Bulan dan Hari Kebangsaan yang Tak Seperti Biasanya


Terdetik saya untuk mengimbas kembali kenangan Bulan Kebangsaan sepanjang lima tahun lepas. Cukup sekadar mengingatkan diri sendiri dan semua apa-apa yang telah diri ini lakukan untuk menghidupkan suasana Bulan Kebangsaan.

Sambutan Bulan Kebangsaan semakin tahun, semakin tidak seperti biasanya. Betul, di tempat-tempat tertentu, masih dapat dirasakan kemeriahannya. Terutamanya apabila negara dan negeri mengadakan perarakan Hari Kebangsaan. Tetapi, manakan sama Bulan Kebangsaan, 20 tahun lepas dengan Bulan Kebangsaan tahun ini. Tambah-tambah lagi, penularan pandemik yang masih belum ada kesudahan, masih menguji.

Masa saya di bangku sekolah rendah, guru-guru saya mengajarkan saya lagu-lagu patriotik, bukan hanya pada Bulan Kebangsaan, tetapi sepanjang tahun. Saya kalau boleh mahu ajarkan sebanyaknya dengan adik-adik dan anak-anak saya. Supaya semangat cintakan negara tetap hidup di dalam jiwa dan raga semua selama kehidupan masih ada. 

Tidak sekadar mengetahui lagu Tanggal 31, Jalur Gemilang dan Keranamu Malaysia, tetapi juga Bahtera Merdeka, Dirgahayu Tanah Airku, Setia dan Sejahtera Malaysia. Termasuk jugalah yang terbaru, Malaysia Prihatin. Tidak sekadar menyanyikan lagu patriotik itu semua, tetapi menghayatinya dengan rasa syukur dan bangga.

Begitu pun, kita sendiri kadang-kadang terlupa bahawa Bulan Kebangsaan dapat dihidupkan dengan banyak cara. Banyak wahana di sini dan sana. Tidak sekadar mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri. Tidak juga sekadar menyanyikan lagu-lagu patriotik dan mendeklamasikan puisi-puisi kenegaraan. Tetapi, untuk selalu mendapatkan dan membudayakan nilai-nilai murni yang melambangkan negara kita.

Lebih daripada itu, untuk turun tangan mendirikan impian, melunasi janji-janji kemerdekaan yang telah tertuang di dalam Rukunegara dan Perlembagaan Persekutuan. Sebabnya Malaysia negara kita. Di sini lahirnya sebuah cinta yang menyemarakkan penyatuan kita semua. Di negara inilah kita dilahirkan, dibesarkan, mendapatkan pendidikan dan pekerjaan, menikmati kehidupan yang lebih membahagiakan, membina rasa kekeluargaan, persaudaraan dan persahabatan, dan sampai waktunya, selamanya disemadikan.

Dari sudut Istana Negara, dari sudut rumah kita dan dari sudut tanah air ini, jangan pernah lelah mencintai Malaysia. Selamat Hari Kebangsaan, Malaysia. Merdeka!

Comments