Surat Cinta untuk SMESH, yang Kedua


30 Jun mungkin hanya bererti buat SMESH pada tahun 2016. Hari itu, SMESH melangsungkan Majlis Khatam al-Quran yang pertama seumpamanya sejak perpindahannya dari Bukit Padang, Kota Kinabalu ke tengah-tengah pekan Tuaran. 

Pun begitu, 30 Jun amat bererti buat saya secara profesional mahupun peribadi, tidak sekadar pada tahun 2016, tetapi juga sampai ke saat ini. Pertama, kerana SMESH mempercayakan saya untuk memimpin Majlis Khatam al-Quran pada kali pertama penganjurannya di Tuaran. Kedua, kerana pada tarikh dan tahun yang sama, saya mendapatkan tiga orang sahabat rapat yang pertama dari kalangan pelajar SMESH. 

Perkara tersebut tidak pernah saya fikirkan, apatah lagi impikan, sebelum-sebelumnya. Tetapi, rahmat Allah untuk hamba-Nya tidak pernah menghampakan. Sebahagian daripada rahmat Allah yang saya kecapi di UIAM, letaknya di SMESH. Malah, rahmat Allah yang tersebut tetap berada di SMESH sehingga ke hari ini. Alhamdulillah. 

Rahmat itulah yang sesungguhnya membuatkan saya terus peduli. Dalam kedudukan diri yang terhad, mungkin sekali tidak bertempat, saya tetap memberikan segalanya yang dibolehkan selagi keadaan membolehkan. Tidak sekadar datang solat berjemaah, tetapi turut berimarah. Tidak sekadar mendengar, tetapi didengar. Tidak sekadar mengadu masalah, tetapi diadu masalah. Tidak sekadar menjamu, tetapi dijamu. 

Semua itu bertitik-tolak daripada ikrar saya kepada SMESH pada tahun 2016: untuk menjadi seorang guru kepada pelajar-pelajarnya, seorang abang kepada adik-adiknya, dan seorang sahabat kepada sahabat-sahabatnya. Dalam apa keadaan sekalipun, saya akan terus berpegang kepadanya.

Sampai ke saat ini, saya masih dapat melaksanakannya. Alhamdulillah. Hasilnya, sahabat rapat saya dari sebelah sana bertambah dari semasa ke semasa. Justeru, 30 Jun telah saya khususkan untuk saya peringati persahabatan saya dengan SMESH dan seisinya. 

Saya bersyukur dan gembira melihat perkembangan masing-masing pada saat ini. Mohd. Khairul Farhan, salah seorang daripada tiga orang pemuka persahabatan ini di samping Eldy Mohd. Adland dan Ilham, merupakan satu-satunya yang melanjutkan pengajian tinggi di London, England. Dua orang yang lain pula meneruskan pengajian tinggi di dalam negara.

Mohd. Arsyam antara yang paling banyak diberi kesempatan bersama saya dalam masa-masa lapang bersama di manca negara pada tahun sudah. Safwan, Mohd. Afif, Muhammad Farhan Firdaus dan Daryl yang masing-masing melanjutkan pengajian tinggi dalam negara di tempatnya. Beberapa nama lagi yang tidak dapat saya sebutkan satu persatu, telah berlalu dari SMESH, masih saya ingati tetapi sudah tidak diketahui khabarnya.

Muhammad Afiq Danial yang pernah berkongsi satu kawasan perumahan dengan saya lebih dari setahun lamanya, malah menjadi pemuka kepada bersahabatnya dua sekolah kami mulai tahun sudah. Begitulah juga dengan Alif Eimran yang turut serta merealisasikannya tidak lama kemudian bersama-sama dengan Norisal, Muhammad Farhan dan Khairune Amzar. 

Muhammad Nabil, Amir Mahdi dan Muhammad Danish Syabil yang selama ini banyak mendengar dan didengar, berbicara dan dibicara, sama seperti tiga orang yang sebelumnya, perkara-perkara luar pagar sekolah terutamanya. Abdul Quzzaimie yang sekian lama berkongsi kampung yang sama dengan saya sejak sebelum turut serta berada di sebelah sana.

Harith Iskandar, Muhammad Huzaifah dan Muhammad Faizhaziq yang siap mengganti mereka-mereka yang berlalu pada waktunya. Beberapa nama lagi yang tidak dapat saya sebutkan satu persatu, masih berada di SMESH ketika ini, dan ada sumbangannya yang bermakna terhadap diri ini.

Sebahagian daripada mereka pernah datang ke rumah saya, pernah juga saya datangi rumah mereka. Sebahagian daripada mereka juga pernah disambut dan disapa oleh keluarga saya, pernah juga saya disambut dan disapa oleh keluarga mereka. Ada yang pernah dibawa berjalan, berkongsi kereta Grab yang sama, malah pernah naik kereta yang dipandu saya. Lebih bermakna lagi, ada yang pernah bercuti dan mengisi waktu bersiar-siar bersama saya. 

Semua itu berlaku selama berdirinya persahabatan ini. Semua itu juga bukan mudah untuk dilupakan. Lebih sukar lagi untuk dibiarkan, cabaran besar yang mereka yang berada di sebelah sana sedang hadapi, terutamanya ketika negara diserang penularan pandemi, yang bukan sahaja memisahkan saya dengan mereka, tetapi juga dua alam yang berbeza walaupun di dunia yang sama.

Keadaan tersebut hanyalah salah satu daripada beberapa keadaan yang membuatkan saya berlinang air mata, malah teresak-esak berduka. Sebahagian daripada mereka pernah melihat saya mengalami keadaan serupa.

Saya berterima kasih kepada mereka semua dan satu persatu kerana sudah menerima diri ini apa adanya di pelbagai tempat dan ketika. Saya juga berterima kasih kepada seluruh warga SMESH, terdahulu mahupun terkini, yang telah dan masih menerima diri ini apa adanya. Penerimaan itu yang sesungguhnya membolehkan saya melakukan segalanya sebolehnya, tidak sekadar buta-buta mencintai, mengasihi dan menyayangi, tetapi kerana Allah dan untuk manfaat semua.

Saya mendoakan saling bahagia dan membahagiakan untuk mereka semua di mana pun jua berada bersama semua yang masih ada. Mereka layak untuk mendapatkan kehidupan yang lebih bahagia berbanding saya... dengan izin-Nya.

Comments