Hari Guru 2020: Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu


Hari-hari yang berlalu sangat luar biasa. Tidak pernah terlintas di fikiran warga, penularan pandemik mengakibatkan sekolah ditutup untuk selamanya. Berita baik untuk mereka yang mencintai kerehatan di rumah adalah berita buruk untuk mereka yang mencintai pengajian di sekolah.

Begitu pun, guru tetap menjadi bahagian yang paling setia kepada bangsa dan negara. Mudah-mudahan pelajar dan ibu bapa begitu juga. Sebabnya kejauhan tidak semestinya menjadi penghalang kepada pengajaran dan pembelajaran. Waktu aman atau bahaya, pendidikan sifatnya berterusan.

Alhamdulillah, bangsa dan negara telah dan masih membuktikan. Berapa licin pun lumpur di sepanjang laluan dan berapa tinggi pun bukit di pendakian, pendidikan tetap dapat berjalan di luar lingkup persekolahan. Guru mengajar dari rumah, pelajar belajar dari rumah, ibu bapa menyokong kedua-duanya juga dari rumah.

Bangsa dan negara akan terus melakukannya dengan tekal dan tabah, berbekalkan semangat yang tidak pernah menyerah dan mengalah. Realitinya, kejayaan sentiasa milik insan dan golongan yang bertaqwa dan beristiqamah.

Besar harapan agar Ilahi menghapuskan dengan segera dari setiap inci tanah air kita segala bentuk wabah dan gundah. Ketika itu, tidak akan ada lagi guru yang menunggu pelajar di bilik darjah dengan resah dan gelisah; dan tidak akan ada lagi pelajar yang ketawa dan menangis sendirian menunggu detik bertemu kawan-kawan di halaman sekolah.

Terima kasih kepada semua yang telah menerima diri ini yang serba tidak sempurna, ada sahaja kesalahan, kekurangan dan kelemahannya, mohon diampun maafkan. Di sebalik kedudukan saya yang biasa-biasa sahaja, ikrar saya pada tahun 2016 masih sama sampai kini, mudah-mudahan berterusan, untuk menjadi seorang guru kepada pelajar-pelajarnya, seorang abang kepada adik-adiknya dan seorang sahabat kepada sahabat-sahabat yang lain.

Kepada ibu bapa dan kakak saya, semua pendidik, semua pemimpin pendidikan pusat, negeri, daerah dan sekolah, semua rakan sekerja, semua rakan sepengajian di #koediium serta semua rakan seperjuangan, Selamat Hari Guru. Terima Kasih, Cikgu.

Jasamu Tetap Disanjung Tinggi

Comments