Yang di-Pertua Negeri Memayungi Pembangunan dan Keharmonian Negeri


"Sesungguhnya menjaga keharmonian dan mengikat erat tali perpaduan adalah tanggungjawab kita bersama. Perkara tersebut menggambarkan sebahagian rasa syukur kepada Allah SWT terhadap nikmat keamanan."

Saudara sebangsa dan setanah air,

Marilah sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan, melaksanakan segala suruhan-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Besok, Sabah akan merayakan Hari Ulangtahun Rasmi Kelahiran Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah. Seperti yang diputuskan dalam Warta Kerajaan Negeri Sabah No. 671 bertarikh 15 Julai 2010, Sabah merayakannya pada hari Sabtu yang pertama, setiap bulan Oktober, dan menjadikannya Hari Kelepasan Am Negeri mengikut Seksyen 3(1) dan Seksyen 9, Ordinan Cuti 1948, sebagai tambahan kepada Hari Malaysia yang disambut oleh seluruh rakyat Malaysia pada setiap 16 September.

Walaupun hari tersebut dikhaskan untuk memuliakan dan membesarkan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, ada baiknya kita mengimbau kembali peri mustahaknya kita sebagai manusia untuk hidup bermasyarakat dan bertamadun. Hal ini demikian kerana, fitrah manusia memang suka hidup di dalam satu kelompok, bersama membentuk masyarakat lalu berusaha membina sebuah peradaban yang maju, berilmu dan bahagia. Iklim kemakmuran yang menaungi negara, permuafakatan dan keharmonian di tengah kehidupan bermasyarakat, serta keselesaan untuk kita melaksanakan tanggungjawab keagamaan dan kemasyarakatan secara berterusan dalam keadaan yang aman, sesungguhnya kesemua ini adalah nikmat kurniaan Allah SWT yang harus kita sama-sama syukuri.

Justeru, manusia perlu kepada satu jalan dan peraturan kehidupan yang lazimnya disatukan di bawah satu kepimpinan. Mereka akan melantik seorang ketua bagi menjadikan mereka bangsa yang patuh dan bersatu di bawah satu pemerintahan. Oleh hal yang demikian, kita bersyukur kepada Allah SWT kerana adanya seorang pemimpin yang dinaungi oleh nikmat iman dan ihsan dan dikelilingi dengan indahnya persaudaraan, persefahaman dan keharmonian dalam kalangan seluruh rakyat dan penduduk di negeri Sabah. Beliaulah wakil rasmi kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di negeri Sabah yang kita sama-sama hormatkan sebagai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Sidang Jumaat yang direstui Allah,

Dalam konteks Sabah, kerukunan dan keharmonian masyarakat yang dapat kita lihat hari ini merupakan hasil daripada peranan yang dimainkan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri serta para pemimpin di pelbagai peringkat dan lapangan dalam membentuk perpaduan rakyat. Pembentukan suasana tersebut memerlukan kepada keadilan dan kebijaksanaan pemimpin. Hakikatnya, dalam segala perkara, rakyat memberikan segala kepercayaan kepada pemimpin kerana pemimpinlah yang lebih ahli dalam kepemimpinan seperti yang Allah SWT gambarkan dalam firman-Nya dalam Surah an-Nisaa, ayat 58:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, supaya kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”

Al-Mawardi dalam kitabnya, al-Ahkam al-Sultaniyyah, menyebut, “Seorang pemimpin itu hendaklah mempunyai pemikiran tajam untuk menjaga siasah umat, pentadbiran menjamin kemaslahatan, berani, berupaya mempertahan negara dan berjihad menentang musuh.” Maka, sifat dan nilai keadilan serta kebijaksanaan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri telah mencorak pembangunan ummah dan keharmonian negeri Sabah serta memacu pembangunan dan kemajuan yang lebih hebat, diredhai dan diberkati di sisi Allah SWT.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Islam merupakan agama yang sempurna serta mengandungi peraturan hidup yang sangat lengkap dan menyeluruh dalam pelbagai aspek kehidupan sama ada aspek ekonomi, sosial dan politik. Kemajuan dan pembangunan dalam ekonomi juga merupakan satu seruan dalam Islam ke atas semua umatnya supaya berusaha untuk mencapainya agar negara mencapai kemakmuran dan kesejahteraan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 172:

“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya.”

Ayat tersebut jelas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menciptakan langit dan bumi serta segala isinya untuk manfaat sekalian manusia. Islam menggalakkan manusia mencapai kesenangan dan kejayaan di dunia. Namun, Islam juga meletakkan garis panduan kepada manusia dalam usaha untuk mengejar kemajuan supaya tidak berlaku sebarang kerosakan dan kemusnahan akibat manusia itu sendiri.

Hal ini sudah terang lagi bersuluh menunjukkan bahawa kedudukan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri telah memperkasa kekuatan bagi menganjak pembangunan ummah dalam pelbagai segi, baik pembangunan manusia, akal budi, akhlak moral, agama, dakwah Islam dan juga pembangunan kebendaan.

Dengan kekuatan dan tenaga tersebut, kita mampu menyumbang sesuatu untuk sebuah kemajuan dan pembangunan sama ada terhadap keluarga, masyarakat, daerah dan negeri Sabah khususnya secara bersepadu dalam erti kata pembangunan ummah dan negara yang bercirikan Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafuur yang tersimpul di dalamnya makna pembangunan seimbang duniawi dan ukhrawi.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Saidina Umar al-Khattab RA pernah berkata, “Tidak akan ada kejayaan melainkan dengan kekuatan. Tidak akan ada kekuatan kecuali perpaduan. Tidak akan ada perpaduan melainkan dengan keutamaan budi. Tidak akan terdapat keutamaan budi kecuali dalam ajaran agama dan tidak akan ada agama kecuali dengan dakwah.”

Justeru, sebagai rakyat, kita perlu memastikan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa dan agama terus terbela dan terjaga di bawah kepimpinan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri dengan membina kekuatan dalam kebijaksanaan, bukan dalam sentimen ketakburan atau keangkuhan. Menjaga keharmonian ini penting agar dakwah Islam dapat disebarkan dalam suasana harmoni sekaligus memperlihatkan islam sebagai agama yang harmoni dan penuh kasih sayang. Kedudukan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri sebagai ketua negeri dan agama sekaligus telah memartabatkan dan meninggikan syiar Islam di negeri Sabah. Allah SWT berfirman dalam Surah an-Nisaa, ayat 59:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada orang-orang yang berkuasa dari kalangan kamu. Kemudian, jika kamu berbantah-bantah dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (al-Quran) dan RasulNya (as-Sunnah) jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

Lantaran itu, terbukti sudah peranan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri sangat penting dalam memastikan Islam tetap dijulang di negara kita. Dalam erti kata lain, barangsiapa yang merendah-rendahkan pemimpin yang menjadi simbol kepada syiar Islam, maka dia secara tidak langsung merendahkan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sesungguhnya menjaga keharmonian dan mengikat erat tali perpaduan adalah tanggungjawab kita bersama. Perkara tersebut menggambarkan sebahagian rasa syukur kepada Allah SWT terhadap nikmat keamanan. Dalam suasana yang harmoni dan bersatu padu, dakwah Islam akan lebih mudah terlaksana, kedudukan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri sebagai simbol syiar Islam akan terus dihormati sama ada oleh mereka yang beragama Islam dan bukan beragama Islam dan akhirnya menterjemahkan Islam sebagai Rahmatan lil Alamin.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Mengakhiri khutbah, di pelusuk mana pun kita menempati negeri Sabah, sama ada di Long Pasia mahupun di Kalabakan, sama ada di Penangah mahupun di Bengkongan, marilah kita berdoa sempena memperingati hari kebesaran ini, semoga Allah SWT terus menjadikan Sabah sebuah negeri dalam Malaysia yang makmur dan bahagia untuk selama-lamanya, serta mengurniakan kesihatan serta kesejahteraan berterusan kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Kerajaan serta seluruh rakyat sekalian.

Jumaat, 4 Oktober 2019.
Masjid al-Baari, Taman Ketiau, Putatan, Sabah.
Khutbah sumbangan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah dengan suntingan.

Comments