Saya, SEMEKAR dan SMAIM


Terakhir kali saya datang ke SMKA Mohammad Ali, Ranau (SEMEKAR) ialah pada tahun 2005. Waktu itu, saya masih berada di bangku sekolah rendah, menyertai acara Hifz al-Quran sempena Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Pantai Barat Utara Sabah anjuran Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Sabah Cawangan Ranau. Boleh tanya sahabat saya, Kamal Habib bin Norakim (alumni SMKAKK, STPM 2015) sebab kami dulu sama-sama.

Saya ambil masa lebih kurang 14 tahun untuk kembali ke mari. Kalau bukan kerana mengiringi pelajar-pelajar sekolah saya yang kini ke Mukhayyam Arabi Peringkat Negeri, tidaklah saya ke mari. Alhamdulillah, diizinkan bersua dengan guru dan pengetua saya zaman sekolah menengah dulu, kini Pengetua SEMEKAR, Ustazah Jaimis binti Saiman, orang yang telah bersusah payah menerima kehadiran saya di SMKAKK dari tahun 2010 hingga 2011 dan memotivasikan saya secara konsisten untuk terus cemerlang dalam bidang-bidang yang saya ceburi dulu sampai kini, secara khusus debat dan pengucapan awam bahasa Arab, dakwah dan kepimpinan Islam, dan pendidikan.

Hanya setelah tujuh tahun tidak bertemu dan menghampiri tahun kedua keguruan diri ini, saya berkesempatan menyampaikan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada beliau dan semua guru yang lain atas jasa dan bakti besar beliau kepada diri ini dan rakan-rakan sepersekolahan. Alhamdulillah, ramai rakan sepengajian saya pada hari ini telah berjaya mengejar impian masing-masing, sebahagiannya mengambil jalan keguruan sama dengan saya.

Di samping Ustazah Jaimis, ada seorang lagi pengetua yang mempunyai sumbangannya yang tersendiri kepada diri ini dan organisasi yang saya pernah wakili. Pengetua SMA al-Irsyadiah Marakau (SMAIM), Ranau, Ustazah Hjh. Nuridah binti Amit (berdiri di sebelah kanan) merupakan orang yang banyak membantu saya dan rakan-rakan ketika berlangsungnya Program Khidmat Masyarakat Tempatan (LOCUS) 2013 anjuran Pusat Asasi, UIAM.

Ketika kami mengimbau memori LOCUS 2013, saya bisik kepada Ustazah Nuridah bahawa sumbangan yang UIAM berikan waktu itu agak sedikit. Tetapi, bagi beliau, LOCUS 2013 telah membuka mata warga SMAIM sebesar-besarnya agar dapat melihat kejayaan menerusi perspektif yang luar biasa. Berkat doa, usaha dan semangat juang mereka, SMAIM muncul dari kalangan sekolah agama yang terbaik di negeri Sabah. Saya dan rakan-rakan bersyukur dan berbangga melihat SMAIM hari ini, enam tahun pasca LOCUS 2013.

Comments