Berazam ke Arah yang Lebih Baik


"Peringatan mahupun sambutan tahun baru, sama ada Hijri atau Masihi, memang kebiasaannya sesuatu yang menggembirakan. Begitu pun, kedatangan tahun baru tidaklah semestinya bersifat menggembirakan."

Saudara-saudara sebangsa dan setanah air,

Selamat Tahun Baru 2020. Marilah sama-sama kita merafakkan segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT, Tuhan Yang Maha Esa, kerana dengan limpah kurnia-Nya serta izin-Nya, dapatlah kita meneruskan kehidupan pada tahun ini.

Pada masa yang sama, marilah sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan, melaksanakan segala suruhan-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sudah menjadi resam dunia bahawa pengakhiran tahun kebelakangan berlangsung seiring dengan permulaan tahun yang seterusnya. Peringatan mahupun sambutan tahun baru, sama ada Hijri atau Masihi, memang kebiasaannya sesuatu yang menggembirakan. Begitu pun, kedatangan tahun baru tidaklah semestinya bersifat menggembirakan, malah harus sentiasa menginsafkan dan menyedarkan kita bahawa umur semakin meningkat, waktu semakin singkat, kematian juga semakin dekat.

Ada baiknya kita bertanya kepada diri kita, sejauh manakah kita telah menggunakan tahun sudah dengan sebaik-baiknya? Adakah tercapai segala yang kita hasratkan pada tahun sudah? Adakah sudah atau belum digantikan segala kewajipan yang ditinggalkan atas apa jua halangan? Berapa banyakkah kebaikan yang telah kita lakukan kepada diri sendiri dan masyarakat?

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Sepertimana hanya diri sendiri yang mempunyai jawapan, diri sendiri jugalah yang sesungguhnya mempunyai pilihan. Setiap hamba Allah di muka bumi didatangkan dengan dua pilihan, iaitu kebaikan dan keburukan. Mereka yang memilih kebaikan lazimnya lebih dekat dengan Allah, lebih mesra dengan masyarakat, lebih menyayangi alam sekeliling dan lebih seimbang keperluan dan kehendaknya di dunia dan akhirnya. Mereka yang memilih sebaliknya boleh jadi dekat dengan masyarakat dan alam sekitar, tetapi belum tentu merasa dekat dengan Allah dan barangkali terlebih memenuhi dunia berbanding akhirat.

Setiap pilihan datang bersama kesan. Mereka yang memilih kebaikan akan mendapat kesan yang berbentuk kebaikan. Begitulah juga mereka yang memilih keburukan akan mendapat kesan yang berbentuk keburukan. Begitulah bunyinya firman Allah SWT dalam Surah asy-Syams, ayat 7 hingga 10:

“Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya) serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada ketaqwaan, sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan) dan Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).”

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Kedatangan tahun baru biasanya seiring dengan penetapan azam baru. Sudah pasti, setiap daripada kita mempunyai azam yang tersendiri untuk ditunaikan pada tahun ini. Hakikatnya, azam bukanlah semata-mata matlamat dan harapan. Dalam konteks individu dan golongan, azam adalah sebuah perjalanan memenuhi kelengkapan dalam kehidupan. Dalam konteks Malaysia, azam adalah sebuah perjuangan untuk mengisi janji-janji kemerdekaan, membangun jiwa dan raga bangsa dan negara menerusi pelbagai pendekatan yang membentuk kebersamaan. Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah, ayat 105:

“...dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), kelak Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”

Walaupun begitu, azam sahaja tidak mencukupi jika tidak diiringi dengan usaha yang berterusan dan doa dengan sepenuh kesungguhan. Apalah erti menjadi insan yang berusaha tetapi tidak meminta kepada Yang Maha Kuasa, sedangkan Dia sentiasa ada untuk mendengar segala permintaan kita. Firman Allah SWT dalam Surah Ghaafir, ayat 60:

“...dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Dalam sebarang keadaan dan peristiwa, bersama-samalah kita melakukan yang lebih baik berbanding sebelumnya. Hanya dengan menjadi yang lebih baik, kita semua dapat mencapai kejayaan yang diimpikan. Datuk Seri Panglima Dr. Hj. Hasbullah bin Hj. Mohd. Taha ketika menjadi Pengarah Pendidikan Negeri Sabah pernah menitipkan harapan yang dinamakan Beyond Excellence (Mendepani Kecemerlangan) pada tahun 1999:

“Hari ini lebih baik daripada kelmarin
Esok lebih baik daripada hari ini
Lusa lebih baik daripada esok
Tulat lebih baik daripada lusa
Langkat lebih baik daripada tulat
Tahun ini lebih baik daripada tahun lepas
dan tahun depan lebih baik daripada tahun ini”

Jumaat, 3 Januari 2020
Masjid al-Baari, Taman Ketiau, Putatan, Sabah

Comments