Sebuah Doa yang Dikabulkan Setelah Sekian Lama


Semasa saya berada di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Petaling Jaya dahulu, saya pernah berdoa agar sahabat saya, Ustaz Mohammad Hami Hamizul bin Hj. Saimi (SMKA Tun Ahmad Zaidi, Kuching, Kelas 2012), menyertai UIAM suatu hari nanti. Walau bagaimanapun, pada tahun 2013, beliau mengikuti pengajian ijazah pertama dalam bidang Syariah di Universiti Al Albayt, Mafraq, Jordan sehingga tahun 2017.

Allah murahkan rezeki beliau. Beliau yang baru berumahtangga ini sebetulnya Hakim, Mahkamah Rendah Syariah Bahagian Kuching. Oleh kerana beliau bercuti belajar, beliau akhirnya menyertai UIAM untuk setahun mulai Mei tahun ini atas tajaan Kerajaan Negeri Sarawak. Beliau kini sedang mengikuti pengajian peringkat Diploma Pascasiswazah dalam bidang Pentadbiran Kehakiman Islam di UIAM Kampus Gombak.

Pertama kali berjumpa beliau ketika kami masih remaja. Saya datang ke sekolah beliau pada Julai 2009 dan membalasnya lebih kurang dua tahun kemudian. Pernah sama-sama mewakili sekolah masing-masing dalam Pertandingan Debat Bahasa Arab antara Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2011 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan. Pernah jua berjumpa di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kuala Selangor ketika beliau mewakili negeri dalam Pertandingan Kalimatus Sobah, Majlis Ihtifal Institusi Pendidikan Agama Malaysia 2012.

Tapi, pertemuan ini mengambil masa tujuh tahun lamanya. Dalam keadaan persahabatan kami sudah berusia sepuluh tahun lamanya, Allah tunjukkan kepada diri ini bahawa usia kami dan persahabatan kami dipanjangkan. Doa saya telah dimakbulkan. Alhamdulillah.

Maka, benarlah... "Rahmat Allah untuk kita semua tidak pernah menghampakan. Cinta yang dahulu mempertemukan, meski akan memisahkan, akan mempertemukan semula di tempat dan ketika yang lain. Saya sentiasa yakin itu kerana, pada hemat saya, sekolah mahupun asrama bukanlah semata-mata alasan untuk kita bersahabat mahupun bercinta, tetapi lebih daripada itu, kerana Allah." (Cinta dan Pengertian, 2 November 2017)

Comments