Refleksi Ramadhan


Alhamdulillah. Dengan limpah kurnia-Nya serta izin-Nya, dapatlah kita bersama-sama mendampingi Ramadhan pada tahun ini. Sebahagian daripada kita mendampinginya dengan amal ibadah dan khidmat bakti yang berlipat kali ganda. Semua itu dikerjakan kerana mendambakan rahmat, keampunan dan kelepasan daripada seksaan api neraka. Sebahagian yang lain pula sibuk melakukan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri dan hari-hari Syawal yang berikutnya.

Ada baiknya kita mengambil ruang dan peluang yang ada pada penghujung Ramadhan ini untuk menilai sejauh manakah Ramadhan ini dimanfaatkan untuk menyemarakkan hubungan dengan Allah SWT serta hubungan sesama manusia seluruhnya. Mereka yang kurang menghargai Ramadhan dengan cara yang sepatutnya masih ada masa untuk melakukan demikian dengan sebaiknya. Mereka yang sebaliknya amat menghargai Ramadhan meneruskan disiplin tersebut sehingga ke akhirnya.

Di sebalik kesyukuran dan kegembiraan kita mendampingi Ramadhan pada tahun ini, janganlah kita lupakan saudara-saudara yang tidak senasib dengan kita di mana-mana jua mereka berada. Boleh jadi mereka itu kaum kerabat kita serta sahabat handai yang terdekat dengan kita. Bersama kita terjemahkan kecaknaan kita kepada mereka menerusi sedekah berbentuk wang ringgit, kuih muih, malah mungkin juga pakaian hari raya serta hadiah lain yang bermakna. Mudah-mudahan mereka sukacita mengharungi hari-hari Ramadhan yang masih ada serta hari-hari Syawal yang menjelang tiba.

Sempena Syawal yang akan menjelang, sebahagian besar daripada kita bersiap sedia untuk pulang ke kampung halaman. Ada yang kampungnya berlegar di negeri ini sahaja. Ada yang akan berkelana ke negeri sebelah. Ada juga yang akan terbang ke Semenanjung dan mungkin juga ke luar negara. Kepada semua yang akan memulakan perjalanan, saya ucapkan selamat pulang ke kampung halaman dan selamat kembali ke kediaman, sekolah dan tempat kerja masing-masing nanti.

Selamat Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang saya ucapkan kepada semua dan keluarga masing-masing. Mohon maaf zahir dan batin. Semoga Allah menerima amalan kita dan menjadikan kita dari kalangan mereka yang kembali kepada fitrah yang sebenarnya.

Jumaat, 31 Mei 2019
Masjid al-Baari, Taman Ketiau, Putatan, Sabah

Comments