Menjelang Usia SMK Tansau ke-20


Bermula tanpa apa-apa apa, kini SMK Tansau berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan sekolah-sekolah hebat yang lain di seluruh Malaysia, terutamanya dalam bidang pengajian Islam dan koperasi. Kerana bidang-bidang kebitaraan kita, kita menjadi sekolah pilihan yang disegani oleh lawan dan didekati oleh kawan.

Saudara dan saudari, pelajar-pelajar baru Tingkatan 1, 2020: Selamat datang ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau, Penampang, Sekolah Hebat Berjiwa Besar (A Great School with a Big Heart), “Biasakan yang Luar Biasa”.

Memulakan bicara, saya ingin mengucapkan tahniah kepada kesemua 480 orang murid Tahun 6 dari sembilan buah sekolah rendah yang telah diterima masuk ke sekolah ini. Tahniah juga diucapkan kepada mereka yang telah berjaya mendaftarkan diri mereka secara rasmi di sekolah ini. Kalian telah datang ke tempat yang betul, tempat yang membolehkan kalian melakukan perkara yang luar biasa untuk mencapai keputusan yang luar biasa.

Kepada para ibu bapa dan penjaga, berbanyak terima kasih diucapkan atas kesudian tuan-tuan dan puan-puan turut serta di dalam rapat ini bersama anak dan jagaan masing-masing. Dukungan dan sokongan tuan-tuan dan puan-puan terhadap sekolah ini serta anak dan jagaan masing-masing pada masa kini dan masa hadapan amatlah dihargai.

17 Januari tahun depan, SMK Tansau akan menyambut ulangtahunnya yang ke-20. Sudah menjadi resam kehidupan, usia baru datang seiring dengan azam baru. Kedatangan kalian, para pelajar baru, ke sekolah ini turut membawa bersama identiti yang baru dan suasana kehidupan yang baru. Sebagai warga yang terkini bagi sekolah ini, amatlah besar harapan kami agar kalian datang ke mari dengan membawa bersama lebih banyak episod kejayaan di pelbagai peringkat dan lapangan.

Hakikatnya, para pendiri sekolah ini serta para pendahulu kita telah melakukannya sepanjang 19 tahun kebelakangan dengan keringat dan air mata. Bermula tanpa apa-apa apa, kini SMK Tansau berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan sekolah-sekolah hebat yang lain di seluruh Malaysia, terutamanya dalam bidang pengajian Islam dan koperasi. Kerana bidang-bidang kebitaraan kita, kita menjadi sekolah pilihan yang disegani oleh lawan dan didekati oleh kawan.

Sampai ke saat ini, sudah ramai yang berkunjung ke sekolah kita, dari menteri negeri, Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, syarikat dan pertubuhan sehinggalah kepada sekolah-sekolah sahabat yang sudi menghulurkan salam ukhuwwah dengan kita. Hari ini sahaja, kita memuliakan tetamu dari Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur dan SMK Narinang, Kota Belud.

Sebagai generasi yang seterusnya, tanggungjawab kita adalah untuk menjamin keberterusan kejayaan sekolah kita. Di bawah cogan kata “Berilmu, Berdisiplin dan Berwawasan”, marilah kita menghayati indahnya memiliki ilmu dan kemahiran dan berbudaya dengan nilai-nilai murni dan budi bahasa.

Dengan iltizam yang padu dan semangat yang jitu, marilah kita berkongsi usaha dan doa yang sama agar sekolah kita kekal menjadi penyuluh pembangunan manusia yang terus setia mengabdi kepada bangsa dan negara berdasarkan kepada petunjuk Allah SWT dan ajaran Rasulullah SAW, bertepatan dengan keadaan kita yang baru sahaja memperingati Maulidur Rasul, Sabtu lepas (9 November). Di sanalah nanti, kita akan temui harga perpaduan dan persaudaraan yang menguatkan dan kasih sayang yang tidak akan pernah menggagalkan. Di sana jugalah letaknya erti bersyukur kepada Allah SWT dan Rasul-Nya SAW dan menghargai manusia lain yang berjasa.

Dirgahayu sekolah transformasi, jasamu tetap disanjung tinggi.

Program Orientasi Pelajar Tingkatan 1, 2020, SMK Tansau
Jumaat, 15 November 2019
Dataran Datin Patimah, SMK Tansau, Penampang, Sabah

Comments