Ramadhan yang Indah dan Ceria


Saya mengambil kesempatan pada hari ke-94 persekolahan bagi tahun 2019 untuk mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya datang ke sekolah pada hari ini. Tahniah juga kita ucapjan kepada pelajar-pelajar yang, sampai ke saat ini, berjaya datang ke sekolah tanpa gagal walau sehari. Kepada yang tidak bersama kita hari ini, kita doakan agar mereka dapat kembali semula bersama kita pada hari persekolahan yang berikutnya dengan rasa syukur dan gembira.

Malang sekali, pada 30 April yang lepas, Sekolah kita kehilangan seorang aset yang berharga. Al-Marhum Mohammad Hazmierul bin Jonis dari Tingkatan 4 Wira asalnya merupakan salah seorang yang membintangi sukan bolasepak di Sekolah kita. Namun, Allah SWT lebih menyayanginya. Al-Marhum meninggalkan kita semua setelah bertarung dengan penyakit leukemia seminggu sebelumnya.

Benarlah kata orang-orang lama, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Begitu pun, setiap nama ada jasanya yang sekecil-kecilnya mahupun yang sebesar-besarnya, bukanlah sekadar untuk diingati kenangan manis dan pahitnya, tetapi yang lebih besar daripada itu, untuk didoakan ketenangan dan kebahagiaannya di alam sana.

Kita yang masih diizinkan kehidupan di atas dunia mesti meneruskan kehidupan ini sebaik-baiknya, apatah lagi ketika kita sudah 19 hari mengharungi bulan Ramadhan al-Mubarak. Sepanjang 19 hari yang lepas, Sekolah kita telah melakukan segalanya yang terdaya untuk seluruh warganya. Di sebalik kesibukan warganya menduduki Peperiksaan Pertengahan Tahun, Ihya Ramadhan 1440/2019 telah berjalan dengan lancar dan jayanya.

Tadarus al-Quran Sidang Petang telah dijayakan oleh lebih daripada 80 orang pelajar Muslim yang terpilih. Jaulah Ramadhan juga telah dijayakan oleh beratus pelajar Muslim yang lain sepanjang minggu pertama bulan Ramadhan.

Solat Sunat Tarawih pada setiap malam hari persekolahan dan Qiamullail Ramadhan pada 22 dan 23 Mei telah dijayakan oleh sebilangan besar pelajar yang sebahagian besarnya datang dari Sidang Petang. Begitulah juga dengan Mukhayyam Arabi Siri 1/2019 yang telah dijayakan pada 17, 21 dan 23 Mei oleh 64 orang pelajar Tingkatan 1 dan 2.

Semua aktiviti tersebut dijayakan dengan penglibatan pelajar-pelajar Kelas Aliran Agama dan sokongan daripada Badan Dakwah dan Rohani. Walaupun begitu, kita turut mengingati setiap orang yang turut serta secara langsung mahupun tidak langsung menjayakan Ihya Ramadhan berserta aktiviti-aktivitinya sepanjang tiga minggu yang berlalu ini. Kita ucapkan berbanyak penghargaan dan terima kasih kepada mereka semua.

Walaupun ada sahaja yang cuba mencemarkan Ramadhan di Sekolah kita dengan cara-cara mereka, majoriti kita telah menunjukkan kepada masyarakat di luar sana bahawa Ramadhan di Sekolah kita senantiasa indah dan ceria. Sepanjang hari-hari Ramadhan yang berlalu, kita semua hadir sebagai pelengkap sesama kita. Yang senang merasa dan menginsafi kesusahan golongan yang memerlukan. Yang susah pula tidak ditinggalkan, malah diberi zakat dan sedekah sebagai penyambung kehidupan. Sekolah ini sudah membuktikannya menerusi penyerahan zakat dan sedekah kepada golongan fakir dan miskin, pagi semalam (Khamis, 23 Mei). 

Hakikatnya, bulan Ramadhan bukanlah bulan yang biasa-biasa. Walaupun Ramadhan datang bersama pelbagai cabaran dan rintangan, Ramadhan datang bersama rahmat dan keampunan. Kasih sayang di bulan Ramadhan sifatnya luar biasa, bukan sahaja kerana tawaran daripada Allah SWT yang luar biasa, tetapi juga masyarakat yang turut merasai denyut nadi Ramadhan menerusi bantuan dan sokongan kepada golongan yang memerlukan.

Sempena Ramadhan yang masih berbaki, ambillah sebanyak-banyak ruang dan peluang yang ada untuk meningkatkan amal ibadah dan khidmat bakti. Jadikanlah Ramadhan sebagai wadah untuk menjadikan diri kita insan yang "Berilmu, Berdisiplin dan Berwawasan". Hanya dengan cara tersebut, SMK Tansau akan terus relevan sebagai "Sekolah Hebat Berjiwa Besar" yang mana warganya terus beriltizam dengan amalan "Biasakan yang Luar Biasa".

Sepanjang sebulan dua yang sudah, banyak lagi kejayaan yang telah Sekolah dan warga rangkul di pelbagai peringkat dan lapangan. Terbaru, Pusat Sumber Sekolah kita diiktiraf ketiga terbaik di negeri Sabah. Pengiktirafan tersebut tidak lain dan tidak bukan disumbangkan oleh semua pihak yang telah membulatkan muafakat dan tekad menjadikan Sekolah kita sebuah sekolah pilihan di daerah Putatan dan Penampang serta di negeri Sabah.

Momentum ini mesti kita teruskan, terutamanya sekembalinya kita nanti ke Sekolah ini setelah menyelesaikan bulan Ramadhan, Tadau Kaamatan dan Hari Raya Aidilfitri. Selamat pulang ke kampung halaman dan selamat kembali ke Sekolah ini kelak dengan rasa syukur, gembira dan bangga dengan SMK Tansau berserta warganya.

Kepada semua yang meraikan Pesta Menuai, kita ucapkan Kotobian Tadau Tagazo do Kaamatan. Kepada seluruh warga SMK Tansau, atas nama diri dan keluarga, saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Mohon maaf zahir dan batin salah dan silap diri ini selama menjadi sebahagian daripada keluarga Sekolah ini. Semoga Allah SWT menerima amalan kita semua dan menjadikan kita orang-orang yang kembali kepada fitrah yang sebenar-benarnya.

Dirgahayu sekolah transformasi. Jasamu tetap disanjung tinggi.

Perhimpunan Rasmi Sidang Petang, SMK Tansau, Penampang.
Jumaat, 24 Mei 2019, jam 4.30 petang.
Dataran Datin Patimah, SMK Tansau, Penampang, Sabah.

Comments