Ramadhan: Muhasabah Malaysia Baru


Malaysia Baru sudah berusia genap setahun pada 10 Mei 2019. Dalam kalangan negara-negara lain di dunia, memang Malaysia masih muda. Sebilangan buah negara di dunia seperti San Marino yang wujud sejak tahun 301, Bhutan yang wujud sejak tahun 1604 dan Haiti yang wujud sejak tahun 1804 jauh lebih tua berbanding Malaysia. Walau bagaimanapun, Malaysia tidak selamanya muda.

Malaysia juga tidak selamanya baru. Yang baru hanyalah parti pemerintah yang dipilih oleh majoriti rakyat untuk meneruskan pentadbiran negara pada hari sebelumnya dalam tahun yang sebelumnya menerusi amalan demokrasi. Malaysia hanya akan bersifat baru apabila Perlembagaan Persekutuan yang baru diperkenalkan oleh Kerajaan serta direstui oleh Raja dan rakyat.

Andai suatu hari nanti, majoriti rakyat memilih parti lain untuk meneruskan pentadbiran negara, adakah Malaysia bersifat baru? Andai suatu hari nanti, Raja-raja Melayu menaikkan raja lain ke atas takhta negara setelah kekosongannya, adakah Malaysia bersifat baru? Tentu sekali tidak kerana Malaysia bukannya memperkenalkan perlembagaan baru. Yang sentiasa baru pada tempat dan ketikanya hanyalah Raja dan Kerajaan.

Malaysia bukannya Perancis yang memperkenalkan perlembagaan kelima pada tahun 1958. Malaysia bukannya Korea Selatan yang memperkenalkan perlembagaan keenam pada tahun 1987. Malaysia bukannya jua Thailand yang memperkenalkan perlembagaannya yang ke-20 pada tahun 2017 tanpa sedikit pun menjejaskan kemuliaan Raja serta kerabat diraja. Dalam hal ini, untuk mengatakan bahawa sesebuah negara bersifat baru kerana penggantian tampuk pemerintahan dan pentadbiran hanyalah semata-mata satu persepsi.

Realitinya, Walaupun Raja dan Kerajaan datang dan pergi silih berganti, Malaysia tidaklah bersifat baru selama mana Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada berkekalan walaupun dibuat beberapa pindaan. Malaysia juga tidaklah bersifat baru selama mana Rukunegara berkekalan. Walaupun Rukunegara hanyalah semata-mata ideologi yang menunjangi negara dan rakyat, Rukunegara mempunyai peranan yang besar dalam membina negara yang makmur dan sejahtera.

Malaysia kini berada di dalam zaman harapan. Setelah berlalunya zaman kemerdekaan, pembangunan, perpaduan, pemodenan, permodalan insan dan transformasi, Malaysia memilih untuk berada di dalam suatu zaman yang mengharapkan cara berkerajaan dan bermasyarakat yang berbeza daripada yang sebelumnya. Malang sekali, Malaysia tidak melangkah selangkah ke hadapan, tetapi dua langkah ke belakang.

Pertama, kerana pentadbiran Kerajaan terlalu banyak memfokuskan pembanterasan rasuah dan salah guna kuasa sehingga terlupa matlamat asal tertubuhnya kerajaan, iaitu untuk menjamin kestabilan ekonomi, pembelaan sosial dan pengukuhan institusi politik serta menawarkan perkhidmatan berpaksikan rakyat. Akhirnya, ekonomi Malaysia dipandang hina oleh kawan dan lawan. Keselamatan sosial tidak dapat sebaiknya dipertahankan. Politik menjadi makanan rakyat 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, hatta di bulan Ramadhan kerana orang-orang yang membarisi pentadbiran Kerajaan itu sendiri yang mengajar sedemikian.

Kedua, kerana rakyat sendiri yang sesungguhnya menyokong parti politik yang dia sukai secara membuta tuli. Rakyat pada hari ini tidak dapat memikirkan baik buruk tindak tanduk parti politik yang mereka dukung pada hari ini serta pandangannya terhadap dasar dan halatuju negara. Kebenaran diterjemahkan sebaliknya sebagai kebatilan, kebatilan pula yang lebih ditinggi dijulang sebagai kebenaran. Perkara yang masih samar-samar kebenarannya atau kebatilannya dihukum terus sebagai benar tanpa usul periksa yang sedalam-dalamnya. Hakikatnya, rakyat tidak dapat menjadi wakil rakyat, menteri, hakim dan peguam pada masa yang sama. Cubaan untuk menjadi itu semua pada satu-satu masa hanya akan memakan diri sendiri.

Lebih malang daripada itu, sebahagian rakyat yang berada di dalam kumpulan tersebut tidak sedarkan diri. Merekalah yang sebenarnya mencetuskan pertikaman lidah yang tidak berkesudahan di alam maya. Lebih teruk daripada itu, ada pihak yang menggunakan hak asasi manusia ciptaan Barat untuk menyerang sebahagian rakyat yang tidak sependapat dengan mereka di alam nyata seolah-olah mereka sahaja yang betul. Merekalah yang sebenarnya tidak berbangga dengan negara kerana tidak berasas dengan asas-asas mereka, tetapi sebaliknya menelanjangkan negara di mata dunia.

Sesungguhnya zaman harapan pada hari bukanlah seperti yang diharapkan. Zaman ini menjanjikan kebebasan yang luar biasa tetapi tidaklah pula menjanjikan keamanan dan kemakmuran seperti pada zaman-zaman kebelakangan. Dendam, fitnah, hasad dengki dan kebencian sedang berusaha untuk menjadi raja yang memerintah negara. Ketuanan minoriti, falsafah membelakangi fitrah serta perkhidmatan yang mesra segolongan menjadi keutamaan.

Sepatutnya, zaman harapan merupakan zaman yang mementingkan fitrah, menawarkan perkhidmatan mesra rakyat yang lebih baik, menyediakan kawalan ekonomi yang lebih berkesan dan memenangkan semua pihak, mempromosikan perpaduan dan keterangkuman di tengah-tengah kepelbagaian, menawarkan hubungan baik sesama negara-negara sahabat dan meneruskan limpahan pembangunan di seluruh kawasan tanpa perlu seorang atau satu kawasan dipinggirkan kerana perbezaan pentadbiran. Semua keadaan ini hanya dapat dicapai apabila Ramadhan dihayati oleh semua pihak dengan sebaiknya.

Ramadhan sepatutnya menjadi bulan muhasabah untuk semua pihak. Bagi seseorang individu, Ramadhan sepatutnya menjadi bulan untuk memperbaiki diri sendiri dan menjadikan diri lebih baik berbanding sebelumnya. Ramadhan walaupun sentiasa menguji, tidaklah pula bersifat merugi. Pada bulan Ramadhan, seorang Muslim dianjurkan menghidupkannya dengan bacaan al-Quran, zikir dan wirid, menghadiri kuliah dan tazkirah dan menghulurkan sedekah di samping menunaikan kewajipan berpuasa dan membayar zakat fitrah.

Bagi komuniti, Ramadhan sepatutnya menjadi titik permulaan untuk mengurangkan persengketaan, malah untuk mengukuhkan kemasyarakatan. Politik yang berpanjangan tidak akan sama sekali menggalakkan, malah memundurkan semangat kemasyarakatan. Hakikatnya, politik bukanlah tentang parti serta kepercayaannya, tetapi negara dan rakyat secara keseluruhannya. Politik sepatutnya menyatukan bukannya memecah belahkan. Aktiviti seperti program memasak bubur lambuk, ziarah asnaf serta dakwah jalanan hendaklah digalakkan bagi memastikan falsafah Rahmatan lil Alamin dapat dihidupkan.

Bagi Kerajaan, Ramadhan sepatutnya menjadi bulan untuk kembali kepada matlamat asal kewujudan pemerintahan dan pentadbiran di sesebuah negara. Kerajaan tidak harus lagi melayan dendam kesumat. Kerajaan juga harus kembali mesra rakyat. Kerajaan jangan memandang ringan keadaan ekonomi negara. Kerajaan harus menggalakkan perpaduan sesama rakyat berbilang bangsa dan agama. Kerajaan harus mempertahankan asas-asas bernegara. Kerajaan harus memastikan wajah negara sentiasa ceria dan diceriakan di mata dunia.

Ringkasnya, zaman harapan sepatutnya menggembirakan semua. Sekarang bukan lagi soal parti yang mana yang memegang tampuk pentadbiran, tetapi ke manakah negara ini harus pergi di bawah tampuk pentadbiran yang sedia ada. Malaysia yang berjaya adalah Malaysia yang mempertahankan asas-asasnya, yang kembali kepada fitrahnya, yang meraikan semua orang secara adil dan saksama, yang tidak memburukkan dirinya mahupun sesiapa di mata dunia dan yang berbuat baik dengan semua negara sahabatnya. Semangat Ramadhan seharusnya memandu kita semua untuk mengembalikan Malaysia sebagai sebuah negara yang disegani kawan dan lawan di mata dunia, yang mengandungi rakyat yang berpegang teguh kepada lima prinsip Rukunegara.

Comments