Aidilfitri dalam Suasana Berbeza


"Tidak ada sakit yang tidak dapat disembuhkan. Tidak ada bahaya yang tidak dapat dihindarkan. Tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Walaupun Ramadhan telah berlalu, kehidupan mesti tetap berjalan. Perjuangan mesti diteruskan."


Saudara-saudara sebangsa dan setanah air, di mana pun jua berada di seluruh pelusuk dunia:

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Marilah kita mulakan hari kita dengan memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT, Tuhan yang Maha Esa, kerana dengan limpah kurnia-Nya serta izin-Nya, dapatlah kita meraikan Hari Raya Aidilfitri pada hari ini. Pada masa yang sama, marilah kita tingkatkan iman dan taqwa kita kepada Allah SWT, dengan terus-menerus melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita beroleh kejayaan yang sebenar-benarnya di dunia dan di akhirat.

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Hari ini tidak seperti biasanya. Seperti mana sebulan Ramadhan berlalu dengan sangat luar biasa, begitu jugalah hari pertama Syawal yang datang dalam keadaan yang sangat luar biasa. Pertama, kerana pandemik COVID-19 masih berleluasa di seluruh dunia. Malaysia turut tidak terlepas daripada terkena bahayanya. Ketika ucapan ini disampaikan, 7,185 orang telah disahkan positif COVID-19 di Malaysia. Lebih malang daripada itu, 115 orang telah disahkan meninggal dunia.

Turut tidak dilupakan, beberapa orang petugas perkhidmatan asas dan penting negara, baik di sektor kerajaan mahupun swasta, yang terkorban dalam perkhidmatan selama pandemik COVID-19 masih menular dalam negara. Kita mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka, mudah-mudahan dikurniakan ketabahan untuk meneruskan kehidupan. Firman Allah SWT dalam Surah at-Taghabun, ayat 11:

“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Akibat daripada itu, kedua, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berlaku di dalam negara. Walaupun banyak kelonggaran diberikan sejak PKP Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan, masih banyak sekatan dan larangan yang diteruskan, termasuklah larangan keluar dan masuk sempadan negara, larangan merentas negeri (dan merentas bahagian di Sarawak), sekatan keramaian serta penutupan institusi pendidikan. Semua ini dilakukan bagi membasmi pandemik daripada terus menular dalam negara dalam skala yang lebih besar.

Hasilnya, kadar kesembuhan daripada pandemik bagi Malaysia meningkat dari hari ke hari. Ketika ucapan ini disampaikan, sebanyak 82.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 telah sembuh.

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Ketiga, sebahagian daripada kita merupakan anggota barisan hadapan perkhidmatan asas dan penting negara. Mereka merupakan pemimpin dan anggota Pentadbiran, Perkhidmatan Kesihatan, Angkatan Tentera, Polis serta Perkhidmatan Awam lainnya, terutamanya sektor penguatkuasaan, yang terus berjuang di jalan Allah, mengamankan tanah air daripada bahaya yang lebih besar dan luar jangka. Terima kasih yang sebesar-besarnya kita ucapkan kepada mereka atas segala pengabdian yang dicurahkan kepada bangsa dan negara.

Keempat, hanya sebilangan kecil umat Islam yang berpeluang menunaikan solat sunat Aidilfitri serta mendengar khutbah Hari Raya Aidilfitri di masjid dan surau terpilih di negeri-negeri yang terpilih di seluruh negara. Majoriti daripada mereka merupakan Pegawai dan Ahli Jawatankuasa Kariah bagi masjid dan surau berkaitan. Sebahagian besar daripada kita, sebaliknya, hanya melakukannya dari rumah sahaja.

Walaupun begitu, tidaklah bermakna Hari Raya Aidilfitri yang kita harungi pada hari ini sudah hilang serinya. Hakikatnya, Hari Raya Aidilfitri kali ini lebih murni berbanding biasanya sesuai dengan tuntutan agama untuk kembali kepada keadaan asal kehidupan setelah sebulan hidup bersama Ramadhan, bulan yang difardhukan berpuasa dan zakat fitrah, digalakkan membaca dan menghayati al-Quran, bersedekah, menunaikan solat sunat Tarawih serta mendirikan ibadah tambahan di waktu malam, serta dikhususkan padanya satu malam yang dipanggil Lailatul Qadar, malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Allahu Akbar! Telah Allah besarkan kemuliaan dan balasan bulan Ramadhan tahun ini melebihi besarnya kesusahan dan kesedihan yang sedang melanda dunia. Allahu Akbar! Telah Allah besarkan bulan Ramadhan tahun ini dengan sebanyak dan sebesar kerahmatan, keampunan dan kelepasan hasil daripada segala amal ibadah dan khidmat bakti yang dikerjakan.

Allahu Akbar! Telah Allah berkati bangsa dan negara dengan kadar kesembuhan daripada pandemik yang semakin hari, semakin membesar. Walillahilhamd! Telah Allah bersihkan, bebaskan dan kekalkan lebih banyak daerah dan mukim dalam negara menjadi zon hijau yang bebas daripada penularan pandemik yang berbahaya.

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Tidak ada tangis yang tidak bisa diusap cita. Tidak ada juang yang tidak bisa dikalahkan cinta. Sejak hari pertama PKP berkuatkuasa, bangsa dan negara telah menunjukkan kepada dunia kesatuan dan persatuannya dalam pelbagai bentuk dan rupa. Tidak berbentuk pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara, tetapi juga bantuan kewangan dan bekalan makanan serta sokongan moral dan rohani. Hari demi hari, lebih banyak berita baik yang datang kepada kita.

Bukan hanya pemimpin kesihatan Malaysia yang diiktiraf terbaik di dunia, tetapi juga seluruh jentera kerajaan Malaysia yang diiktiraf terbaik di dunia dalam melawan pandemik yang berbahaya. Malah, rakyat Malaysia yang baik budinya dan tulus hatinya turut menerima pujian dunia kerana menyantuni mereka yang terjejas dan memerlukan di setiap tempat dan ketika.

Begitu pun, berita-berita baik seperti ini bukanlah lesen untuk alpa dan leka. Ada baiknya berita-berita baik yang datang kepada kita diambil untuk meningkatkan rasa syukur kita ke hadrat Tuhan yang Maha Kuasa. Malah, ada baiknya juga berita-berita tersebut dihayati dan diteladani agar seluruh bangsa dan negara terus bermotivasi dan bersolidariti menentang penularan pandemik dengan segala cara dan kemampuannya sehingga ke akhirnya. Firman Allah SWT dalam Surah al-Anfal, ayat 60:

“...dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya, dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Walaupun semakin banyak berita baik datang kepada kita, Hari Raya Aidilfitri tetap disambut dalam suasana yang lebih sederhana berbanding biasanya. Di sebalik ketiadaan bazar Ramadhan dan bazar Aidilfitri, pembelian barangan keperluan tetap berjalan dengan cermat dan hemat sambil mematuhi peraturan. Persiapan sambutan dalam lingkup kekeluargaan tetap berhasil walaupun keadaannya lebih bersahaja. Cukuplah untuk kali ini sekadar menyambut Hari Raya Aidilfitri di rumah sahaja.

Takbir masih dapat didengar di setiap penjuru negara, malah di tempat sendiri dapat terus dilaungkan. Solat sunat Aidilfitri masih dapat didirikan bersama-sama semua yang masih ada. Walaupun rumah terbuka tidak dapat diadakan, perpaduan dan persaudaraan masih dapat dipertahankan. Ucapan selamat sempena perayaan serta huluran kemaafan kepada keluarga besar serta sahabat handai masih dapat dikirimkan lewat teknologi walaupun dari kejauhan.

Begitu pun, jangan dilupakan para petugas barisan hadapan yang tetap bertugas di lautan, di daratan dan di langit tinggi walaupun pada hari perayaan. Kesetiaan mereka kepada Raja dan Negara melebihi segalanya yang mereka inginkan pada saat ini. Keberadaan mereka sedikit sebanyak membuatkan bangsa dan negara terus bernafas segar seperti biasa.

Jangan dilupakan juga mereka yang tidak berkeluarga sendiri tetapi masih berjauhan dari rumah asal mereka. Sebahagian daripada mereka masih bersendiri. Sebahagian daripada mereka juga masih tertahan di kampus sendiri, mengira hari untuk dipulangkan ke pangkuan keluarga di tempat sendiri.

Jangan dilupakan sama, sebahagian daripada kita yang tidak mampu meraikan Hari Raya Aidilfitri seperti kita. Mereka merupakan golongan asnaf yang tidak mampu meneruskan kehidupan bersendirian. Mereka selalu memerlukan kepada santunan pemerintah serta umat Islam di negerinya. Itulah zakat yang kita bayar kepada pihak berkuasa negeri kita.

Seperti mana kita berhak untuk bergembira di Hari Raya Aidilfitri, mereka juga berhak untuk digembirakan oleh keluarga, sanak saudara, sahabat handai serta saudara sebangsa dan setanah air di mana pun berada dan dengan pelbagai cara. Hakikatnya, kegembiraan merupakan hadiah daripada Allah SWT kepada seluruh hamba-Nya yang mengharungi dan menghidupkan bulan Ramadhan dengan jayanya.

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Tidak ada sakit yang tidak dapat disembuhkan. Tidak ada bahaya yang tidak dapat dihindarkan. Tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Walaupun Ramadhan telah berlalu, kehidupan mesti tetap berjalan. Perjuangan mesti diteruskan.

Mudah-mudahan Syawal yang tiba serta sepuluh bulan Hijri yang berikutnya terus menyalakan semangat kita untuk memerangi musuh yang tidak kelihatan dan, sesudah itu, membina semula negara dari sisa-sisa keruntuhan yang memilukan. Firman Allah SWT dalam Surah asy-Syarh, ayat 5 hingga 8:

“(Tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain); dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).”

Ahad, 24 Mei 2020
Kampung Dungun Timbok, Tuaran, Sabah

Comments