Surat untuk Sekolah yang Sekejap Dijengah


Apa khabar, sekolah? Semalam, saya diberi kesempatan untuk kembali seketika setelah lebih dua bulan tidak menjengah.

Saya tahu Putatan, tempat dia selama ini bersandar, tidak banyak berubah. Tetapi kekosongan dan kesepian membuat hari-harinya amat susah.

Mesti dia tercari-cari, ke mana perginya anak-anaknya, ke mana pula hilangnya para pendirinya dan penyuluhnya. Syukur masih ada pengawal, tukang bersih dan orang pejabat yang masih bersama. Begitu juga penduduk sekeliling yang masih dapat melihatnya.

Saya pun tercari-cari, masih adakah bintang yang berkelip di sebelah sana? Atau setidaknya, masih adakah lilin yang menyala, yang akan terus mencahayai sisa harapan yang masih ada?

Berapa banyak pun rumah yang dihantarkan santunan kepadanya, berapa jauh pun jalan yang dilalui untuk sekurang-kurangnya melihat wajah sahabat rapat yang terkasih walau sesaat cuma, hanya Yang Maha Esa yang selalu punya jawapannya, yang selalu kita minta dengan segala usaha dan doa, sendiri mahu pun sesama.

Kebebasan yang tidak selalu disyukuri, kini selalu dirindui. Jauh dan dekat, kita menyambung solidariti. Saya yakin, dalam tebal dan nipis perasaan, cita dan cinta membuatkan kita terus mengharungi.

Suatu hari nanti, kita akan berjumpa lagi.

Comments