Zakat Fitrah Pelengkap Ramadhan


"Ada baiknya kita mengingatkan diri kita bahawa Ramadhan tidaklah datang kepada kita hanya dengan kewajipan berpuasa, tetapi juga kewajipan membayar zakat."

Saudara sebangsa dan setanah air,

Marilah sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan, melaksanakan segala suruhan-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Ramadhan semakin menghampiri senjanya. Ramadhan juga sudah hampir sempurna kewujudannya. Benar, Ramadhan merupakan bulan yang sangat luar biasa. Tetapi, seperti sebelas bulan yang lain, Ramadhan datang pada waktunya dan pergi juga pada waktunya. Sampai masanya, kita mengucapkan selamat jalan kepada Ramadhan seraya berharap agar kita dapat bertemu lagi dengannya pada tahun yang berikutnya.

Sementara Ramadhan masih mendampingi kita, ada baiknya kita mengingatkan diri kita bahawa Ramadhan tidaklah datang kepada kita hanya dengan kewajipan berpuasa, tetapi juga kewajipan membayar zakat. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 43:

“...dan dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu bersama-sama orang-orang yang rukuk.”

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Zakat merupakan perbuatan mengeluarkan harta tertentu dengan kadar tertentu mengikut syarat-syarat tertentu untuk diagihkan kepada golongan tertentu. Zakat datang bersama tiga tujuan, iaitu untuk menyucikan jiwa daripada sebarang unsur dosa dan kemungkaran, untuk membersihkan harta yang dimiliki daripada unsur haram dan syubhah dan untuk menawarkan sokongan kebendaan kepada golongan yang memerlukan. Dalam hal zakat, golongan yang memerlukan adalah lapan asnaf yang disenaraikan oleh Allah SWT dalam Surah at-Taubah, ayat 60:

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang yang fakir, orang-orang yang miskin, amil-amil yang mengurusnya, orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, (orang-orang yang hendak membelanjakannya) di jalan Allah dan orang-orang musafir (yang terputus bekalan) dalam perjalanan. (Demikianlah) ketetapan (yang datangnya) daripada Allah, dan (ingatlah bahawa) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Seperti yang semua sedia maklum, zakat terbahagi kepada Zakat Fitrah dan Zakat Harta. Zakat Harta boleh dibayar pada bila-bila masa sepanjang tahun, tidak semestinya di bulan Ramadhan, tetapi wajib dibayar apabila sesuatu harta cukup haul dan nasabnya. Harta yang dikenakan zakat meliputi gaji, pendapatan bukan gaji, wang simpanan, saham, emas dan perak, hasil perniagaan, hasil tanaman dan hasil ternakan. Di negeri Sabah, nasab semasa ditetapkan pada kadar RM 14,500 (Ringgit Malaysia Empat Belas Ribu Lima Ratus).

Zakat Fitrah pula wajib dibayar oleh semua umat Islam sebelum Solat Sunat Aidilfitri didirikan, tertakluk kepada empat syarat wajib. Jika terkena salah satu daripadanya, maka wajiblah Zakat Fitrah ke atasnya. Empat syarat wajib Zakat Fitrah adalah seperti berikut:

Pertama: Mempunyai harta melebihi keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya;

Kedua: Lahir sebelum Maghrib hari terakhir Ramadhan dan hidup selepasnya;

Ketiga: Memeluk agama Islam sebelum Maghrib hari terakhir Ramadhan dan berkekalan status agamanya selepasnya; dan

Keempat: Meninggal dunia pada malam Hari Raya Aidilfitri.

Asalnya Zakat Fitrah wajib dibayar dengan satu gantang Baghdad (atau sama dengan 2.7 kilogram) makanan asasi bagi sesuatu tempat. Dalam konteks Malaysia, makanan asasi rakyatnya adalah beras. Walau bagaimanapun, Islam merupakan agama yang mudah. Oleh itu, ulama Mazhab Syafie bersepakat mengharuskan pembayaran Zakat Fitrah menggunakan wang tunai sebagai ganti kepada beras berdasarkan kepada dua keadaan, iaitu darurat dan ketentuan pemerintah.

Oleh kerana zakat berada di bawah bidang kuasa negeri, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menetapkan kadar Zakat Fitrah tahun semasa pada kadar RM 7.00 (Ringgit Malaysia Tujuh) sekepala. Urusan pemungutan Zakat Fitrah bagi tahun semasa dikendalikan oleh seramai 2,058 orang amil yang dilantik oleh MUIS di seluruh pelusuk negeri. Mereka semua boleh didapati di masjid, surau serta tempat-tempat strategik di segenap kota dan desa. Tahun sudah, MUIS berjaya mengutip Zakat Fitrah sebanyak RM 9.56 juta daripada 1.36 juta pembayar di seluruh negeri Sabah.

Tahun sudah juga, MUIS juga berjaya mengutip Zakat Harta sebanyak RM 79.66 juta daripada 52,440 orang pembayar yang sebahagian besarnya membayar zakat penggajian. Secara timbal baliknya, sebanyak RM 68.27 juta Zakat Fitrah dan Zakat Harta diagihkan kepada 88,117 orang penerima dari pelbagai golongan asnaf.

Bagi golongan asnaf pula, urusan pengagihan zakat dilaksanakan oleh MUIS pada hari yang ditentukan di kawasan masing-masing di sepanjang bulan Ramadhan. RM 9.4 juta wang Zakat Fitrah diperuntukkan oleh MUIS untuk diagihkan kepada 42,378 orang penerima dari golongan fakir, miskin, muallaf dan amil pada Ramadhan kali ini.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Sesungguhnya Zakat Fitrah mempunyai makna yang sangat besar bagi pembayar dan penerimanya. Melalui Zakat Fitrah, pembayar dapat menyucikan jiwanya daripada sebarang bentuk dosa dan kemungkaran. Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah, ayat 103:

“Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Melalui Zakat Fitrah juga, penerimanya dapat turut sama bergembira mengharungi bulan Ramadhan serta meraikan Hari Raya Aidilfitri seperti insan-insan yang lain di mana jua berada. Abdullah bin Umar RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Orang yang paling dicintai oleh Allah adalah orang yang paling bermanfaat bagi orang lain, dan amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah kebahagiaan yang engkau berikan kepada diri seorang Muslim atau engkau menghilangkan kesulitannya atau engkau melunaskan hutangnya atau membebaskannya daripada kelaparan.” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Mengakhiri khutbah, marilah kita renungi intipati-intipati penting sebagai pedoman dalam kehidupan kita.

Pertama: Allah SWT memfardhukan Zakat Fitrah kepada seluruh umat Islam. Maka, adalah menjadi kewajipan setiap Muslim untuk melunaskannya sebelum tamat tempohnya.

Kedua: Zakat Fitrah dapat menyucikan jiwa pembayarnya daripada segala bentuk dosa dan kemungkaran.

Ketiga: Zakat Fitrah membolehkan golongan asnaf bergembira mengharungi hari-hari di bulan Ramadhan serta meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Jumaat, 31 Mei 2019.
Masjid al-Baari, Taman Ketiau, Putatan, Sabah.
Khutbah sumbangan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah dan Jabatan Agama Islam Selangor dengan suntingan.

Comments