UNICAMP SeMesTa 2019


Idea untuk melaksanakan Perkhemahan Unit Beruniform (UNICAMP) 2019 di SMK Tansau (SeMesTa) bermula seawal bulan Mac. Walau bagaimanapun, persiapan sebenar hanya mengambil tempat tiga hari sebelum program bermula. Itu pun kerana memberi ruang kepada program berskala besar yang lain mengambil tempatnya di sekolah saya.

Asalnya, saya tidak mahu menjadi pemegang amanah UNICAMP. Sebabnya warga bimbang dan tidak yakin dengan saya, terutamanya dalam tempoh tiga hingga enam bulan setelah menyertai sekolah ini. Tambahan pula, dalam tempoh enam bulan kebelakangan, pelbagai cabaran dan dugaan yang saya hadapi untuk membeli keyakinan dan kepercayaan warga terhadap saya. Permusuhan, kehilangan sahabat dan kawan, keterbiaran urusan pengajaran dan pemudahcaraan, kelewatan proses penulisan tesis sarjana serta kemalangan jalan raya adalah harga mahal yang perlu saya bayar bagi mendapatkan keberhasilan yang diimpikan.

Walaupun begitu, sokongan padu warga datang tiga hari sebelum program dan sehinggalah berakhirnya segmen terakhir program. Alhamdulillah. Dengan restu Allah SWT dan kerjasama pelbagai pihak di dalam dan luar sekolah, UNICAMP 2019 berjaya dilaksanakan. UNICAMP kali ini mengamalkan konsep lima dalam satu. Sempena Bulan Kebangsaan 2019 peringkat Sekolah, UNICAMP diadakan bersekali dengan Perkhemahan Pendidikan Khas, Karnival 1 Murid 1 Sukan dan Qiamullail Siri 2. Di sebalik kekurangan dan kelemahan yang harus diakui dan ditambahbaik pada masa hadapan, saya amat meraikan dan menghargai sokongan dan kerjasama Pengetua dan para Anggota Pentadbiran, rakan-rakan guru dan AKP, sahabat-sahabat dan rakan-rakan pelajar serta para budiman yang sudi menyumbang kepada kejayaan program ini.

Terima kasih yang lebih lagi kepada sahabat-sahabat rapat yang saya cintai di tempat saya yang tidak lelah berlengan dan membahu dengan saya dan untuk saya pada saat suka dan duka; orang yang memeluk saya dengan "semangat yang tidak pernah menyerah dan mengalah untuk menyambung perjuangan yang tidak pernah ada pengakhiran" dan "kasih sayang yang tidak akan pernah menggagalkan". Berlalunya program ini, saya akur dengan nasihat Syahrul Nizam, "Ustaz berehatlah."

Jasamu Tetap Disanjung Tinggi!

Comments