Ucapan Perasmian Penutupan, Kem Kepimpinan Tokoh-tokoh Islam Dunia Siri 3/2019


"Kita sentiasa ada ruang dan peluang untuk memimpin. Malah, kita sentiasa terikat dengan sebarang tempat dan ketika untuk memimpin. Walau bagaimanapun, ruang dan peluang yang ada di hadapan kita bukanlah untuk dibiarkan dan dilepaskan kepada orang lain begitu sahaja, tetapi untuk dipikul oleh kita semua menerusi kemampuan yang masing-masing ada."

Atas nama SMK Tansau, Penampang, saya menyampaikan ucapan terima kasih kepada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Cawangan Daerah Putatan kerana memilih sekolah ini sebagai tempat acara bagi Kem Kepimpinan Tokoh-tokoh Islam Dunia (KPTI) Siri 3. Saya juga menyampaikan ucapan tahniah kepada Pengarah dan semua Ahli Jawatankuasa KPTI atas kejayaan penganjuran KPTI kali ini.

Malaysia sedang mencapai wawasannya. Semua orang tahu, Malaysia sedang mencapai Wawasan 2020. Walaupun wawasan itu dianjak lima tahun atau lima puluh tahun lagi, Malaysia berada di atas jalan yang sebenarnya untuk mencapainya. Begitu pun, wawasan ini tidak dapat dibiarkan begitu sahaja.

Kepimpinan tanggungjawab bersama. Begitulah juga dengan keamanan dan kemakmuran Malaysia, kita semua bertanggungjawab ke atasnya. Untuk membiarkan seseorang atau segolongan pemimpin untuk menjalankan tanggungjawab kepimpinan bukanlah pilihan yang baik. Tanggungjawab kepimpinan yang ada pada seseorang mahupun segolongan terlalu besar untuk dipikul.

Menyedari hakikat ini, tanggungjawab kepimpinan dikongsikan bersama kita semua – umat Islam dan rakyat Malaysia – berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Rukunegara. Hakikatnya, negara ini bukanlah milik seseorang mahupun segolongan. Negara ini kita semua yang punya.

Setiap orang ada hak dan tanggungjawab ke atas negara ini. Walaupun kepimpinan negara didefinisikan secara jelas dan terperinci di dalam Perlembagaan Persekutuan, setiap rakyat Malaysia adalah pemimpin bagi Malaysia yang tercinta.

Pasca KPTI Siri 3, kualiti kepimpinan dan pengurusan mesti ditingkatkan. Amalan kepimpinan melalui teladan, seperti mana yang telah dipromosikan sejak dulu, harus diteruskan. Menerusi kepimpinan, kita berkongsi, malah berkorban jiwa raga kita untuk mempertahankan negara dan rakyat berserta asas-asas yang telah ditanamkan oleh para pengasas Malaysia, suatu masa dahulu.

Kita sentiasa ada ruang dan peluang untuk memimpin. Malah, kita sentiasa terikat dengan sebarang tempat dan ketika untuk memimpin. Walau bagaimanapun, ruang dan peluang yang ada di hadapan kita bukanlah untuk dibiarkan dan dilepaskan kepada orang lain begitu sahaja, tetapi untuk dipikul oleh kita semua menerusi kemampuan yang masing-masing ada.

SMK Tansau, Penampang berpegang dengan komitmen ini. Sebagai sebuah sekolah hebat yang berjiwa besar yang membiasakan yang luar biasa, kepimpinan dan pengurusan sepatutnya menjadi nilai yang dipegang oleh seluruh warganya, baik Pentadbir, guru, Anggota Kakitangan Pelaksana, pekerja kontraktor mahupun pelajar. Tanpanya, kita tidak akan pergi ke mana-mana.

Hakikatnya, bukan sekolah yang kita pikul pada hari ini, tetapi masyarakat sekeliling yang lebih besar daripada segalanya yang sekolah ada. Perkara inilah yang seharusnya seluruh warga sekolah ini sedari, begitulah juga warga sekolah lain yang bergantung kepada pernyataan arah dan strategi sekolah masing-masing.

Setiap sekolah ada pelbagai nilai yang perlu dipikul, salah satunya adalah kepimpinan. Hal ini demikian kerana akhirnya, Malaysia menterakan kemenjadian pelajar yang seimbang dan holistik, berminda keusahawanan, maju ke depan membawa Islam ke tahap yang tertinggi, mengembalikan kegemilangan Malaysia sebagai Harimau Asia dan menjadikan ASEAN sebuah rantau yang bebas, berkecuali dan aman untuk sesiapa jua yang berada di dalamnya. Bunyinya terlalu besar sekali. Tetapi, tanggungjawab kepimpinan sentiasalah tanggungjawab kita bersama di mana-mana jua berada.

Komitmen sekolah dalam aspek jalinan dan jaringan tidak pernah berubah. SMK Tansau, Penampang menyatakan hubungan baik dengan masyarakat, terutamanya organisasi-organisasi Kerajaan dan bukan kerajaan yang bersama bergandingan dengan sekolah ini, menjadikan kita lebih makmur dan bahagia pada tempat dan waktunya. Pada masa yang sama, SMK Tansau, Penampang menyatakan hubungan baik dengan sahabat-sahabatnya, SMK Putatan dan MRSM Kota Kinabalu di Kinarut, Papar, begitulah juga dengan sekolah-sekolah yang lain.

Kita sentiasa dibezakan dengan kedudukan dalam pelbagai bidang, baik akademik, kokurikulum, sahsiah serta kepimpinan dan pengurusan. Tetapi, kita tidak ada sebab untuk bermusuh sesama sendiri. Kedudukan yang kita nampak selama ini hanyalah semata-mata satu motivasi untuk terus meningkat dalam bidang yang diceburi, bukanlah untuk dimusuhi, bukanlah jua untuk diperangi dengan cara-cara yang tidak betul.

Adanya negeri Sabah dan negara Malaysia adalah untuk berkongsi. Kita sentiasa menunjukkan kepada dunia bahawa Sabah adalah sebuah negeri dalam Malaysia yang sentiasa berkongsi keamanan dan kemakmuran dengan masyarakat yang datang dari luar negeri. Atas sebab itu, kita masih disegani sampai hari ini.

Semua ini merupakan tanggungjawab kepimpinan yang sekecil-kecilnya dan sebesar-besarnya, yang saya harap daripada semua peserta KPTI, dapat mempelajarinya, terutamanya apabila diceritakan mengenai kisah Salahuddin al-Ayyubi membuka kota Konstantinopel bersama tentera-tenteranya pada usia yang muda.

Menjadi pemimpin, kita perlu sentiasa bercita-cita besar. Kita juga mesti berjiwa besar kerana itulah yang menyumbang kepada hasil sama ada yang kecil mahupun yang besar yang akhirnya, kita mesti nilaikan bersama. Realitinya, kepimpinan sentiasa mengenai usaha. Kelak yang dinilai oleh Allah SWT adalah usaha dan bukannya hasil.

Pintu SMK Tansau, Penampang sentiasa terbuka kepada sesiapa pun selaras dengan slogannya, "Sekolah Hebat Berjiwa Besar (A Great School with a Big Heart)", "Biasakan yang Luar Biasa". Atas semangat diplomasi tersebut, sekolah ini mengalu-alukan sekali lagi ABIM Cawangan Daerah Putatan dan mana-mana jua organisasi pada masa akan datang untuk berganding lengan bersama sekolah ini dalam pelbagai bidang.

Atas nama sekolah ini, saya memohon maaf atas segala yang terkurang dan terlebih daripada diri saya sendiri, rakan-rakan saya di Panitia Pendidikan Islam, adik-adik saya di Badan Dakwah dan Rohani serta sesiapa pun jua dari sekolah ini yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menyokong pelaksanaan program ini. Walau bagaimanapun, saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua peserta yang mewakili sekolah ini serta sahabat-sahabat sekolah ini kerana berjaya menyertai program ini hingga ke akhirnya.

Dengan lafaz Bismillah ar-Rahman ar-Rahim, perkenankanlah saya menyatakan KPTI Siri 3 rasmi ditutup.

Majlis Perasmian Penutupan, Kem Kepimpinan Tokoh-tokoh Islam Dunia Siri 3/2019
Ahad, 21 Julai 2019, jam 1.00 tengah hari
Surau Nur al-Hidayah, SMK Tansau, Penampang, Sabah.

Comments