakan tempat yang terbaik di sisi Allah SWT atas segala amalan dan kebaikan yang pernah mereka lakukan dan kita saksikan di dunia ini.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Semalam (1 Muharram), negara memperingati peristiwa Hijrah Rasulullah SAW dan para Sahabat dari Makkah dan Madinah. Semalam juga, negara mengucapkan selamat jalan kepada tahun 1441 Hijri dan mengalu-alukan ketibaan tahun 1442 Hijri. Itulah sambutan Maal Hijrah yang kali ini bertemakan “Ummah Rabbani, Negara Harmoni”.

Hakikatnya, peristiwa Hijrah bukanlah peristiwa yang biasa-biasa. Peristiwa itu menuntut umat Islam dan rakyat Malaysia menghargai erti pengorbanan, perjuangan, persaudaraan dan perpaduan. Oleh hal yang demikian, mengingati peristiwa Hijrah bukan sekadar menyebutnya melalui kata-kata, tetapi yang lebih penting ialah untuk menghidupkan erti sebenar Hijrah dalam kehidupan kita seharian.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Peristiwa Hijrah berlaku hanya sekali. Tidak ada lagi Hijrah selepas pembukaan semula Makkah melainkan jihad dan niat. Antara contoh Hijrah yang boleh dilakukan mulai hari ini ialah peningkatan ilmu pengetahuan dan kemahiran seiring dengan peningkatan amalan, penggantian sikap dan tabiat tidak baik kepada akhlak yang terpuji, perubahan cara berfikir yang negatif kepada minda yang positif, serta peluasan sudut pandang dunia yang sempit kepada landskap yang lebih luas.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Mengakhiri khutbah, marilah kita hayati hikmah yang boleh dijadikan pengajaran dalam kehidupan kita seharian.

Pertama, peristiwa Hijrah mengajarkan kita bahawa perubahan selalu memerlukan kepada perjuangan dan pengorbanan.

Kedua, sebagai insan yang beriman dan bertaqwa kepada Tuhan yang Maha Kuasa, kita selalu dituntut untuk menambahbaik ilmu dan amalan.

Ketiga, perubahan ke arah kebaikan dikurniakan ganjaran yang sebanyaknya di dunia dan di akhirat.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah, dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah, ayat 218)

Jumaat, 21 Ogos 2020.
Masjid at-Taubah, Kampung Lok Batik, Tuaran, Sabah.
Khutbah disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dengan suntingan.

Comments