Terakhir Kali di Sabah, Kali yang Berikutnya di Labuan


Ustaz Fakhrullah Akmal bin Kamal dari SMA MAIWP Labuan tidak pernah terfikir akan melihat saya berada di sini untuk seketika pada hari ini. Apalah yang beliau ketahui pada saat itu.

Terakhir kali kami bertemu ialah pada tahun 2011, ketika sekolah lama saya (SMKA Kota Kinabalu) mengehoskan Majlis Ihtifal Institusi Pendidikan Agama Peringkat Negeri Sabah. Sahabat saya yang ini ketika itu menuntut di SMKA Limauan, Kimanis, Papar. Oleh itu, beliau mewakili sekolahnya dalam Pertandingan Kalimatus Sobah. Langsung beliau dipilih mewakili negeri ke pertandingan yang sama di Peringkat Kebangsaan, menjadikan beliau orang yang mengikuti jejak langkah saya dua tahun sebelumnya.

Kami sama-sama menjadi pendebat bahasa Arab negeri Sabah yang mewakili sekolah masing-masing dalam Pertandingan Debat Bahasa Arab antara Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan pada tahun tersebut di Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan. Tetapi, kami mempunyai cita dan cinta kami yang tersendiri.

Tamat sahaja pengajian tinggi beliau di Universiti Jordan, Amman, Jordan, beliau segera dilantik menjadi guru di sekolah ini. Menghampiri dua tahun usia keguruan beliau dan lapan tahun usia persahabatan kami, Allah panjangkan usia kami untuk bertemu sesama sendiri. Alhamdulillah.

Comments