Ramadhan-Mu yang Bukan Seperti Biasanya


Ramadhan-Mu bukan seperti biasanya
datangnya dagang tak bersambut
tiada yang terizin untuk menjabatnya
gambus dan kompang terbiar, termangu
qasidah dan marhaban terdiam, terpaku
masjid dan musolla-Mu terlena sejak dulu
jiwa dan badanku berair mata, jatuh ke bahu
tidak semua bertahan dengan setianya
sehingga hujungnya berhindar dari cintanya
walaupun semua berteduh di atapnya
berlindung di balik dinding seribu makna
Apa adakah lagi sebuah harapan
yang membolehkan kita cekal dan tekal
dengan segala bentuk persuratan dunia
Maha Pencinta dan Maha Setia
jangan tinggalkan aku sendirian berduka
kerana hubungan yang sering mengujikan
kekalkan untukku setiap yang masih ada
dan gantikan muram durjaku dengan
segunung berita gembira yang mengekalkan
kemeriahan merenangi lautan rahmah-Mu
serta kembara mengejar segala keampunan
yang membuahkan bahagia di mana-mana
bersama semua yang terjamin tetap bersama

Tuaran, 22 April 2020

Comments