Hari yang Tidak Lagi Istimewa


Alhamdulillah. Hari ini saya meraikan Jubli Perak untuk diri saya sendiri. Tetapi, tidak semua mengingati hari saya pada hari ini. Sebahagian daripada mereka baru pada tempat dan ketika ini mengetahuinya. Sebahagian lagi sudah membuang saya dari kehidupan mereka. Hanya keluarga saya dan sebahagian yang lain yang betul-betul sejak dahulu mengingatinya.

Hari ini sepatutnya istimewa bagi saya. Begitu pun, hari ini berlalu seperti biasa seolah-olah tiada apa-apa yang istimewa. Saya masuk dan keluar pejabat seperti biasa, mengajar seperti biasa, menangani khidmat pengurusan seperti biasa, memimpin mesyuarat berkala juga seperti biasa. Sejak tahun sudah, kehidupan saya jikalau tidak diabadikan untuk ibu bapa dan keluarga, diabadikan untuk rakyat dan negara.

Beginilah hari-hari saya yang berikutnya. Saya terus menjalaninya secara bersendiri atau dengan sesiapa jua yang sudi. Terima kasih kepada mereka yang sebelum-sebelum ini dan pada saat ini memilih untuk membiarkan dan meninggalkan. Selamat maju jaya dalam apa jua yang akan dikerjakan pada masa hadapan.

Hakikatnya, walaupun manusia berkongsi dunia dan akhirat yang sama, tidak semua orang sanggup berkongsi di gelanggang yang sama terang dan gelap kehidupan, jatuh dan bangun perjuangan. Tambahan pula, kesetiaan dan kebersamaan bukanlah sesuatu yang boleh dijual beli dan dipaksa-paksa. Kedua-duanya mesti sentiasa hadir dengan rasa terbuka dan sukarela.

Sekarang bukan lagi masa untuk mempedulikan siapa yang memilih untuk meninggalkan, tetapi terus setia bersama mereka yang terus turut serta memilihnya dan yang terus menghargai erti hadir diri ini pada mereka. Sekarang bukan lagi masa untuk semata-mata mengira untung nasib badan, tetapi terus memanfaatkan semangat yang tidak pernah menyerah dan mengalah untuk meneruskan perkhidmatan kepada watan.

Terima kasih banyak-banyak kepada mereka yang telah menyantuni baik dan buruk diri ini sejak bertahun lamanya. Semoga Allah lanjutkan usia diri ini dalam rahmat dan bahagia, aman dan sentosa di samping keluarga, ahli-ahli yang setia serta negara Malaysia yang tercinta.

Comments